BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Tuesday, May 15, 2012

Ianya Hadiah Dari Allah

Berita tentang perkahwinanku tidak lama lagi benar-benar mengejutkan hampir kesemua insan yang mengenali diriku lebih-lebih lagi teman sekuliyahku. Memang masing-masing sangat terkejut dan sampai ada yang "hysteria" lebih-lebih lagi apabila mengetahui bahawa pasanganku merupakan salah seorang insan yang juga sahabat mereka. Aku dan si pasangan ku ini memang sama-sama berlajar di universiti tersebut, dalam kuliyah yang sama, dalam jurusan yang sama dan ditakdirkan bekerja di tempat yang sama juga tetapi tidak pernah pula menjalinkan hubungan persahabatan yang akrab sewaktu di kuliyah. Cuma sejak bekerja di Melaka ni aku agak rapat dengannya memandangkan dia sahaja yang ku kenal di sini. Mungkin inilah yang dinamakan jodoh. Segalanya dalam kerahsiaan Allah. Walau sudah kenal sejak 5 tahun yang lepas namun baru tahun ini segalanya terlakar menjadi sebuah lukisan kehidupan yang sangat indah. Sungguh, indahnya aturan Illahi.

Jodoh.
Menyingkap kembali alkisah di sebalik semua ini, aku sungguh tidak menyangka dia akan bergelar insan istimewa yang akan hadir menemani sepanjang perjalanan hidupku. Istikharah telah menemukan secebis cinta dalam hati ini untuknya. Memang benar, bukan mudah untuk mencari jawapan siapa si pemilik tulang rusuk kiri ini. Pada asalnya aku memohon petunjuk dari Allah tentang seorang lelaki yang dikenalkan oleh Ummi ku melalui kawan arwah nenek ku pada September 2011. Sebelum ini aku memang tidak pernah menyimpan perasaan terhadap mana-mana lelaki kerana aku sudah bertekad yang aku hanya akan menyintai lelaki yang bergelar suami kepadaku. Aku juga sering menyuarakan kepada umi yang aku akan menerima sesiapa sahaja yang akan terlebih dahulu meminangku. Konsepnya mudah, siapa cepat dia yang dapat. Tetapi konsep yang mudah itu sebenarnya agak sukar juga apabila hati tiba-tiba terasa seperti ada yang tidak kena. Sejak itu, boleh dikatakan setiap malam aku akan menunaikan solat sunat istikharah dan memperbanyakkan solat sunat taubat. Bimbang dosa-dosa lalu bakal mempengaruhi penentuan jodoh ku kelak kerana Allah pernah berfirman,

"Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik pula (begitu pula sebaliknya). Bagi mereka ampunan dan reski yang melimpah (yaitu : Surga)"
(An Nuur (24) : 26)

Terganggu.
Desakan dari keluarga si lelaki tersebut membuatkan aku rasa agak terganggu. Kakaknya sering menghubungi ku bertanyakan soal perasaan ku terhadap adiknya itu. Aku hanya memberi jawapan yang neutral. Mengiyakan pun tidak, menolaknya pun tidak. Ya, aku akui si lelaki tersebut memiliki kerjaya yang sangat bagus. Dia bekerja dengan syarikat cari gali minyak dan semestinya kerjanya berkehendakkan dia untuk sentiasa berada di tengah lautan. Dalam tempoh 3 bulan hanya beberapa hari sahaja dia akan berada di daratan. Bagaimana mungkin aku boleh menerima keadaan tersebut. Sudahlah jauh dari keluarga, tambah pula jauh dari si suami yang akan menjadi tulang belakang ku dalam rumahtangga kelak. Bukan itu sahaja, banyak lagi faktor-faktor lain yang membuatkan aku agak sukar untuk membuat keputusan.

Istikharah.
Sudah tidak terdaya lagi rasanya untuk memikirkan hal tersebut seorang diri. Lalu ku suarakan juga masalah ini terhadap sahabatku yang satu ini, Mustakim (yang kini sudah menjadi tunang ku). Dia hanya mendengar dan cuba memberi nasihat dengan penuh berhati-hati, bimbang bakal menguris mana-mana perasaan. Ya, dia memang seorang pendengar yang setia. Namun hati masih lagi belum tenang dan puas kerana masih belum ketemu jawapan yang ku cari. Malam-malam ku terus ditemani dengan istikharah sehinggalah pada suatu malam yang hening Mustakim datang dalam mimpi ku. Dalam mimpi tersebut, aku bertanyakan padanya "Kau nak hadiah apa?" Lantas dia terus menjawab, "Kau hadiahkanlah aku sejadah". Aku terus tersentap, dada ku terasa sakit dek kerana jantung yang berdegup begitu kencang. Ku lihat masa masih terlalu awal untuk aku bangun kerana ketika itu jam menunjukkan lebih kurang 4 pagi. Lantas ku segera mengambil wuduk dan kembali menyambung tidurku, Bimbang kalau-kalau ada sesuatu yang bukan-bukan berlaku. (Kadang-kadang aku ni penakut juga...hoho). Selang beberapa hari, aku masih juga memikirkan tentang mimpi tersebut. Bermonolog sendirian di dalam lubuk sanubari, berbagai-bagai persoalan timbul. Mengapa sejadah yang diminta? 

