BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Monday, May 3, 2010

Takut Menghadapi Masa Hadapan

Kelihatan bulan purnama begitu gah ditemani kilauan bintang yang bagaikan butiran permata bertaburan di angkasa. Terasa ingin ku gapai setiap butir-butir yang berkilau itu untuk menjadi perhiasanku agar aku mampu bergemerlapan. Namun, aku bukanlah Neil Alden Armstrong yang bisa menerokai angkasa raya dengan Apollo 11 yang ketika itu merupakan manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan. Aku merenung jauh ke langit malam yang menyimpan seribu satu rahsia keajaiban yang tak terjangkau dek pancainderaku. Sejauh langit tinggi, sejauh itu jugalah perjalanan hidupku yang bakal ku tempuh. Aku tidak pasti apa yang tersirat di atas sana begitu jugalah dengan apa yang ada dihadapan ku. Segalanya terlalu sukar untuk aku terjemahkan selagi aku belum berhadapan dengannya.

Masa yang terus beranjak menyedarkan aku bahawa hanya tinggal beberapa minggu saja lagi untuk aku menamatkan pengajianku. Tidak dinafikan aku benar-benar menanti saat-saat itu bahkan aku berasa cukup gembira untuk mengakhiri kehidupan sebagai pelajar universiti yang sememangnya menyesakkan dada. Menuntut ilmu adalah perkara yang paling menyeronokkan tetapi dalam keseronokkan itu tersadur 1001 kepahitan untuk ditelan. Kata orang, “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.” Sungguh, aku merasakan cukup sampai di sini dahulu perjuangan ku sebagai pelajar. Tinggalkan seketika “title student” ini. Tetapi tidaklah bererti aku akan berhenti dari menuntut ilmu. Sememangnya ilmu itu wajib di tuntut selama mana aku bernyawa. Pepatah arab pun ada mengatakan, “Tuntulah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat.” Dan sememangnya masih terlalu banyak ilmu yang perlu aku pelajari baik ilmu duniawi mahupun ukhrawi. Berakhirnya aku dalam pengajian ini tidak bermakna berakhirlah lembaran pencarian ilmu ku. Akan ku buka lembaran-lembaran baru dalam menambah ilmu di dada agar ia mampu menjadi penyelamatku di dunia dan akhirat.

Aku kembali merenung jauh ke langit, bermonolog sendiri bertanya pada diri mampukah aku menghadapi persaingan dalam mengadu nasib di alam pekerjaan nanti memandangkan terlalu besar persaingannya. Di manakah layaknya aku berdiri kelak memandangkan diri ini terasa begitu naif sekali untuk melepasi episod temuduga yang sering mengecewakan ku. Oh Tuhan, aku benar-benar takut menghadapi masa depan kerana terlalu banyak kegagalan di masa lampau. Sememangnya aku gagal menyakini diri ku sendiri. Namun aku harus yakin dan percaya dengan Tuhan ku yang satu, Allah SWT yang merupakan segala-galanya dalam hidup ku. Al-Mulla Ali al-Qori berkata:

“Hendaknya kalian ketahui secara yakin bahwa tidak ada yang berbuat dalam alam wujud ini kecuali Allah dan bahwa tiap yang ada baik makhluk maupun rezeki pemberian atau pelarangan bahaya atau manfaat kemiskinan atau kekayaan sakit atau sehat hidup atau mati dan segala hal yg disebut sebagai sesuatu yang maujud semuanya itu adalah dari Allah.”

Kata-kata Umi tercinta mula ligat berkeliaran di kotak fikiran ku. Tatkala aku takut menghadapi masa depan kata-katanya sering menjadi suntikan semangat dan kekuatan dalam diriku yang lemah ini. “Jangan bimbang tentang hari esok tetapi bimbanglah dengan hari ini dengan berusaha untuk menghadapi hari esok. Ingat, walauapapun yang berlaku kita kena terus berusaha dan kena sentiasa ingatkan Allah, berdoa minta pertolongan dariNya. Selebihnya serahkan sahaja padaNya, bertawakal.”

Rasulullah SAW bersabda:

“Sungguh seandainya kalian bertawakal kepada Allah sebenar-benar tawakal niscaya kalian akan diberi rezeki sebagaimana rezeki burung-burung. Mereka berangkat pagi-pagi dalam keadaan lapar dan pulang senja hari dalam keadaan kenyang.”

“Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan -Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Ayat ini benar-benar meredakan kegelisahan yang bertapak dalam batinku. Benar, jangan terlalu memikirkan hal yang bukan menjadi urusan kita. Urusan aku adalah dengan berdoa, berusaha dan bertawakal. Tentang apa yang bakal berlaku, apa yang bakal aku hadapi dan apa yang ada di masa hadapanku, segalanya urusan Allah dan aku tidak berhak mencampuri urusan Pentadbir alam semesta yang sememangnya Maha Sempurna. Segalanya adalah qada’ dan qadar Nya. Imam Abul Qosim al-Qusyairi berkata:

“Ketahuilah sesungguhnya tawakkal itu letaknya di dalam hati. Adapun gerak secara lahiriah hal itu tidak bertentangan dgn tawakal yang ada di dalam hati setelah seorang hamba meyakini bahawa rezeki itu datangnya dari Allah. Jika terdapat kesulitan maka hal itu adl krn takdir-Nya dan jika terdapat kemudahan maka hal itu krn kemudahan dari-Nya.”

Ketahuilah oleh ku bahawa kerisauan dan ketakutan pada sesuatu yang tidak seharusnya dalam keadaan yang teramat sangat boleh membuka jalan kepada syaitan umtuk menjayakan watak antagonisnya dalam pentas kehidupan manusia.

"mereka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati," (Al-Baqarah:62)

Inilah ciri-ciri mukmin yang sejati. Yang padanya tiada kekhuatiran kerana Allah sentiasa di hatiNya dan mereka percaya sesungguhNya Allah hanya akan menetapkan apa yang terbaik untuk hambaNya yang sentiasa mengingatiNya, sentiasa berusaha di atas landasanNya serta tidak jemu berdoa kepadaNya. Semoga hari yang mendatang akan membuahkan kejayaan baik dalam aspek dunia mahupun akhirat agar aku mampu membahagiakan Umi dan Abah, agar mereka mampu tersenyum bangga dengan zuriat mereka ini. Ya Allah, tenangkanlah hatiku, tabahkanlah jiwaku dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Amin Ya Rabbal A’lamin…

0 comments: