BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Sunday, August 29, 2010

Penghijrahanku

Walaupun hanya buat seketika waktu aku berpuasa bersama keluarga tercinta, namun aku tetap bersyukur kerana aku masih dapat merasai saat-saat indah tersebut. Pada 15 Ogos yang lalu aku telah meninggalkan bumi Pahang, tempat aku dibesarkan kerana aku telah dipanggil untuk memulakan perkhidmatan di Bandaraya Melaka Bersejarah. Inilah penghijrahan yang paling berat bagiku kerana aku bakal menetap di Melaka untuk tempoh masa yang agak panjang. Mungkin 10 tahun atau lebih dari itu. Apapun aku amat bersyukur dengan apa yang telah direncanakan oleh Allah.

Pertama kalinya aku berhijrah di sini, aku dirundum berbagai-bagai persoalan dan kebimbangan kerana aku tidak mempunyai sesiapa pun di sini termasuklah kawan-kawan dan kenalan. Segalanya terlalu asing buat ku. Namun Maha Suci Allah, segala puji bagiNya kerana telah menemukan aku dengan insan-insan yang baik di sini yang telah menguruskan tempat tinggal ku dan sebagainya. Sungguh indah aturan Maha Pencipta. Alhamdulillah, Dia telah mempertemukan aku dengan seorang 'housemate' yang baik dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikanku. Apa yang lebih penting dia seorang yang mementingkan soal agama dan menjaga solatnya. Inilah yang sering ku pohon dari Tuhanku Yang Satu sebelum aku tiba di sini, agar aku sentiasa dipertemukan dengan insan-insan yang baik dan meletakkan Allah dalam setiap aspek kehidupannya. Terima kasih, Ya Allah atas kurniaanMu yang cukup berharga ini kerana dalam keadaan dunia yang penuh dengan pancaroba ini, amat sukar untuk mencari teman yang baik mengutamakan soal agama lebih-lebih lagi dalam kelompok masyarakat yang tidak kita kenali dan asing bagi kita.

Hari ini adalah hari ke-14 aku menetap di sini. Alhamdulillah, aku mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini dan segalanya berjalan dengan baik sekali sama ada dari aspek kehidupan mahupun aspek kerjaya. Bercakap soal kerjaya, aku selesa dengan jawatan yang ku sandang sekarang meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah masyarakat Melaka yang terkenal dengan sikap kasar mereka. Namun bagi aku, itu adalah satu cabaran untuk aku menjadi seorang insan yang lebih tabah dan bijak dalam menangani masalah-masalah yang mendatang. Alhamdulillah, aku juga dikurniakan rakan-rakan sejawat yang begitu baik dengan ku dan menghormatiku meskipun aku adalah yang paling muda di kalangan mereka. Pengarah Jabatan yang merupakan bos kepada aku juga tersangatlah baik dan wajahnya yang sentiasa murah dengan senyuman membuatkan hati terasa sejuk dan tenang. Tidak seperti sebelum ini, bos aku ketika aku dalam latihan praktikal di Perak yang bersikap sombong dan memandang rendah kepada pegawai-pegawainya. Ketika hari pertama aku bersemuka dengannya, dia sempat memberikan aku sedikit pesanan yang sememangnya tidakan ku lupa sampai bila-bila, "Kerja baik-baik. Ingat, walau sesibuk mana pun bekerja jangan sesekali abaikan tanggungjawab pada Allah. Nanti bila dah hidup senang jangan sesekali lupakan ibubapa sampaikan bagi alasan sibuk dan tak boleh nak balik kampung jenguk mereka."

Baru sahaja beberapa hari yang lepas aku telah menerima gaji pertama ku di sini. Inilah pertama kalinya aku menerima wang sebanyak ini hasil titik peluhku sendiri. Alhamdulillah, rezeki bulan Ramadhan, rezeki Umi dan Abah, rezeki adik-adik. Dapatlah mereka merasa duit raya pertama dari kakak sulung mereka pada Aidilfitri tahun ini (^_^). Apapun aku berharap agar rezeki yang ku cari dan yang ku perolehi ini diberkati dan diredhai Allah agar ianya dapat menjadi sesuatu yang berguna untuk akhiratku kelak. Amin Ya Rabbala'laamin....

Saturday, August 28, 2010

Ramadhan Bersama Yang Tersayang

Genap satu purnama aku meninggalkan ruangan ini dan kini barulah aku berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa melampiaskan kerinduan yang telah sekian lama ku pendam. Rindu untuk mengukirkan lakaran-lakaran kehidupan yang sememangnya bakal membuahkan 1001 kenangan.

Dalam perkiraan masa sebulan, terlalu banyak perkara yang telah berlaku termasuklah kehadiran bulan yang memang sudah lama ku nantikan dengan penuh keterujaan kerana aku berkesempatan untuk menyambut kehadirannya dengan seisi keluarga ku yang tercinta. Hampir 3 tahun aku menuggu peluang ini. Alhamdulillah, aku sempat menikmati keberkatannya bersama Umi, Abah dan adik-adik ku walaupun hanya untuk seketika. Telatah adik-adikku berpuasa benar-benar mencuit hatiku. Umi pula akan menyediakan masakan yang enak-enak untuk keluarganya sambil dibantu oleh Abah. Air tangan Umi itulah yang membuatkan kecintaanku padanya semakin mendalam. Apabila tiba waktu Isya' kami akan bersama-sama ke surau yang letaknya hanya beberapa langkah dari rumah kami untuk sama-sama mengimarahkan bulan Ramadhan. Perkara yang paling sukar untuk aku lupakan ialah apabila melihat gelagat si kecil Amir, adik bongsuku yang kini berusia 5 tahun. Dialah orang yang paling tidak sabar untuk ke surau dan dia akan menunaikan solat Tarawih sehinggalah ke solat Witir tanpa meninggalkan satu rakaat pun kerana ingin menikmati juadah moreh. Memang dia teramat gemarkan kuih karipap. Setiap kali selesai berjemaah, dialah orang yang pertama duduk bersila menghadap juadah-juadah yang disediakan terutamanya karipap. Jika pada hari tersebut tiada kuih kegemarannya dia akan kecewa dan berkata sambil membuat memek muka yang selamba, "Hari ni tak ada karipap pun." Sungguh, aku teramat sayangkan mereka semua.

Ya Allah, peliharalah mereka dan semaikanlah dalam hati adik-adikku rasa cinta terhadapMu dan agamaMu agar mereka sentiasa berada dalam rahmat dan keberkatanMu.

Thursday, July 29, 2010

Entahlah...

Roda masa terus berputar sehingga aku tidak menyedari bahawa sudah hampir 6 tahun aku berkawan rapat dengannya. Entah di mana silapnya, dia masih dengan dunia lamanya, masih dengan sikap lamanya dan masih dengan kehidupan lamanya. Aku mengaku yang aku amat sayangkan dia kerana telah banyak perkara yang kami lalui bersama. Namun, sikapnya yang masih belum berubah membuatkan aku kecewa. Tersangat kecewa! Apapun, aku masih memberinya peluang untuk merubah kehidupannya. 5 tahun, mungkin terlalu singkat baginya untuk melakukan perubahan. Tapi 5 tahun itu cukup lama bagi ku untuk menanti perubahan tersebut. Aku tidak mengharapkan yang terlalu tinggi, cukuplah sekadar dia mempunyai masa depan yang jelas dan kehidupan yang baik. Semoga Allah memberinya kesedaran dan kekuatan atas semua ini. Selamat tinggal 'teman'... Moga bertemu lagi 5 tahun akan datang jika masih dipanjangkan usia di atas muka bumi ini...

Wednesday, July 21, 2010

Ku Panjatkan Kesyukuran PadaMu

Hati seolah-olah diserang berjuta-juta spesis perasaan sehingga aku sendiri sukar untuk meggambarkannya. Lantas dahi segera dicecah ke tikar sejadah, bersujud syukur kehadrat Ilahi atas kurniaanNya yang sugguh tidak disangka-sangka. Sungguh, gembiranya bukan kepalang tatkala mendapat khabar bahawa aku telah berjaya pada temuduga tempoh hari dan diterima bekerja di Kerajaan Negeri Melaka. Penantian yang hampir 2 bulan akhirnya menemukan sebuah kepastian. Kepastiaan yang nantinya akan membuahkan beribu-ribu lagi pengharapan. Sesungguhnya tidak pernah sedetik pun aku berhenti berharap dan hanya pada Allah sajalah tempat aku bergantung segala pengharapan ku dan hanya padaNya aku meminta-minta.

Rasulullah SAW pernah berpesan:

“Wahai anak muda, jagalah (hak-hak) Allah, pasti Allah menjagamu. Jagalah Allah, pasti Allah memerhatikanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah pada Allah. Jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah pada Allah. Ketahuilah bahawa seandainya umat ini berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, hal itu tidak akan terwujud kecuali dengan takdir-Nya. Sebaliknya jika mereka berkumpul untuk mencelakakanmu, hal itu takkan berhasil kecuali dengan takdir-Nya. Pena sudah kering dan lembaran juga sudah dilipat.” (H.R. Tirmidzi dan menurutnya sanad hadis ini sahih)

“Siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupinya.” (At-Talaq : 3)


Aku segera berlari mendapatkan ibundaku yang tercinta. Tidak sabar untuk mengabarkan kepadanya tentang hal ini. Ku peluk erat kudrat Umi sambil lidahku terbelit-belit menuturkan khabaran tersebut. Umi mengukirkan senyuman. Senyuman yang cukup mendamaikan hatiku. Lantas mengalunkan ucapan puji-pujian kepada Maha Pencipta. Memang inilah saat yang Umi nanti-nantikan. Ketahuilah Umi, sesungguhnya doa mu telah diperkenankan oleh Allah. Aku beruntung kerana aku masih memiliki nikmat ini. Nikmat doa seorang ibu. Terima kasih Umi... Sesunggunya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Allah mempunyai seratus rahmat, diturunkan kebumi hanya satu rahmat untuk penduduk dunia, maka mencukupi hingga habis ajal mereka, dan Allah akan mencabut rahmat itu yang satu pada hari kiamat untuk mengenapkan pada yang sembilan puluh sembilan, untuk diberikannya kepada para wali dan ahli taat kepada-Nya."

Janganlah kamu membeliakkan kedua matamu (terlalu kagum) dengan apa yang Kami berikan pada mereka sebagai perhiasan kehidupan dunia. Hal itu untuk menguji mereka. Sedangkan rezeki Tuhanmu jauh lebih baik dan lebih kekal.” (Taha : 131)

Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami. Kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada kami, dia berkata (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat tersebut adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu). (al Zumar: 49)

Saturday, July 10, 2010

Malaikat Kecil Menyampai Risalah Jalan-Jalan Ke Syurga

Seperti biasa, jika ada kelapangan waktu, aku akan menjengah ke laman www.iluvislam.com yang menjadi kegemaranku sejak 2 tahun yang lalu kerana terlalu banyak ilmu-ilmu bermanfaan yang boleh aku perolehi darinya. Sedang asyik aku berlegar-legar diruangan tersebut, aku tertarik untuk membaca sebuah artikel yang dikirimkan oleh salah seorang sahabat . Sebuah kisah yang betul-betul menyentuh perasaanku sehingga terdetik hatiku untuk mengabadikannya disini.


Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain. Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata, "Ayah! Saya dah bersedia." Ayahnya terkejut dan berkata, "Bersedia untuk apa?" "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah." "Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat." "Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun." Ayahnya menambah, "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini." Dengan merintih anaknya merayu, "Benarkan saya pergi ayah?" Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya, "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!" "Terima kasih Ayah!" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.


Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.


Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50 tahun. Mukanya suram dan sedih, "Nak, apa yang makcik boleh bantu?" Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang Allah amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi. "Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu", dengan nada yang lembut.


Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya, "Ada sesiapa nak bertanyakan sesuatu?" Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini." Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.


"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi". "Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu."


"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" Itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar". "Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. "Aku tak perlukan itu lagi".


"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu, ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"


Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir "ALLAHUAKBAR!" Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah Allah kepada makhlukNya yang penyayang.