Sejadah Cinta.
Untuk membuatkan hati ini kembali tenang, aku pun menghadiahkannya sehamparan sejadah. Dengan harapan perkara itu tidak lagi akan menganggu ku. Termenung panjang dia apabila menerima pemberianku itu. Dia bertanyakan mengapa tiba-tiba sahaja aku memberinya hadiah sebegitu rupa. Puas dia memujuk ku untuk mengetahui sebabnya. Aku enggan memberitahu, malu! Nanti dikatanya aku seorang yang suka terpengaruh dengan mimpi sendiri. Namun aku akur jua, dan menceritakan padanya tentang mimpi tersebut. Seketika wajahnya berubah. "Aku dah nak mati kot". Teka-teki mula bermain dibibirnya. "Isy, Kau ni. Memanglah kita ni kena sentiasa mengingati mati tapi jangan la fikir sampai ke situ pula. Kau anggap sajalah ni hadiah dari aku ye", pujuk ku.  Pernah aku utarakan tentang mimpi yang satu itu di laman Facebook ku dan ramai yang berpendapat, kemungkinan itu petunjuk dari Allah. Namun aku menolak sangkaan tersebut dan menegaskan hati yang itu hanyalah mainan tidur. Tidak mungkin dia adalah jodoh ku! Ku biarkan persoalan itu terawang-awang di udara yang ku hela. Bagi ku, lama-kelamaan isu ini akan hilang dengan sendirinya seiring dengan hilangnya detik-detik masa yang berlalu.

Mimpi.
Rupanya kisah itu tidak habis di situ. Setiap malam dia muncul dalam mimpi ku. Aku semakin bingung. Sehinggakan aku jadi takut untuk tidur walaupun hakikatnya tidur sampai tak ingat dunia. Hahaha. Sesekali, pernah aku merungut tentang mimpi-mimpi ku terhadapnya. "Kenapa la kau asyik muncul dalam mimpi aku huh? Kau dah tak ada tempat lain ke nak singgah??" soal ku bersahaja. "Hurm.. Ada jodoh la tu" Jawabnya tanpa apa-apa perasaan. Ibarat air yang mengalir deras. Kata-katanya dengan lancar terpacul terus tertusuk ke jantungku. Membuatkan aku kembali berfikir tentang istikharah ku, tentang sejadah, tentang kata-kata teman facebook ku, tentang segala-galanya! Namun hati masih berdegil, enggan untuk menerima yang hakikatnya Allah sedang berbicara dengan ku. Allah sedang cuba untuk memberi petunjuk kepada insan yang berusaha memohon petunjuk darinya. Entah mengapa terasa berat benar untuk menerimanya. Ada juga kebimbangan di hati ini tentang pengaruh syaitan atau gangguan-gangguan dari anasir-anasir lain terutamanya hati sehingga menyebabkan dia sering muncul dalam mimpi ku. Aku akhirnya membuat kesimpulan yang mudah namun sukar utuk disemat dalam fikiran. "Buat apa aku nak pening-pening. Jika benarlah dia jodoh ku pasti Allah akan memudahkan jalannya. Pasti Allah akan memberiku sesuatu yang lebih meyakinkan hati ku", tegasku.

Itu Jalannya.
Hari demi hari berlalu, dia masih juga menjadi watak utama dalam setiap mimpi ku. Tidak ku endahkan lagi soal mimpi tersebut kerana ianya seolah-olah sudah sebati dengan lena ku. Ditakdirkan Allah, pada pertengahan Disember 2011 dia telah diarahkan untuk menjalani kursus selama seminggu di Kuantan. Aku begitu teruja mendengarnya. "Excited" terlebih sehingga aku pun turut sama memohon cuti semata-mata untuk menemaninya ke Kuantan dengan alasan, "Rasa macam nak balik kampung je jumpa Ummi dan Abah. Bolehlah aku balik Kuantan tumpang kereta kau." Dengan riang rianya kata-kata itu ku lafazkan. Sedang asyik aku menjamah santapan berbuka puasa (hari khamis) di kedai makan berhampiran Hotel Kings sambil ditemani dia (bercerita tentang perjalanan ke Kuantan nanti), tiba-tiba dia mencelah, "hurm..senang-senang kau dengan aku sajalah". Kiasannya sudah dapat ku fahami akan maksud yang tersirat. Subhanallah, betulkah apa yang ku dengar ni. Aku terdiam. Cuba mengatur kata-kata agar tidak merosakkan suasana dan cuba juga untuk tidak kelihatan terlalu terkejut, menenangkan diri sendiri. Nafasku ditarik sedalam-dalamnya. "Kalau macam tu, nanti masa kau hantar aku, sebelum kau ke tempat kursus tu kau singgahlah rumah aku dulu. Jumpa dan kenal-kenal dengan Abah. Lagipun Ummi tak ada. Nanti tak ada lah kau segan sangat. Ummi jaga nenek di Kelantan. Kalau kau rasa kau boleh terima dengan keluarga aku, dengan adik-adik aku dan mereka pun boleh terima kau, aku ok aje." Santai dan bersahaja. Langsung tidak kelihatan derauan darah yang mengalir deras dalam segenap kapilariku. Sederas-deranya! Aku sendiri tidak menyangka aku akan berkata-kata sedemekian rupa. Ya Allah, betulkah apa yang sedang aku lakukan ni?

Perancangan Allah Itu Lebih Teliti.
Perjalanan ke Kuantan mengambil masa hanya 3 jam setengah kerana kami bertolak dari Seremban (rumah ibu bapa Mustakim). Katanya ada barang yang perlu dihantar ke rumahnya jadi terpaksalah singgah di Seremban terlebih dahulu. Jadi sempatlah aku bertemu dengan orang tuanya walaupun untuk beberapa ketika. Kepulangan aku dan dia disambut oleh Abah ku yang tercinta bersama adik-adik kecil ku. Sangat meriah rasanya keadaan itu walaupun suasana dirumah agak suram tanpa Ummi dan Nenek yang sebelum ini tinggal bersama kami. Abah mempelawanya untuk bermalam di rumah kami. Agak terkejut sebenarnya dengan pelawaan Abah. Dia tidak menolak dan masa yang ada digunakan sebaik mungkin untuk mendekati Abah. Alhamdulillah, segalanya nampak baik-baik saja. Keesokkan paginya aku menemaninya ke tempat dia berkursus yang lebih kurang 10km dari rumah ku. Sesampai sahaja di sana, aku menerima panggilan dari Abah. Agak pelik apabila nama Abah terpapar di skrin telefon ku kerana tidak sampai setengah jam pun aku keluar meninggalkan rumah. "Kak Yong, cepat balik rumah. Kita kena siap-siap untuk balik kampung (Kelantan), Nenek dah tinggalkan kita semua lepas Subuh tadi." Antara percaya atau tidak aku mengiyakan arahan Abah.
Pusara Nenda
Tanggal 14 Disember 2011, Nenda ku yang tercinta menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi Ummi. Sungguh, tersangat indah aturan Ilahi. Ada hikmahnya mengapa aku beria benar ingin pulang ke Kuantan. Rupa-rupanya kami sekeluarga bakal berdepan dengan sebuah kehilangan. Segera ku tinggalkan bumi Pahang dan bertolak ke Kelantan bersama Abah dan adik-adik ku. Alhamdulillah, kami sempat bersama-sama menguruskan jenazah Nenda tercinta. Nenek kembali kepada Pencipta dengan penuh kesempurnaan. Ku lihat wajahnya berseri-seri, putih, bersih. Semoga Nenek ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah~ (T_T)

Hadiah Dari Allah.
Pemergian Nenek digantikan dengan hadiah yang terindah buat seluruh keluargaku. Pada 26 Januari 2012, aku telah menjadi tunangan orang. Kehadiran Mustakim dalam rencana kehidupan kami seolah-olah satu rahmat. Ummi yang sebelum ini sangat berdukacita dengan kehilangan ibundanya yang tercinta kembali gembira. Akhirnya anak sulungnya kini di sunting orang. Alhamdulillah, segalanya telah terungkai. Tiada lagi dilema yang membelenggu malam ku. Benarlah, dia adalah pemilik tulang rusuk ku. Rupanya jodoh ku tidak jauh, di depan mata saja. Cuma hati ini buta dan sangsi. Allah benar-benar telah mempermudahkan segalanya. Dialah jodoh yang telah dihadiahkan oleh Allah untuk ku. InsyAllah peghujung Mei ini akan berlangsunglah acara gilang gemilang yang julung kalinya diadakan diperkarangan rumah ku. Semoga segalnya berjalan lancar dan semoga Allah memudahkan segala urusan ijab dan kabul nanti. Amin....