BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Showing posts with label Isu Dihatiku. Show all posts
Showing posts with label Isu Dihatiku. Show all posts

Friday, June 17, 2011

Wahai Sahabat, Allah Menyayangimu

Kelihatan masing-masing bergegas meninggalkan ruang pejabat untuk makan tengah hari. Ada di antaranya yang bersiap-siap untuk melelapkan diri seketika di meja masing-masing. Aku pula hanya duduk mengadap pc menjengah-jengah ke ruangan maya, mencari bahan-bahan bacaan yang boleh dijadikan santapan minda dan rohani. Sambil itu, seperti biasa aku akan membiarkan laman e-mail ku terbuka kerana menanti kalau-kalau ada e-mail baru yang singgah di inbox ku.

Aku cuba menyapa salah seorag sahabatku di ruangan "chatting" yang terletak di penjuru kiri e-mail ku, mencuri peluang untuk berborak dengannya. Sapaan ku disambut baik. Satu per satu bait-bait kata terzahir melampiaskan kerinduan di hati. Lama benar aku tidak berpeluang untuk berbicara dengannya. Terimbau kenangan semasa di zaman kuliyah dahulu kerana dia merupakan salah seorang sahabat yang akrab dengan ku, yang juga merupakan kenalan pertama ku ketika aku mula-mula melangkah masuk ke universiti tersebut. Teruja rasanya ingin mengetahui pekembangan hidupnya yang kini sudah pun melangkah ke alam kerjaya seiring dengan ku.

Dari situ bermulalah episod sebuah penceritaan. Izinkan aku menceritakan sedikit tentang latar belakangnya. Dia merupakan anak ke-2 dari empat orang adik beradik. Hidupnya tidaklah terlalu susah jika dibandingkan dengan insan-insan di dalam rancangan Bersamamu. Namun, kepayahan ibunya sebagai ibu tunggal kesan dari perpecahan sebuah perkahwinan sedikit sebanyak membebankan benaknya. Namun aku kagum dengannya kerana walaupun dibesarkan dalam keluarga yang berpecah-belah, dia mampu menjejakkan kaki ke menara gading sehingga mampu menembusi alam pekerjaan. Apa yang lebih mengkagumkan aku adalah kerana imannya. Walaupun keluarganya bukanlah keluarga yang terlalu mementingkan pendidikan agama, namun dia mampu membimbing dirinya sendiri untuk menjadi seorang insan yang juga hamba kepada Allah.

Sungguh, tersentuh mendengar kisahnya. Aku sangkakan dia kini sudah mampu tersenyum puas dan menarik nafas lega dengan dunia kerjayanya memandangkan itu adalah salah satu harapannya iaitu ingin berdikari tanpa mengharapkan bantuan dari keluarganya lagi. Untuk kesekian kalinya lagi, dia diuji. Pelbagai fitnah dipalitkan ke atas dirinya. Apa yang lebih menyedihkan, fitnah itu datangnya dari saudara-maranya sendiri. Mungkin iri hati dengan apa yang dia miliki kini, mereka mengeluarkan pelbagai kenyataan-kenyataan yang bisa menggoyahkan kepercayaan ahli keluarganya terhadap dirinya. Segala kepedihan itu ditanggungnya sendirian. Walaupun aku tidak berada di tempatnya, namun aku dapat merasakan betapa sakitnya difitnah.

Apabila dia pulang ke kampung, pasti ada sahaja kata-kata sindiran kesat yang hinggap di telinganya. Mereka menyangkakan dia sudah lupa diri dan hanya ingin hidup bermewahan sahaja. Kemewahanlah sangat! Sedangkan gaji bulanan jawatan seperti kami ini hanyalah 2k sahaja. Belum lagi ditolak hutang kereta, sewa rumah itu dan ini. Bukan itu sahaja malah banyak lagi hamburan-hamburan sinis yang mereka lemparkan berpunca dari fitnah yang ditimbulkan. Sudah, tidak sanggup aku menceritakan tentang fitnah-fitnah tersebut. Sungguh, betapa remuknya hati apabila bersusah payah memandu kenderaan sendirian untuk pulang ke kampung yang mengambil masa perjalanan lebih 5 jam semata-mata untuk bertemu dengan keluarga tercinta dengan hati yang berbunga-bunga tetapi sesampainya sahaja sudah di sambut dengan taufan sindiran yang melenyapkan segala keindahan kuntuman bunga yang tadinya mekar mewangi. Sampainya hati mereka meperlakukan sahabatku sebegini rupa. Tidak cukupkah lagi penderitaan jiwa yang ditanggungnya selama hidupnya sebelum ini?

Sekali lagi aku menyatakan kekaguman aku terhadap kesabarannya. Walau sesekali jiwanya merintih kesakitan, bergelumang dengan air mata kekecewaan sehingga bengkak matanya namun bagi ku dia benar-benar seorang gadis yang tegar dan berjiwa kental. Tidak pernah sesekali dia berdendam terhadap mereka yang telah menyakitinya. Tidak pernah sesekali dia mengeluh dengan apa yang melanda dirinya. Sungguh, dia benar-benar layak diuji sebegini rupa. Kalau lah aku, sudah pasti jatuh tersungkur sampai tidak berdaya untuk bangun kembali. Semakin kuat diuji, semakin sayang Allah pada kita. Ya, aku nampak kasih sayang Allah sedang meresap ke dalam jiwanya kerana itulah semakin diuji semakin tabah dia menghadapinya. Sungguh, air mata ini tak mampu disimpan lagi lantas mengalir deras membasahi pipi terkesan dengan ketabahannya dan betapa Allah itu Maha Bijaksana dalam menilai hambaNya.

Terima kasih kerana masih sudi berkongsi cerita dengan ku. Moga ianya menjadi satu lagi pedoman bagi ku untuk lebih mengenal erti kehidupan sebagai hambaNya. Sahabat, ketahuilah Allah sedang berbicara dengan mu. Dia rindu mendengar rintihan mu. Dia ingin kamu sentiasa ingat padaNya. Dia ingin kamu sentiasa dekat denganNya. Ketahuilah sahabat, kamu benar-benar beruntung kerana diuji oleh Allah kerana sesungguhnya Allah amat menyayangiMu. Dan ketahuilah juga oleh mu bahawa suatu saat dan ketika nanti pasti kemenangan akan berpihak pada kebenaran. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa bersamamu dalam mengharungi liku-liku kehiduapan yang mendatang.

Sunday, February 20, 2011

Kadang-Kadang Bersendirian Itu Adalah Lebih Baik

Kedengaran suara kanak-kanak girang bermain di laman rumahku. Aku menjengah ke suatu sudut jendela, tertarik untuk memerhatikan gelagat mereka yang cukup lincang dan ceria bersama teman-teman. Sesugguhnya zaman kanak-kanak merupakan zaman yang cukup berharga dalam diri setiap insan yang bernama manusia. Cemburu pula rasanya melihat kemeriahan suasana mereka. Sedangkan aku, sunyi bertemankan sepi, terkurung di rumah sendiri bertemankan televisyen yang kadang-kala membosankan. Ada kalanya juga alunan lagu yang diiringi lalakan suara sumbang ku menceriakan sedikit suasana dan memecah kesunyian. Beginilah keadaannya setiap kali hujung minggu tiba sejak aku tinggal bersendirian kerana “housemate” ku telah berpindah ke mengikut tunangnya.

Selepas sahaja selesai menunaikan solat subuh, aku akan merebahkan kembali diriku sambil ditemani mimpi-mimpi di siang hari. Jika aku terjaga aku akan kembali menyambung tidur ku sehinggalah aku betul-betul sudah puas dan bosan dengannya. Kebiasaannya aku akan tidur sehinggalah azan zuhur berkumandang. Kemudian aku akan mengemas, menyapu dan mengemop keseluruhan rumahku dari bilik tidur hinggalah ke bilik air. Apabila sudah selesai sebuah rumah aku kerjakan, aku akan memandikan pula kereta kecil ku sehingga berkilat-kilat meskipun baru sahaja minggu lepas aku memandikannya. Bila malam menjelma pula aku akan menghabiskan 1/3 daripada malam ku dengan menunaikan solat, mengaji dan membaca tafsir al-quran sehinggalah aku mengantuk dan kembali tidur. Kemudian apa lagi yang perlu aku lakukan pada keesokkan harinya (Ahad)?! Adakah aku akan mengulangi lagi rutin tersebut?! Owh tidak… Sungguh membosankan!

Walaupun sudah lebih setengah tahun aku tinggal di sini, namun aku masih belum bertemu dengan seorang insan yang bergelar sahabat. Benarlah kata orang, mencari sahabat yang benar-benar serasi, yang benar-benar namanya sahabat dunia dan akhirat adalah ibarat mencari sebutir permata di pepasir pantai yang luas terbentang. Kadang-kadang sinaran mentari menipu pandangan mata sehingga kelihatan seakan-akan pepasir itu dipenuhi dengan kilauan permata sedangkan ianya hanyalah butiran pepasir yang tak bermakna dan akhirnya hanya mengecewakan. Dalam persahabatan, aku amat mengharapkan sesuatu yang aku perolehi dari seorang sahabat. Sesuatu yang boleh dijadikan teman di dunia dan bekalan di akhirat. Suatu ketika yang lalu, pada bulan Oktober 2010 iaitu selang 2 bulan aku bekerja di sini, Allah telah mentakdirkan aku untuk bertemu dengan seorang insan.

Ketika itu dia baru sahaja diterima bekerja di pejabatku dan menjadi rakan sejawatku. Memandangkan dia mempunyai masalah tempat tinggal, aku membantunya mendapatkan rumah untuk disewa. Entah apa yang membuatkan aku lembut hati ingin membantunya sedangkan aku tidak pernah kenal dengannya. Bagiku, mungkin dialah sahabat yang dianugrahkan oleh Allah kepada ku yang ku nanti-nantikan sebelum ini. Kebetulan, jiranku ingin mencari penyewa kerana dia tinggal sendirian. Rumahnya hanya selang berapa buah rumah dari rumahku. Setiap pagi dia akan bersama-sama menaiki kereta ku untuk ke pejabat kerana di tidak mempunyai kenderaan. Keadaan tersebut berlarutan selama 4 bulan dan sepanjang tempoh tersebut, kami semakin akrab memandangkan kami terpaksa bersama kerana skop kerja yang sama dan menaiki kereta yang sama. Banyak masa yang diluangkan bersama berbeza dengan rakan sejawat yang lain yang sekadar menjadi teman di pejabat sahaja.

Pada permulaannya aku rasa selesa dengan persahabatan tersebut. Dia dibesarkan di Kuala Lumpur dan berasal dari keluarga yang mementingkan agama. Keluarganya agak mewah dan berada. Pada permulaannya, aku merasakan yang dia merupakan seorang pendengar yang setia, seorang yang mudah memberikan pendapat dan mengambil berat tentangku. Sikapnya yang mudah menghulurkan bantuan membuatkan aku sering terhutang budi dengannya. Namun semua itu belum menjaminnya untuk menjadi sahabat karib ku kerana dia bukanlah seorang yang mementingkan agama sebagaimana ibubapanya. Dia tidak pernah menunaikan solat lima waktu sepanjang aku berkawan dengannya. Hanya apabila ada ibu bapanya sahaja dia menunaikan solat. Pandangannya terhadap perspektif agama juga bertentangan dengan pandanganku dan sering menimbulkan ketidakpuasan hatiku. Namun aku hanya diamkan sahaja kerana bukan mudah untuk bertekak dengan orang yang telah mati hatinya dan aku pun malas nak bertikam lidah dengannya dan lebih baik aku bukukan sahaja di hati. Dari segi pemakaiannya juga tidak berapa aku senangi. Walaupun badannya agak gempal, dia tetap mengenakan pakaian yang ketat dan seluar yang menampakkan anggota tubuh yang tidak sepatutnya didedahkan. Aku perasan ada segelintir pekerja lelaki yang ‘geram’ melihatnya tapi aku tidak tahu bagaimana untuk menegurnya. Pernah aku menyentuh soal itu, namun jawapannya sungguh menyedihkan aku. Owh Tuhan, aku tidak sanggup menghadapi situasi ini. Aku sangat malu apabila orang menggelarkannya sahabat baikku. Dia sering mengutuk orang yang seksi dan sebagainya tetapi dia tidak sedar bahawa apa yang diperkatakannya ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Dia benar-benar mengecewakan aku kerana persepsi pertama ku terhadapnya semuanya dusta semata-mata. Kalau dipermulaannya aku sudah paham akan gaya hidupnya yang sosial rasanya aku masih lagi boleh terima, tapi bila pada awalnya semua nampak baik tapi hakikatnya hanya tipu-tipu sahaja, sekali-kali sungguh aku kecewa!

Sikapnya yang suka memaksaku juga membuatkan aku sedikit kurang selesa dengannya. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan perkara yang aku tidak suka. Namun aku hanya diamkan kerana mungkin ini sekadar perasaanku semata-mata. Kalau diikutka hati ingin sahaja aku menjauh darinya. Namun keadaan benar-benar tidak menyebelahi aku. Masakan aku bisa menjauhinya sedangkan setiap hari dia menaiki keretaku, lepak di mejaku dan makan bersamaku. Argh, sungguh merimaskan. Segala-galanya hendak dilakukan bersama sampaikan nak ke tandas pun ajak aku! Aku paling benci orang yang terlampau suka menyendeng-nyending. Ke mana aku pergi, pasti dia ingin pergi bersama tetapi bila aku ke surau untuk solat zuhur, tidak pula dia sibuk-sibuk nak ikut sama. Jika aku menghilangkan diri, pasti dia akan menyoal siasatku ke mana aku pergi, kenapa aku pergi dan sebagainya. Aku RIMAS!

Aku cukup gembira apabila mengetahui bahawa dia telah membeli sebuah Produa Myvi dan telah pun dibawanya pada minggu lepas. Inilah yang membuka peluang kepada ku untuk mengatur strategi menjauhkan diri darinya. Bukan niat ku untuk memutuskan silaturahim dengannya tetapi sekadar ingin tidak begitu rapat dengannya. Cukuplah menjadi kawan sahaja sebagai mana kawan-kawan sepejabatku yang lain. Jika begini keadaannya aku lebih rela bersendirian bertemankan sepi daripada bersahabat bertemankan orang yang membuatkan hatiku tidak tenteram dan nantinya hanya akan lebih memburukkan keadaan. Maafkan aku wahai ‘sahabat’…. Mungkin Allah anugerahkan dia dalam hidupku sekadar ingin menguji ku, melihat sejauh mana aku mampu menyampaikan dakwah (menegur kesalahannya) dan menilai sejauh mana kesabaran ku dalam meniti sebuah persahabatn. Ternyata aku gagal menempuhinya dan aku berundur diri.

Maafkan aku Ya Allah, aku tidak kuat untuk semua itu dan ternyata bersendirian itu adalah lebih baik bagi ku kerana dengan bersendirian aku akan lebih rapat denganmu, aku akan lebih berkurangan dalam bercakap perkara yang sia-sia dan hatiku lebih damai dari terus mengumpat dan membenci orang. Cukuplah Allah menjadi pendampingku kala aku kesedihan, kala aku kesusahan dan kala aku memerlukan teman untuk berbicara, cukuplah Rasulullah menjadi penguat semangatku saat ianya pudar dimamah kealpaan, cukuplah Kalam Ilahi menjadi penghiburku kala aku kesunyian. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Di sini aku coretkan sedikit petikan ayat dari buku yang ditulis oleh Dr. ‘Aidh B. Abdullah Al-Qarni sebagai pengubat jiwaku.

“Hindarilah perdebatan yang tidak perlu serta perkumpulan yang tidak bermanfaat. Jauhilah kawan yang jahil kerana ia boleh menarikmu kepada kejahilan. Ketahuilah bahawa tabiat yang buruk boleh mempengaruhi tabiat baikmu dan penglihatan matamu yang buruk boleh menjerumuskanmu ke dalam kejahatan”

“Berapa banyak satu kata merenggut sederet kenikmatan dan satu kekhilafan membawa kepada kehinaan. Sebaliknya berapa banyak kesendirian mendatangkan kebaikan dan pelakunya mendapat kemuliaan yang tinggi dari Allah”

“Tidak ada ketenangan kecuali dengan menyendiri dalam ketaatan (uzlah). Tidak ada rasa aman kecuali dengan kepatuhan. Tidak ada rasa sayang kecuali dengan menepati janji. Tidak ada kepercayaan kecuali dengan kejujuran”

Sunday, October 31, 2010

Kau Buat Aku Tersenyum


“I Love When They Are Together... My Jejaka Idaman Kolbu Asyraf, My Guy That Makes Me Smile Fahrin Ahmad and My Idol That Give Me A Lot Of Motivation Dr. Fazilah Kamsah..” (◕‿◕)

ASYRAF

Nama Penuh: Muhammad Asyraf Bin Ridzuan
Asal: Pulau Pinang
Umur: 26 Tahun
Tarikh Lahir: 12 Februari 1984
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Imam
Pendidikan Tertinggi: Ijazah Sarjana Muda Usuluddin & Fiqh, Universiti Malaya


FAHRIN

Nama Penuh: Fahrin Bin Ahmad
Asal: Johor
Umur: 31 Tahun
Tarikh Lahir: 9 Mei 1979
Status: Bujang
Pekerjaan: Model dan Pelakon
Pendidikan Tertinggi: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara


DATO' FAZILAH KAMSAH

Nama Penuh: Dato' Dr. Haji Mohd Fazilah Bin Kamsah
Asal: Selangor
Umur: 59 Tahun
Tarikh Lahir: 16 Julai 1951
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Pakar Motivasi
Pendidikan Tertinggi: Master of Science in Agricultural Journalism, Wisconsin University (USA)

Sunday, May 23, 2010

Makan Untuk Hidup, Bukan Hidup Untuk Makan!

Jam menunjukkan 1.00pm. Aku lantas meninggalkan kaunterku memandangkan waktu rehat hanya sejam dan terus menuju ke 'pantry' bersama beberapa orang rakan yang lain untuk makan tengahari. Sedang aku asyik menikmati roti Gardenia yang berintikan sambal bilis, tiba-tiba aku ditergur oleh salah seorang daripada mereka, "Hai Sha, lunch dengan roti je ke? Meh la makan nasi sekali," sambil menghulurkan hidangan lauk-pauk mereka yang berbagai jenis terhidang di atas meja tersebut. Kari ikan, sayur masak lemak, sambal belacan dan banyak lagi. Aku menolak dengan lembut. Bukan tak sudi tetapi tidak berapa tertarik dengan hidangan itu. Cukuplah dengan roti sekadar ingin mengeyangkan perut selain dapat menjimatkan masa. Jadi waktu rehat yang selebihnya boleh dimanfaatkan untuk solat Zuhur.

Kalau disebut tentang makanan, memang Malaysia merupakan negara yang cukup kaya dengan perbagai jenis makanan. Pernah aku berbual dengan seorang pelancong asing dari Sweden ketika sedang menunggu Monorail. Salah satu topik perbualan kami adalah mengenai makanan di Malaysia. Menurutnya, dia seronok datang ke Malaysia kerana terdapat pelbagai jenis makanan yang mempunyai 1001 rasa yang berbeza-beza. Jika dilihat dari aspek kesihatan pula, diaggarkan terdapat lebih 10, 000 rakyat Malaysia meninggal setiap tahun disebabkan oleh penyakit yang asalnya dari makanan seperti Diabetis, sakit jantung, sakit buah pinggang dan pelbagai komplikasi yang berkaitan. Inilah akibatnya jika kita mengamalkan budaya hidup untuk menikmati segala makan yang ada di atas muka bumi ini! Firman Allah:

"Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia. " (Surah Thaha :81)

Berikut adalah beberapa jenis makanan dan hikmahnya dalam Islam yang di petik dari sebuah artikel yang bertajuk "Tips Kesihatan Menurut Islam".

Roti (khubz)

Roti yang paling bagus ialah diperbuat daripada gandum yang baik dimasak dalam pembakar roti yang bulat. Roti itu dibiarkan sejuk sebelum dimakan, jika tidak kita akan merasa haus bila memakannya. Roti yang sudah lama dan tidak elok akan menyebukan perut. Roti yang terdapat sekam gandum mudah dicernakan. Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jangan potong roti dengan pisau. hormatilah roti itu dengan memotong dengan tanganmu kerana Allah menghormati roti itu".


Barli (sya'ir)

Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Rasulullah s.a.w. pernah memberi sup barli kepada orang yg mengidap demam.


Biji hitam (habb al sauda)

Dilaporkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jadilah seperti biji habbal sauda kerana biji ini ubat semua penyakit kecuali kanser dan mati". Adalah dilaporkan juga bahawa Allah Taala menunjukkan bahawa "ia" itu ialah hab al sauda menghapuskan angin dalam usus dan demam. Baik untuk merawat 'leukoderma' dan membuka saluran urat yang halus. Berguna untuk menghilangkan penyakit selesema.


Tamar kering (tamr)

Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Rumah yang tiada tamar atau kurma adalah rumah yang tiada bermakanan". Nabi s.a.w. sendiri pernah menanam kurma atau tamar. Kurma hendaklah dimakan dengan badam untuk menghapuskan parut yang tidak diingini.


Limau

Limau kulit tebal, warna kuning pucat, kurang mengandungi asid (utrujj) Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, "Limau ini adalah seperti mukmin: bagus dirasa dan bagus dihidu". Limau ini menguatkan organ hati serta dapat menjauhkan kesedihan dan bintik-bintik pada kulit, menghapuskan kelaparan dan melambatkan pengaliran dalam hempedu.


"Endive" (hindiba)

Khasiat hindiba berubah mengikut musim. Hindiba' pada awal musim adalah yang paling baik dan yang dipenghujungnya sudah tidak berkhasiat lagi. Hadith menyatakan "makanlah hindiba dan janganlah bersendawa kerana sesungguhnya tidak ada satu hari pun titisan air syurga tidak jatuh ke atas hindiba"


Buah Ara fig (fin)

Fin kering adalah yang terbaik. Di antara khasiatnya ialah untuk memanaskan badan dan rasanya enak. Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Jika anda kata ada buah datang dari syurga maka itulah fin kerana sebenarnya inilah buah syurga". Oleh itu makanlah buah fin kerana khasiatnya menyembuhkan penyakit buasir dan pirai.


Halia (zanjabil)

Halia disebut dalam ayat alQuran (ayat 17, Surah Al Insan) firman Allah Taala yang bermaksud "Dan mereka dalam Syurga itu,diberi dari sejenis minuman yang campurannya dari zanjabil". Khasiatnya membantu penghadaman dan memanaskan badan.


Fenugreek (Hulbah)

Nabi s.a.w. pernah bersabda "jika umatku tahu apa yang ada pada hulbah, mereka pasti membeli dan membayarnya dengan emas". Antara khasiat hulbah membantu pengaliran haid dan berguna untuk menyembuhkan sakit perut(memulas).


Madu lebah(a'sal)

Madu lebah mempunyai berbagai-bagai khasiat. Madu atau manisan lebah ini apabila dicampur dengan air panas boleh mengubati penyakit cirit birit. Sabda Nabi s.a.w., "Demi Allah yang aku dalam genggaman Nya, minumlah madu. Malaikat akan memohon rahmat pada penghuni rumah yang ada madu di dalamnya. Jika seorang itu makan madu, seribu ubat masuk keperutnya dan sejuta penyakit keluar darinya."


Rasulullah sendiri mengamalkan meminum madu, dengan meminum segelas air yang dicampurkan dengan madu setiap pagi ketika perut kosong. Madu dianggap ibu segala makanan, minuman dan ubatan. Madu yang paling berkualiti ialah madu yang dikeluarkan dalam musim bunga (spring), seterusnya dalam musim panas (summer) dan yang kurang berkualiti adalah madu yang dihasilkan dalam musim sejuk (winter).






Tuesday, May 4, 2010

Didiklah Wanita Dengan Keimanan

Hati ku tersentuh, jiwa ku terganggu lantaran akal yang ligat berfikir mendorong jari-jemariku untuk beraksi dengan tarian tanpa irama di atas pentas papan kekunci komputer riba ku. Di mana tempatnya seorang isteri kalau bukan pada suaminya dan di mana letaknya maruah si suami kalau tidak pada isterinya? Isteri yang solehah menjadi cermin berlian yang berkilauan buat sang suami. Aku sedar, aku tidak layak berbicara soal ini memandangkan aku yang masih ‘single’ dan pengetahuan yang agak terbatas tentang ilmu rumah tangga. Namun, apa yang ingin aku persoalkan adalah rentetan atas apa yang berlaku di depan mataku. Dan rasanya tidak salah untuk aku berbicara tentang soal ini kerana suatu hari nanti aku juga akan bergelar isteri kepada seorang lelaki yang bernama suami. Apa yang menjadi persoalan di sini bukanlah tentang tanggungjawab, ‘commitment’, keganasan rumah tangga, keruntuhan institusi kekeluargaan atau sebagainya tapi tentang perihal di mana letaknya jiwa pendidik dalam diri seorang lelaki yang bergelar suami.

Ramai lelaki sekarang yang tidak mampu menggunakan kuasa mereka sebaik-baiknya sehingga mereka gagal untuk mendidik isteri mereka. Teringat rangkapan lagu, “Didiklah wanita dengan keimanan bukannya harta ataupun pujian…” Benar, wanita kini sudah terbiasa dijinakkan dengan harta benda dan kemewahan yang bersifat duniawi semata-mata. Mereka mempunyai rumah yang besar, kereta yang mewah. Kagum seketika dengan kejayaan sang suami yang mampu memberi kebahagian dan kemewahan kepada keluarga yang dibinanya, sebuah keluarga yang bahagia disirami dengan kemewahan. Namun kecewa untuk ketika-ketika seterusnya tatkala melihat sang isteri yang berpakaian ibarat menayangkan apa yang ada ditubuhnya untuk tontonan umum. Hilang segala rasa bangga ku terhadap suami sebegitu rupa, gagal membentuk isteri menjadi wanita yang tahu menjaga aurat dan harga dirinya! Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:

“Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?” Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya.”

Cukupkah dengan kemewahan, kekayaan, kebendaan, kemesraan dan segala ‘ke-ke’ yang seangkatan dengannya mampu membuahkan kebahagian? Bagaimana dengan keimanan? Atau itu tak perlu? “Kan dah cukup bahagia sekarang, untuk apa lagi keimanan itu? Lagipun kami muda lagi. Masa nilah nak ‘enjoy’ dengan apa yang kami miliki. Kami nak tunjuk pada dunia yang kami adalah pasangan paling bahagia dan ingin satu dunia tahu aku bertuah kerana memiliki isteri yang cantik dan seksi.” Aaah, dialog orang yang tidak berpedoman! Allah berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang di perintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang di perintahkan”.

Dari Rasulullah Saw. beliau bersabda:

“Sesungguhnya Allah Swt. Akan menanyai setiap pemimpin dari apa yang di pimpinnya, apakah dia menjaganya atau menyia-nyiakannya, sehingga seorang suami akan di tanya mengenai keluarga rumah tangganya”. (HR. An Nasaai).

“Macam mana nak didik isteri sedang diri sendiri pun tak terdidik,” itulah persoalan yang cukup membimbangkan diriku. Masih adakah lelaki yang mampu menjadi pendidik untuk permaisuri hidupnya? Lelaki yang mampu membina sebuah istana indah berdindingkan nilai-nilai keimanan dan ketaqwaan yang mampu menjadi pelindung buat isteri dan anak-anaknya? Memang benar tiada manusia yang sempurna. Itulah sebabnya Allah menciptakan lelaki dan perempuan untuk saling lengkap melengkapi. Kekurangan sang suami mampu ditutup oleh isteri yang bijak mengendalikannya begitu juga sebaliknya. Pernah aku terdengar ayat yang keluar dari mulut seorang isteri, “Alah, laki aku bukannya alim sangat nak sembahyang-sembahyang ni. Aku pun tak kisah. Pandailah dia jaga diri dia.” Subhanallah, mana letaknya nilai saling lengkap melengkapi itu? Mana letaknya maruah suami yang sudah sedia tak bermaruah itu? Seolah-olah ianya dihenyak-henyak! Sungguh, rasa hormat sudah semakin terhakis dek kegagalan suami untuk membentuk dan memelihara rasa hormat itu.

“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” (Surah An-Nisa’:34)

Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau tidak mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang bermaksud:

"Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya."

Mengimbas rentetan sejarah tentang keperibadian Rasulullah dalam mendidik isteri baginda membuatkan hatiku semakin sayu, bimbang dan sedih apabila terbayang lelaki-lelaki masa kini sama ada yang sudah bergelar suami mahupun tidak. Sayu, bimbang dan sedih kerana institusi kekeluargaan kian kehilangan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin. Rasulullah saw. telah mengajarkan isteri-isterinya tentang akidah, mengabarkan kepada mereka mengenai keesaan Allah Swt dan keagunganNya. Rasulullah bersabda kepada Aisya Ra. :

“Barangsiapa yang di hisab pada hari kiamat maka akan di siksa”. Kemudian Aisyah Ra. Mengatakan: bukankah Allah Swt. Telah berfirman: “maka dia akan di periksa dengan pemeriksaan yang mudah”, maka Rasulullah saw. menjawabnya sebagai pengajaran dan penjelasan untuknya terhadap hal dari hal-hal yang berkaitan dengan akidah, beliau mengatakan: “hal itu bukanlah hisab, akan tetapi hal itu adalah penyajian, barangsiapa yang di debat dalam hal pemeriksaan pada hari kiamat maka dia di siksa”.

Rasulullah juga mengajarkan mereka zikir pagi dan petang termasuk bagaimana caranya meminta perlindungan kepada Allah dari segala kejahatan. Dari Aisyah ra:

Rasulullah saw. memegang kedua tanganku dan menunjuk ke bulan, dan berkata: Ya Aisyah! Berlindunglah kepada Allah dari kejahatan ini, karena hal ini adalah kejahatan malam apabila telah gelap gulita”. (HR. Ahmad).

Seperti itulah sikap Rasulullah dalam mendidik isteri-isterinya, termasuk sikap beliau terhadap isterinya yang merendahkan isterinya yang lain sekalipun dia mempunyai alasan yang kuat. Maka sebaiknya seorang suami yang muslim mengajari dan mendidik isterinya, seperti melawan hal-hal yang bersifat kemungkaran yang timbul darinya baik dari segi dia berpakaian atau berhias dan dalam hal-hal yang lain.

Aku tidak mengharapkan mereka menjadi sesempurna Rasulullah SAW dalam membawa watak seorang suami namun sekurang-kurangnya berusahalah untuk mencontohi baginda. Ketahuilah, sehebat manapun seorang wanita itu mereka tetap perlu dididik, dibimbing dan diberikan pedoman oleh seorang lelaki. Ingat kembali fitrah kejadian wanita yang diciptakan dari acuan tulang rusuk yang bengkok dan mana mungkin lahirnya banyangan-bayangan yang lurus dari objek yang bengkok. Begitulah umpamanya keperibadian seorang wanita yang perlu dibentuk dengan didikan yang sebaik-baiknya. Sedarlah wahai kaum Adam sekalian, kuasa mengubah dunia terletak pada kaummu. Jangan biarkan wanita menguasai dunia rumah tangga, lebih-lebih lagi wanita yang kurang pegangannya dalam agama sehingga kelak melahirkan zuriat-zuriat yang makin tersasar dari jalannya. Pandanglah jauh ke hadapan untuk kebaikan keluargamu, fikirlah sedalam-dalamnya tentang kehidupan dirimu dan mereka yang tidak hanya di dunia malahan untuk kehidupan di akhirat kelak.

Saturday, April 24, 2010

Huh, Macam-Macam Betul!

“My baby you…are the reason I could fly….,” telefon bimbit yang terdampar di peraduan, merdu mengalunkan lagu kegemaranku. Aku segera mencapainya dan menjawab panggilan yang datangnya dari sepupuku. Dialah satu-satunya sepupu lelaki yang paling rapat dengan ku sejak dua dekat yang lalu. Mungkin atas faktor kami seusia dan mempunyai perangai yang sama-sama pelik membuatkan kami ‘ngam’. Air dicencang takkan putus. Begitulah perumpaan yang paling tepat bagi hubungan kekeluargaan antara kami. Agak pelik jugalah kerana jarang dia menghubungiku melainkan ada hal yang penting. Belum sempat aku menjawab salamnya, pantas dia mengajukan soalan kepadaku, “Kak Yong, free tak? Jom keluar. Teman orang cari barang kat Lowyat. Orang tunggu Kak Yong kat KL Sentral ye.” Dengan spontan aku menjawab, “Ok-ok. Sejam lagi Kak Yong sampai.” Hmm..pucuk dicita, ulam mendatang. Kebetulan aku sememangnya ‘free’ yang teramat sangat tiap kali hujung minggu. Aku lantas bersiap bimbang kelewatan hingga nanti dia terpaksa menunggu lama.

Dalam perjalanan dari Bukit Jalil ke KL menaiki tren LRT yang memakan masa hampir 40 minit, aku sempat mencuri-curi pandangan ku ke arah seorang jejaka yang agak tampan jugalah. Wajahnya memang cukup melambangkan kejantanan dengan kemasan rambut dan janggutnya yang orang kata ‘macho’lah. Dia dengan penuh gayanya masuk ke gerabak LRT tersebut dan duduk bersebelahan denganku bersama seorang rakannya lantas memulakan perbualan mereka. MasyaAllah, alangkah terkejutnya aku. Hendak tergelak pun ada. Hahahaha… Dari perbualan mereka aku memperolehi satu kepastian yang agak sukar untuk aku percaya hingga membuatkan aku berasa cukup geli hati. Rupa-rupanya mereka adalah ‘lelaki lembut, auww!’ Hmm..sungguh tidak ku sangka sama sekali. Kejantanan seorang lelaki yang pada mulanya berjaya menarik perhatianku rupa-rupanya tidaklah sejantan mana. Macam-macam betul manusia ni. Tetapi, Alhamdulillah kerana dia masih mengekalkan penampilannya sebagai seorang lelaki, tidaklah sehingga ke tahap berpakaian seperti wanita!

Setelah selesai kami membeli barang-barang si engineer komputer (sepupuku) di Plaza Lowyat, kami mengambil keputusan untuk ke Bukit Bintang. Sungguh, begitu ramainya umat manusia di situ. Kebanyakan dari mereka adalah golongan remaja hingusan. Begitulah ‘tren’ pelajar-pelajar sekolah di sini, berkumpul ramai-ramai, lepak sambil menunjukkan aksi dan kehebatan masing-masing. Ada yang hanya duduk termenung jauh memikirkan masa depan agaknya. Ada juga yang beraksi ‘shuffle’, bermain ‘skateboard’ dan tak kurang juga yang bergaduh dengan ‘awek’ sehingga ada aksi tarik-menarik rambut di khalayak yang ramai tersebut! Huh, macam-macam betul.

“Kak Yong, jom kita cari surau. Dah lewat ni,” ajaknya sambil mununjukkan jam pada tangannya yang ketika itu tepat 6.00pm. Kami lantas menuju ke arah bangunan Pavilion yang tidak jauh dari situ. Melangkah sahaja ke dalam ruang legar bangunan, terasa seperti berada di luar Negara. Mana tidaknya 80% daripada pengunjungnya terdiri daripada pelancong asing. Kami terus menuruni ‘escalator’ yang bertingkat-tingkat ke bawah bangunan tersebut untuk ke surau. Pintu surau dikuak, kaki kanan ku memulakan langkah memasuki ruang solat. Ketika itu kelihatan hanya seorang sahaja yang sedang mendirikan solat. Ayu sungguh wanita tersebut dengan telekungnya. Khusyuk dia berbicara dengan Penciptanya. Selesai sahaja aku berwuduk, kedua tapak tangan ku tadahkan memanjat doa ke padaNya. Ku lihat wanita tadi sudah selesai solat dan membuka telekung yang tadinya menyelubungi segenap jasadnya. Mataku terpana seketika. Subhanallah, betulkah apa yang ku lihat atau sebenarnya kerabunan mata ku semakin meningkat?? Benar, tak salah lagi. Wanita itu hanya memakai skirt yang tidak berapa labuh (di paras peha) dan berbaju singlet. Rambutnya usah ditanya, berwarna-warni mengalahkan pelangi yang merupakan fenomena optik dan meteorologi yang menghasilkan spektrum cahaya. Langsung hilang segala yang indah di mataku seketika tadi. Entahlah, dunia sekarang memang pelik, macam-macam betul. Tapi syukur Alhamdulillah, dia masih menunaikan salah satu tanggungjawabnya walaupun masih belum sempurna, InsyAllah dari solat yang didirikan akan memberinya cahaya petunjuk untuk menjadi wanita yang sempurna sebagai muslimah sejati. Aku sendiri pun masih banyak kurangnya. Banyak lagi yang perlu aku perbaiki. Semoga Allah sentiasa memelihara diriku, keluarga ku serta seluruh muslimin dan muslimat agar tetap teguh di jalanNya. Amin….

Saturday, April 10, 2010

Kekasih Yang Sungguh Kasihan

Dedaun hijau melambai mesra tatkala disapa angin nyaman yang berkeliaran di ruang udara. Suasana petang di Hutan Lipur Sungai Congkak itu cukup mendamaikan. Aliran sungainya mengalir merentasi liku-liku tanpa mempedulikan bebatu yang bagaikan cemburu melihat ia mengalir riang. Sedang aku asyik terbuai dengan keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Indah itu, tangan ku di sentap oleh anak kecil yang kelihatan begitu ghairah untuk mencecahkan dirinya ke dalam air yang dingin itu. “Kak Yong…Kak Yong, jomlah bawa Haikal ke sana!! Haikal nak mandi guna pelampung Ben10 ni,” jeritnya yang merupakan anak kepada sepupuku yang menjadi pemecah kesunyian tatkala aku bertamu di rumahnya.

Dalam keasyikan melayan kerenah si kecil bersama adiknya yang bagaikan itik bertemu air, pandangan ku tertarik pada sekumpulan remaja yang diamatanku dalam linkungan 19-21 tahun. Mereka kulihat sedang asyik menikmati “keindahan” dalam dunia mereka. Pada mulanya ku sangkakan mereka adalah pasangan kekasih (lelaki dan perempuan) tapi ternyata aku silap! Lensa kamera DSLR yang berada di tangan ku seolah-olah memaksa aku untuk difokuskan ke arah mereka. Waah, aku ni macam wartawan “terjah” pula rasanya. Tenyata mereka memang pasangan kekasih tetapi kasih mereka bukan calang-calang kasih. Kasih antara perempuan yang berpewatakan lelaki (pengkid) dengan kekasih wanita yang digelarnya “awek”. Begitu menjijikkan tingkah mereka. Siap berkhemah lagi dipinggiran sungai. Entah apa yang mereka rencanakan. Mungkin ingin menghabiskan malam minggu bersama sang kekasih hati bertemankan alunan deruan air sungai, di saksikan oleh rembulan terang di kala malam hari?? Hmmm…Allah lebih mengetahui…Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangan (kuasa), tetapi jika tidak berkuasa mengubahnya dengan tangan, maka ubahlah dengan lidah (nasihat) , tetapi jika tidak mampu mengubahnya, maka ubahlah (benci) dengan hati. Maka yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." ( Muttafaq Alaih).

Sebenarnya ini bukanlah situasi pertama yang ku lihat. Sudah bermacam-macam ragam pasangan lesbian telah ku saksikan lebih-lebih lagi ketika aku menetap di Pulau Pinang 2 tahun yang lalu. Mereka begitu bermaharajalela dengan drama-drama mereka yang cukup romantis sekali (Nauzubillahiminzaliq). Subhanallah, sudah pupuskah lelaki di atas muka bumi Allah ni? Atau begitu teruk mereka dipermainkan oleh lelaki sehingga mereka merasakan mereka lebih layak memegang watak lelaki dalam pentas dunia? Sesungguhnya Allah telah menetapkan untuk mereka menjadi seorang wanita di dunia ini. Tidakkah mereka rasa bersalah menentang penetapan Pencipta Yang Teragung dengan cuba mengubah kejadian asalnya? Sabda Rasulullah SAW, daripada Ibn Anas r.a berkata;

Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita.” (HR al Bukhari)

Tidakkah mereka berasa bertuah kerana lahirnya kedunia sebagai perhiasan yang indah? Tidakkah mereka tahu bahawa banyak kelebihannya menjadi wanita yang sebenar-benarnya wanita? Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

Kehendak nafsu buas yang tidak dikawal lantas mengganas sehingga menjerumuskan diri dalam hubungan sejenis yang terang-terangnya dilarang oleh Allah. Sememangnya dunia kini kembali mengimbas segala yang pernah terjadi ke atas umat-umat terdahulu. Hubungan sejenis ini telah berlaku sejak zaman Nabi Lut lagi sehingga Allah berfirman:

“..dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan Yang keji, Yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui batas".(Surah Al-‘Araf : 80 - 81)

Apa lagi yang mampu aku katakan? Kecewa, sedih, marah dan segala yang ku rasai ini tidak mampu merubah pemikiran dan tingkah laku mereka yang sudah semakin jauh tersimpang dari jalan Allah. Biarlah ianya menjadi pengajaran buat diri ku agar aku tidak terjerumus dalam apa jua bentuk kemaksiatan yang mengundang kemurkaan Allah. Nauzubillahiminzaliq…

Saturday, March 20, 2010

Hati Setegar Tembok Konkrit

Kehangatan malam masih terasa dek kerana mataku masih enggan terlena. Aku mendongak ke arah jam dinding yang ketika itu jarum panjang dan pendek berada tepat diangka 12 menandakan hari baru bermula. Aku mengalihkan pula pandangan ke arah sisi kiriku. Dalam kesamaran cahaya, aku dapat melihat kelibat teman sebilik ku yang sedang dibuai mimpi. Barangkali bukan mimpi yang indah kerana ku lihat, dia seperti tidak keruan. Sekejap berkalih ke kiri kemudian ke kanan. Mungkin juga kerana tidak selesa dengan kehangatan pada malam ini. Alam terasa begitu sunyi dan tenang sekali. Kedamaian tiba-tiba menyelinap ke sanubari ku. Aku teringat akan sabda junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW yang artinya:

"Pada waktu seseorang tidur, syaitan membuat tiga buah simpul dikepalanya. Untuk setiap ia mengatakan : “tidurlah engkau sepanjang malam, bila ia terbangun, lalu menyebut nama Allah, maka lepaslah satu simpul, Jika ia berwudhu, maka lepaslah satu simpul lagi; dan jika ia shalat, maka terbukalah seluruh simpul. Pada waktu bangun lagi, ia akan merasa penuh semangat dengan badan yang segar. Jika tidak,ia akan bangun pagi dengan perasaan serba tak enak dan malas.”(HR.Imam Bukhari,dari shahabat Abu Hurairah r.a)

Saat segenap alam sepi bertemankan mimpi dalam kerehatan yang agak panjang, deruan enjin kereta Produa Kancil berwarna biru di perkarangan rumah sedikit mengganggu kedamaian yang tadinya menghuni sanubariku. Tidak sampai beberapa detik, kedengaran pula grail berwarna maroon di ruang tamu rumahku di kuak. Deria pendengaran yang Allah kurniakan kepadaku telah meransang reseptor sarafku untuk menghantar maklumat tersebut melalui neuron-neuron otak yang berhubung. Fahamlah akan diriku bahawa teman serumah ku telah keluar bersama lelaki yang digelar olehnya “kawan” yang juga sepejabat dengan kami. Aku lansung tidak menjenguk ke luar jendela untuk memastikan apa sebenarnya yang telah berlaku kerana memang biasa benar perkara ini terjadi tatkala menjelang hujung minggu.

Apa yang bakal aku coretkan ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan dirinya. Tetapi hanya sekadar untuk menjadi peringatan pada diriku agar aku tidak terikut jejaknya dan juga ingin meluahkan perasaan kurang senang akan sikapnya yang sering keluar kala dini hari dan pulang kala subuh hari. Aku yang sedikit rasa berdosa kerana tidak mampu menyedarkannya walau sudah pelbagai andaian buruk telah ku dengar tentang dirinya. Walhal, dia sendiri pun mengetahui akan hal itu tetapi lansung tidak diendahkan. Aku sedar, dirinya tampak lebih alim dari ku dari segi pemakaiannya, ilmunya dan amal ibadah yang dilakukan. Jika dari pandangan kasar, aku ini hanyalah insan biasa yang serba kekurangan dalam soal ilmu agama. Tidak sepertinya yang mempunyai perbagai kitab-kitab agama, buku-buku ilmiah dan sebagainya. Seakan tidak layak bagiku untuk menegurnya. Imam Said bin Jubair pernah berkata,

"Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang ma'ruf & mencegah kemungkaran sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak kepada yang ma'ruf & mencegah kemungkaran. " Imam Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini & sebagai tanda sokongannya, beliau menambah, "Dan siapakah antara kita yang lengkap & sempurna?"

Ya, itu benar sekali. Kalau nak tunggu diri ni sempurna, sampai bila-bila pun tak terzahir. Sesungguhnya tidak ada manusia yang sempurna. Tetapi kita perlu berusaha untuk mencari kesempurnaan itu. Justeru itulah kita perlu saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Namun, tidak bermakna ketidaksempurnaan ini boleh dijadikan alasan untuk kita terus-terusan melakukan kesilapan. Perwatakannya itu lansung tidak membuatkan aku kagum atau bangga dengannya. Dia lebih berusia dariku. Ilmu yang dimilikinya juga lebih dariku. Dia mengerjakan suruhan Allah tetapi dalam masa yang sama dia tidak meninggalkan larangan Allah sedang dia tahu benar apa hukum atas perbuatan yang di lakukan itu. Dia telah menghancurkan sekelumit kebanggaan aku terhadap dirinya suatu ketika dahulu. Dia mengajak aku untuk beribadah kepada Allah tetapi bila ditegur mengenai sikapnya itu, jawapan yang bakal aku terima adalah, “Alah, kitorang keluar bukan berdua-duaan. Kitorang pi tengok wayang. Ramai lagi orang dalam panggung tu.” Astaghfirullahalazim…Beginikah cara orang berilmu berfikir?? Sungguh, aku kecewa dengan sikapnnya. Ingatlah, jangan kerana kita Islam terhina. Kau membawa imej wanita muslimah sejati, tetapi tingkahmu lansung tak ubah seperti wanita yang kurang harga dirinya. Kau bergaul bebas dengan kawan lelaki mu dikhalayak ramai. Bersentuhan dengan lelaki bukan mahram adalah perkara biasa bagimu. Kau lansung tidak mengendahkan mata-mata yang memandang, hati-hati yang berprasangka, dan mulut-mulut yang menaburkan fitnah. Fitnah yang engkau sendiri ciptakan! Sungguh, aku sungguh sedih dan kecewa. Tidak ada apa lagi yang mampu aku lakukan. Sudah berbuih mulut ku dan teman sebilik ku menasihati mu. Tapi engkau tetap dengan sikapmu. Kepalamu sekeras batu. Hatimu setegar tembok konkrit yang menutupi segenap ruang segumpal dagingmu itu dengan rasa tidak bersalahmu. Bagimu kami yang menegurmu ini, hanyalah tidak lain tidak bukan kerana cemburu dengan mu yang memiliki ramai kenalan lelaki. Sudahlah! Aku tidak mahu mendengar apa-apa lagi jawapan munafik mu. Hipokrit benar dirimu wahai sahabat. Mungkin kau merasakan cukup bahagian dengan tingkahmu ini. Ketahuilah, kebahagiaan yang kau rasakan ini tidak akan kekal.

“Cintailah sesiapa sahaja yang engkau ingini, tapi ingat dia pasti akan meninggalkan kamu. Lakukanlah apa sahaja yang kau ingini, tapi ingat kamu pasti akan mendapat balasan atas setiap perlakuanmu dan hiduplah kamu dengan sepuas-puasnya tapi ingat kamu pasti akan mati.”

Maafkan aku wahai sahabat. Aku terpaksa berundur diri dari terus menegurmu. Kerana aku tidak berdaya lagi untuk menegahmu dan bertikam lidah denganmu dek kerana hal yang engkau sendiri tahu kebenarannya. Sesungguhnya, mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman. Namun, di sini aku ingin menyuarakan juga ucapan terima kasih atas kebaikkan yang telah kau hulurkan buatku sepanjang kita bergelar sahabat...
Ya Allah, peliharalah hati-hati kami. Jauhkanlah kami dari segala kemungkaran dan kemaksiatan. Bimbinglah kami ke jalanMu. Sessungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin…