BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Sunday, May 9, 2010

Segalanya Tentang Dia

Di lewat senja suasana menjadi semakin muram. Segenap penjuru kelihatan mendung ditambah pula dengan curahan hujan dari awan yang tidak mampu lagi membendung molekul-molekul air yang telah sekian lama bertakung. Langit kian kelabu. Sesekali petir sambar menyambar disertai dengan ribut yang menggila. Aku terbaring malas di sofa empuk bertemankan kaca televisyen. Mataku kian berat, terkebil-kebil menahannya dari terus terpejam. Namun sesekali aku tewas, tak mampu menguak kelopak mata dan ku biarkan ia terkatup seketika sambil menikmati deruan angin dan hujan yang semakin mengganas. Sedang aku leka melayani keasyikan itu, cuping telingaku yang mengumpulkan gelombang bunyi lantas menghantarnya menerusi liang telinga menuju gegendang telinga lalu mengutusnya ke koklea menyebabkan otakku terangsang dari maklumat yang ku terima. Iramanya sungguh indah, bait-bait lagu yang sayup-sayup kedengaran dari corong ‘speaker’ televisyen itu cukup menyentuh sanubariku. Tahulah aku bahawa lagu itu didendangkan oleh Dato’ Shake…

Umi…

ku Tahu Engkau Derita…Hidup Dalam Duka Sengsara
Namun Diiringi Doa Agar Kau Bahagia
Umi…

ku Sunting Kuntum Melati…Harum Sewangi Kasih Suci
Umi…

ku Bawa Penawar Hapuskan Derita
Apalah Ertinya Kehadiran ku Di Sisimu
Andai ku Tak Daya Membuat Kau Gembira
Umi…

ku Petik Bintang BintangMenyinar Cahaya Hidup Mu
Umi…

Dekatlah WajahkuYang Selalu Rindu
ku Tak Relakan Kau Mederita Selamanya
Biarlah aku Yang Menanggung Derita Mu
Ohhh,Umi…

ku Ingin Kau Menyaksi'n Sinar Yang ku Cipta Untuk Mu

Umi…Berikan Senyuman Agar Kau Bahgia...


Segala apa yang bakal aku coretkan ini adalah tentang dia, Umi ku tersayang. Ya Allah… saat ini aku benar-benar merindui umi, satu-satunya ibunda ku. Selama hampir 21 tahun aku hidup bersamanya pelbagai suka duka aku lalui. Dengannya aku belajar segala-galanya sama ada secara langsung mahupun sebaliknya. Menggamit kenangan pertama yang bertugu dalam memoriku iaitu ketika aku berusia 3 tahun (*kenangan pertama sebab yang sebelum pada usia ni aku langsung tak ingat) cukup membuat aku tersentuh.


Masih terasa hangatnya dalam pelukkan Umi tatkala memangku ku. Sungguh, aku cukup selesa dengan kehangatan itu. Masih terngiang-ngiang juga bebelannya tatkala aku menumpahkan minuman mahupun memecahkan pinggan mangkuk kesayangannya yang disertai dengan tangis ku yang tersedu-sedu. Si anak kecil yang masih belum mengerti apa yang sebenarnya dibebelkan itu hanya mampu menangis dan menangis sepuas-puasnya tanpa sepatah pun memahami apa sebenarnya yang ibunya ingin sampaikan.


Dari bayi beranjak ke alam kanak-kanak. Melangkah ke gerbang persekolahan merupakan perkara yang paling merujakan ku. Setiap pagi, Umi akan menyisir rambutku. Sesekala Umi memakaikan cekak yang berwarna-warni menghias kepala ku membuatkan aku terasa seperti sang puteri yang dipakaikan mahkotanya. Umi ku pandai mendandan rambut. Tidak pernah sekali pun rambutku di potong oleh orang lain melainkan Umi. Cakap apa sahaja fesyen rambut yang aku ingini, pasti Umi akan ‘trim’ mengikut kehendak ku sesuai dengan ‘trend’ semasa. Masih ingat lagi umi bertungkus lumus menyiapkan beg yang comel untuk ku bawa ke Tadika. Pasti ada sahaja yang memuji beg tersebut termasuklah cikgu-cikgu (yang kadang kala aku rasa seolah-olah mereka iri hati) dan aku dengan bangganya menjawab, “Ni Umi saya yang jahit”. Ya, Umi ku memang pandai menjahit. Dari aku kecil hinggalah kini baju-baju ku (selain baju t-shirt) semuanya dijahit oleh Umi termasuk baju sekolah. Tak lupa juga, tiap kali ke sekolah Umi pasti bekalkan aku dengan bermacam-macam hidangan yang cukup lazat (sebab tulah aku suka makan agaknya). Memang tidak sah kalau ke sekolah tidak berbekalkan masakan Umi. Selalu jugalah aku merungut kerana malas menjinjing bekal dan pernah jugalah aku tidak membawa bekal ke sekolah. Sudahnya menyesal dek kerana makanan di kantin tidak mengenyangkan dan tidak seenak masakan Umi. Mulalah tidak sabar-sabar hendak pulang ke rumah!


Dari kanak-kanak, beranjak ke usia akhir kanak-kanak. Umi masih disisiku. Namun aku semakin berubah, selalu memberontak dan sering merasakan yang Umi tidak menyayangi aku. Sebabnya Umi selalu memarahi aku dan apabila bergaduh dengan adik, pasti aku yang dipersalahkan. Tidak dinafikan, aku memang budak yang degil dan nakal. Aku suka menaikkan kemarahan Umi. Bagiku Umi adalah musuhku. Apa yang Umi cakap selalu aku tak endahkan. Tapi aku tidak menyedarinya dan terus-terusan memberontak. Kerap jugalah penyapu lidi dan penyangkut baju ‘landing’ di belikat ku. Sehingga diriku sudah kebal dengan semua itu. Hmmm…teruk betul rasanya. Tak ubah seperti anak derhaka! Kesian Umi. Penat menguruskan rumah, makan, pakai dan sebagainya tapi aku pula malas dan selalu menyakitinya. Maafkan Kak Yong, Umi.


Berakhir zaman akhir kanak-kanak. Umi sudah tidak selalu di sampingku. Namun ini pilihanku. Memang sekolah berasrama penuh menjadi idaman ku kerana terteranya perkataan ‘asrama’ yang dengan itu aku boleh jauh dari Umi. Tak perlu lagi mendengar bebelannya dan sebagainya. Sungguh, niat yang sama sekali menyimpang! Darah mentah yang mengalir dalam tubuh sehangat bara sehingga meleburkan kewarasan akal fikiran. Namun, segala yang tersurat itu pasti ada yang tersiratnya. Bermula dari saat itulah aku mula merasakan betapa besarnya pengaruh Umi dalam hidupku. Tidak sampai sebulan aku tinggal di asrama, aku mula merindui Umi. Hidupku terasa kosong. Tiada siapa lagi yang menegur tingkahku. Namun kata-kata nasihat Umi sering beralun-alun disegenap ruang hatiku. Itulah yang menjadi pedoman hidupku, azimat yang tidak ternilai harganya. Tiada siapa lagi yang membekalkan aku makanan. Hari-hari aku dihidangkan dengan nasi kawah dan menu-menu yang cukup membuatkan jasadku tersiksa kerana aku ‘allergic’ pada sesetengah makanan. 3 minggu sekali barulah aku dapat pulang ke rumah. Keegoaan memaksa aku untuk terus menetap di sana hingga 3 tahun lamanya. Kalaulah aku mengetepikan egoku, pasti saat itu juga aku bertukar ke sekolah biasa yang pastinya hampir dengan rumahku. Aku tidak lagi berminat dengan pelajaran yang diajar di sekolah. Keputusan ku kian merosot. Mana tidaknya, asal buka sahaja buku pasti fikiranku merewang-rewang entah ke mana, mengenangkan rumah nun jauh di sana. PMR semakin hampir. Rakan-rakanku bertungkus-lumus mengulangkaji tetapi aku…hmm…seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Bagiku, inilah peluangku untuk keluar dari sekolah tersebut. Apa yang aku tahu, keputusan PMR yang tidak memuaskan pasti akan menyingkirkan aku dari sekolah tersebut dan secara tidak langsung aku akan bertukar ke sekolah biasa. Ya, itu matlamat utama ku!


Berakhir zaman jahiliahku. Aku kini menjadi remaja yang lebih matang. Aku kembali ke sisi Umi dengan penuh harapan untuk berubah, menjadi anak yang taat kepada ibubapa. Umi menyambut baik kepulanganku. Di peluk erat tubuhku. Sekian lama aku tidak merasakan pelukan ini. Saat itu, aku sedar yang Umi amat sayangkan aku. Sememangnya dari aku wujud di alam rahimnya lagi dia sudah menyayangi aku. Hanya aku yang terlalu mengikutkan bisikan syaitan dan berprasangka bukan-bukan terhadap Umi sehingga tega menjauhkan diri dari Umi. Sejak itu Umi menjadi sahabatku yang paling akrab. Tiada sahabat yang seikhlas Umi. Tidak pernah jemu mengalunkan kata-kata semangat, nasihat, tunjuk ajar dan segala-galanya. Tidak pernah jemu melayani kerenahku dari aku kecil hingga dewasa. Apa sahaja yang mengusutkan fikiranku, pasti Umi akan leraikan termasuk soal yang seremeh-remehnya. Dialah pendengar paling setia. Aku kembali bersemangat untuk belajar kerana aku ingin membalas segala yang telah Umi korbankan dengan kejayaanku. Akhirnya aku berjaya menggembirakan Umi dengan keputusan SPM ku. Alhamdulillah… melihat Umi menangis keriangan tatkala aku mengabarkan berita itu cukup membuatkan hati ku puas.


Berakhir zaman persekolahan, aku melangkah ke menara gading. Kembali berjauhan dengan Umi tercinta. Amat berat, seberat-beratnya! Namun aku harus akur dengan keadaan. Pada awalnya, boleh dikatakan tiap-tiap minggu aku akan berulang dari Kuala Lumpur ke Kuantan semata-mata tidak tahan berjauhan (homesick). Dan pada semesta berikutnya aku sudah mampu untuk bertahan agak lama ‘sedikit’ dan membuat keputusan untuk pulang ke rumah hanya sekali pada setiap bulan. Sejak aku di sini, setiap kali aku hendak pulang ke Kampus Umi pasti bekalkan aku dengan masakan istimewanya. Tidak lupa, yang teristimewa adalah pelukan dan kucupan termahal dari Umi buatku. Membuatkan hati semakin berat setiap kali melangkang keluar dari rumah tersebut.


Umi, segalanya amat indah untuk di kenang. Jasa dan pengorbanan Umi amat besar untuk dibalas sehingga aku khuatir apa yang bakal aku berikan pada Umi tidak setimpal dengan apa yang telah Umi berikan padaku. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang bisa membayar kembali segala hasil usaha Umi dan penat jerih Umi membesarkan aku dan adik-adik. Darah daging pada jasadku ini yang asalnya berkembang dan menjadi sempurna sifatnya dalam rahim Umi akan menjadi harta yang paling berharga buat Umi di dunia dan di akhirat. Datang seorang menemui Rasulullah S.A.W dia bertanya,

“Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling layak untuk bergaul dengan paling baiknya?” “Ibumu,” Baginda S.A.W menjawab, “Kemudian siapa?, “Ibumu”, “Kemudian setelahnya siapa?”,“Ibumu”. Untuk kali berikutnya orang itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” “Ayahmu”, jawab Baginda Rasulullah S.A.W.

Berbuat baiklah dengan kedua ibu bapa kita sewaktu hayat mereka kerana keredhaan Allah datang selepas kerdhaan kedua ibubapanya!



Selamat Hari Ibu, Umi.
Terima kasih untuk segala-galanya.
Saaaayang Umi!!

0 comments: