BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Monday, February 28, 2011

Tha'labah: Pemuda Syurga

Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah seorang daripada para sahabat Nabi S.A.W. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung. Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta'labah.Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi."A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah...

Rintihan Tha'labah
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.

Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit. Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."

"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat. Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah. Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya.
Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.
"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"

Cita-citanya hanya Syurga
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!

Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?
Tepuk dada, tanya iman. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.

Tuesday, February 22, 2011

Aku Benci DUIT!!!

Hari ini merupaka hari yang paling gembira sepanjang 6 bulan aku bergelar Pen. Pegawai Kesihatan Persekitaran kerana salah satu misi ku telah tercapai. Aku telah berjaya membersihkan kembali nama Jabatan ku di mata pegawai-pegawai atasan menerusi mesyuarat bersama Pegawai Khas Dato’ Bandar. Sebelum ini, jabatan aku sering menerima kutukan dan celaan akibat dari kegagalan pekerja-pekerja jabatan tersebut membuktikan perlaksaan tugasan mereka dari peringkat pegawai hinggalah ke peringkat bawahan. Alhamdulillah, sejak aku mula menjadi wakil jabatan dalam mesyuarat tersebut, aku berjaya membentangkan dan menyampaikan semua perlaksanaan tugas yang dilakukan bersama-sama rakan sejawatku sehingga mereka kembali yakin dan percaya akan kebolehan jabatan kami dalam menyelesaikan masalah. Segalanya berjalan dengan cukup cantik sekali. Inilah permulaan yang baik bagi ku untuk terus mara ke depan bersama jabatanku.

Jam menunjukkan 4.30 petang. Sedang asyik aku bersama rakan-rakan menceritakan tentang perjalanan mesyuarat yang aku tempuhi di pagi tersebut, tiba-tiba aku mendapat panggilan. Sebuah panggilan yang aku sering nanti-nantikan walaupun hakikatnya setiap hari panggilan tersebut aku terima. “Waalaikumussalam…. Hai Umi!” Aku menyapa dengan penuh keriangan tempias dari kegembiraan yang ku raih tadi. Sejurus beberapa saat kemudian, suasana indah yang penuh dengan warna-warni ibarat aiskrim Paddle Pop tiba-tiba berubah menjadi kelam. Awan mendung mula menutupi segenap atmosfera hatiku. “Dah bayar hutang awak pada Kak Ngah?! Dia dah tak ada duit tu..” Sungguh, aku cukup terkilan dengan soalan yang diajukan Umi kepada ku. Seolah-olah aku telah membebankan Kak Ngah kerana berhutang dengannya sehingga menyebabkan Kak Ngah kesempitan wang dan seolah-olah aku sengaja ingin melambat-lambatkan bayaran tersebut. Sedangkan sebelum Kak Ngah memberikan wang tersebut dia dengan seyakin-yakinnya mengatakan yang wangnya masih banyak dan cukup sehingga tempoh wang tesebut akan dibayar balik. Belum apa-apa sudah mengadu kepada Umi yang dia tak cukup duit. Tak faham ke yang aku ni dah macam nak mati tunggu hari gaji?! Ya Allah, sungguh aku amat tertekan dengan semua ini. Mereka betul-betul psyco!

Tidak terbendung lagi takungannya lantas air mataku mengalir sederas-derasnya. Rakan-rakan disekelilingku yang masih tersisa tawa riangnya juga tersentap melihatku. Menyedari hal itu aku lantas mencapai kunci kereta dan memandu selaju-lajunya untuk segera tiba di rumah dan menangis sepuas-puasnya! Aku rasa akulah kakak yang paling tak guna sekali. Walaupun sudah bekerja tapi masih terpaksa meminjam wang dari adik. Mungkin inilah takdirku, tak pernah dapat merasai kesenangan dengan DUIT tak kira lah DUIT sendiri ataupun yang diberi oleh Abah dan Umi atau siapa-siapa yang bermurah hati. Sejak dari kecil hinggalah sudah bekerjaya, masih papa kedana! Harapkan gaji sahaja 2k tapi nak makan pun kena berjimat-jimat mengalahkan orang yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kenapa aku mesti merasai penderitaan jiwa sebegini?! Adik-adikku yang lain bahagia sahaja. Bila tak ada duit minta kat Umi dan Abah. Aku tak penah tengok mereka sedaif aku. Apa yang mereka nak, mereka dapat. Tapi aku…………… arghhh! Aku benci perasaan ini!

Bil

Perkara

Jumlah (RM)

1.

Sewa Rumah

250

2.

Ansuran Kereta

550

3.

Bil Api/Air

10

4.

Bil Broadband

50

5.

PTPTN

100

6.

Minyak

150

7.

Simpan Utk Smbg Belajar

350

JUMLAH (RM)

1460

Lihatlah, RM1460 perbelanjaan yang wajib aku keluarkan tiap-tiap bulan. Itu belum lagi di tambah dengan bayaran hutang sana sikit, sini sikit. Dahlah rumah sewa ku kosong. Harta yang paling mahal yang aku ada dalam rumah tersebut adalah toto busuk ku dan beberapa helai pakaian yang dah lama tak diganti baru. Itu belum lagi aku beli Peti Ais, Tv dan lain-lain keperluan asas. Kalau aku beli, tak dapat nak bayangkan berapa sen saja yang tinggal. Apapun aku masih bersyukur aku masih mampu mendiami rumah yang comel ini walaupun dalamnya ibarat padang bola yang terbentang luas, kosong! Dan aku juga bersyukur kerana masih kelihatan ‘berada’ walau hakikatnya Allah sahajalah yang tahu. Masa aku kecil-kecil dahulu, Umi penah cakap yang aku memang jarang bernasib baik dengan DUIT. Bukankah kata-kata seorang ibu itu adalah doa? Owh…sungguh sadis! Boleh tak kiranya kalau kita tukarkan DUIT tu kepada benda lain yang lebih manis dan menyenangkan??

Ya Allah, aku tahu Kau sedang menguji ku…. Aku tau Kau bukan sengaja membiarkan jiwa ku menderita kerana benda yang cukup menyusahkan tu (DUIT)... Aku tau Kau ingin memeliharaku dari sifat boros, tamak, riak dan angkuh dengan DUIT tak guna tu. Aku tahu Kau tidak mahu membiarkan aku terus leka dan hanyut dengan DUIT yang hanya menjamin kemewahan dunia semata-mata. Tapi ketahuilah oleh Mu wahai Tuhanku yang maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui, sesungguhnya sepanjang tempoh hidupku aku tidak pernah bekesempatan untuk bersedekah. Aku tidak pernah bekesempatan untuk menggunakan DUIT untuk membeli kitab Mu, buku-buku yang berkisahkan tentang kekasihMu yang telah lama aku idamkan. Aku tidak pernah bekesempatan untuk membelikan adik-adikku makanan yang mereka idamkan sehingga mereka mengatakan aku kedekut (T_T). Aku tidak pernah bekesempatan untuk memberikan sedikit wang ku kepada ibubapa ku. Bahkan aku tidak pernah bekesempatan menghadiahkan diriku sendiri dengan wang simpanan untuk masa depanku. Aku bukan pertama kali bekerja. Sejak dibangku sekolah lagi aku sudah mula bekerja tetapi tidak pernah aku mampu memanfaatkan DUIT-DUIT tersebut ke jalanmu. Aku tidak tahu kemana duit tersebut lesap. Impianku bukan main menggununglah tingginya, ingin menghantar Umi dan Abah ku ke tanah suci Makkah menunaikan ibadah haji dengan DUIT hasil titik peluhku tetapi bila direnung apa yang berlaku sekarang terasa ibarat angan-angan Mat Jenin semata.

Kadangkala aku cemburu melihat rakan-rakanku dan orang-orang disekelilingku. Mereka seharusnya bersyukur kerana mereka berkesempatan untuk berbuat pahala dengan DUIT yang mereka ada. Mereka berkesempatan untuk bersedekah, mereka bekesempatan untuk belanja kawan-kawan makan, mereka berkesempatan untuk memberikan DUIT yang banyak kepada ibubapa mereka, mereka berkesempatan untuk belikan pakaian baru, makanan yang enak-enak dan sebagainya kepada ahli keluarga mereka. Owh Tuhan, sedihnya rasa hati ni. Kenapalah semuanya memerlukan DUIT. Kasih sayang pun susah nak di tonjolkan tanpa DUIT. Nak beribadah juga menjadi sedikit sulit tanpa DUIT. Sampai bila nasibku sebegini rupa. Aku sudah berusaha berbagai-bagai cara untuk merubah nasibku tapi kesudahannya tetap begini. Adakah DUIT yang ku cari dan perolehi selama ini tidak berkat wahai Allah? Adakah kerana dosa-dosaku yang lalu dan kini telah menutup keberkatan itu. Jika benar Ya Allah, tunjukkanlah aku ke jalan yang Kau redhai. Kurniakanlah kepada ku rezeki yang halal lagi berkat dan ampunilah segala dosa-dosa dan kekhilafanku yang lalu dan juga yang akan datang. Janganlah Engkau biarkan aku terus lemah ditenggelami gelodak rasa ini. Aku terlalu rindu untuk berbakti kepada keluarga ku dan agamaku Ya Allah. Berilah aku sedikit kesempatan untuk semua itu yang Allah. Sekurang-kurangnya jika sampai saatnya Kau mencabut nyawa ku, aku mampu meninggalkan dunia ini tanpa rasa terkilan kerana berkesempatan untuk membelanjakan sedekit hartaku untuk kebaikan. Aku teramat sayangkan keluarga ku, agamaku, Rasul ku dan yang terutama Tuhanku, Allah Azza Wajjalla…. Bantulah aku Ya Allah…………

Sunday, February 20, 2011

Kadang-Kadang Bersendirian Itu Adalah Lebih Baik

Kedengaran suara kanak-kanak girang bermain di laman rumahku. Aku menjengah ke suatu sudut jendela, tertarik untuk memerhatikan gelagat mereka yang cukup lincang dan ceria bersama teman-teman. Sesugguhnya zaman kanak-kanak merupakan zaman yang cukup berharga dalam diri setiap insan yang bernama manusia. Cemburu pula rasanya melihat kemeriahan suasana mereka. Sedangkan aku, sunyi bertemankan sepi, terkurung di rumah sendiri bertemankan televisyen yang kadang-kala membosankan. Ada kalanya juga alunan lagu yang diiringi lalakan suara sumbang ku menceriakan sedikit suasana dan memecah kesunyian. Beginilah keadaannya setiap kali hujung minggu tiba sejak aku tinggal bersendirian kerana “housemate” ku telah berpindah ke mengikut tunangnya.

Selepas sahaja selesai menunaikan solat subuh, aku akan merebahkan kembali diriku sambil ditemani mimpi-mimpi di siang hari. Jika aku terjaga aku akan kembali menyambung tidur ku sehinggalah aku betul-betul sudah puas dan bosan dengannya. Kebiasaannya aku akan tidur sehinggalah azan zuhur berkumandang. Kemudian aku akan mengemas, menyapu dan mengemop keseluruhan rumahku dari bilik tidur hinggalah ke bilik air. Apabila sudah selesai sebuah rumah aku kerjakan, aku akan memandikan pula kereta kecil ku sehingga berkilat-kilat meskipun baru sahaja minggu lepas aku memandikannya. Bila malam menjelma pula aku akan menghabiskan 1/3 daripada malam ku dengan menunaikan solat, mengaji dan membaca tafsir al-quran sehinggalah aku mengantuk dan kembali tidur. Kemudian apa lagi yang perlu aku lakukan pada keesokkan harinya (Ahad)?! Adakah aku akan mengulangi lagi rutin tersebut?! Owh tidak… Sungguh membosankan!

Walaupun sudah lebih setengah tahun aku tinggal di sini, namun aku masih belum bertemu dengan seorang insan yang bergelar sahabat. Benarlah kata orang, mencari sahabat yang benar-benar serasi, yang benar-benar namanya sahabat dunia dan akhirat adalah ibarat mencari sebutir permata di pepasir pantai yang luas terbentang. Kadang-kadang sinaran mentari menipu pandangan mata sehingga kelihatan seakan-akan pepasir itu dipenuhi dengan kilauan permata sedangkan ianya hanyalah butiran pepasir yang tak bermakna dan akhirnya hanya mengecewakan. Dalam persahabatan, aku amat mengharapkan sesuatu yang aku perolehi dari seorang sahabat. Sesuatu yang boleh dijadikan teman di dunia dan bekalan di akhirat. Suatu ketika yang lalu, pada bulan Oktober 2010 iaitu selang 2 bulan aku bekerja di sini, Allah telah mentakdirkan aku untuk bertemu dengan seorang insan.

Ketika itu dia baru sahaja diterima bekerja di pejabatku dan menjadi rakan sejawatku. Memandangkan dia mempunyai masalah tempat tinggal, aku membantunya mendapatkan rumah untuk disewa. Entah apa yang membuatkan aku lembut hati ingin membantunya sedangkan aku tidak pernah kenal dengannya. Bagiku, mungkin dialah sahabat yang dianugrahkan oleh Allah kepada ku yang ku nanti-nantikan sebelum ini. Kebetulan, jiranku ingin mencari penyewa kerana dia tinggal sendirian. Rumahnya hanya selang berapa buah rumah dari rumahku. Setiap pagi dia akan bersama-sama menaiki kereta ku untuk ke pejabat kerana di tidak mempunyai kenderaan. Keadaan tersebut berlarutan selama 4 bulan dan sepanjang tempoh tersebut, kami semakin akrab memandangkan kami terpaksa bersama kerana skop kerja yang sama dan menaiki kereta yang sama. Banyak masa yang diluangkan bersama berbeza dengan rakan sejawat yang lain yang sekadar menjadi teman di pejabat sahaja.

Pada permulaannya aku rasa selesa dengan persahabatan tersebut. Dia dibesarkan di Kuala Lumpur dan berasal dari keluarga yang mementingkan agama. Keluarganya agak mewah dan berada. Pada permulaannya, aku merasakan yang dia merupakan seorang pendengar yang setia, seorang yang mudah memberikan pendapat dan mengambil berat tentangku. Sikapnya yang mudah menghulurkan bantuan membuatkan aku sering terhutang budi dengannya. Namun semua itu belum menjaminnya untuk menjadi sahabat karib ku kerana dia bukanlah seorang yang mementingkan agama sebagaimana ibubapanya. Dia tidak pernah menunaikan solat lima waktu sepanjang aku berkawan dengannya. Hanya apabila ada ibu bapanya sahaja dia menunaikan solat. Pandangannya terhadap perspektif agama juga bertentangan dengan pandanganku dan sering menimbulkan ketidakpuasan hatiku. Namun aku hanya diamkan sahaja kerana bukan mudah untuk bertekak dengan orang yang telah mati hatinya dan aku pun malas nak bertikam lidah dengannya dan lebih baik aku bukukan sahaja di hati. Dari segi pemakaiannya juga tidak berapa aku senangi. Walaupun badannya agak gempal, dia tetap mengenakan pakaian yang ketat dan seluar yang menampakkan anggota tubuh yang tidak sepatutnya didedahkan. Aku perasan ada segelintir pekerja lelaki yang ‘geram’ melihatnya tapi aku tidak tahu bagaimana untuk menegurnya. Pernah aku menyentuh soal itu, namun jawapannya sungguh menyedihkan aku. Owh Tuhan, aku tidak sanggup menghadapi situasi ini. Aku sangat malu apabila orang menggelarkannya sahabat baikku. Dia sering mengutuk orang yang seksi dan sebagainya tetapi dia tidak sedar bahawa apa yang diperkatakannya ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Dia benar-benar mengecewakan aku kerana persepsi pertama ku terhadapnya semuanya dusta semata-mata. Kalau dipermulaannya aku sudah paham akan gaya hidupnya yang sosial rasanya aku masih lagi boleh terima, tapi bila pada awalnya semua nampak baik tapi hakikatnya hanya tipu-tipu sahaja, sekali-kali sungguh aku kecewa!

Sikapnya yang suka memaksaku juga membuatkan aku sedikit kurang selesa dengannya. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan perkara yang aku tidak suka. Namun aku hanya diamkan kerana mungkin ini sekadar perasaanku semata-mata. Kalau diikutka hati ingin sahaja aku menjauh darinya. Namun keadaan benar-benar tidak menyebelahi aku. Masakan aku bisa menjauhinya sedangkan setiap hari dia menaiki keretaku, lepak di mejaku dan makan bersamaku. Argh, sungguh merimaskan. Segala-galanya hendak dilakukan bersama sampaikan nak ke tandas pun ajak aku! Aku paling benci orang yang terlampau suka menyendeng-nyending. Ke mana aku pergi, pasti dia ingin pergi bersama tetapi bila aku ke surau untuk solat zuhur, tidak pula dia sibuk-sibuk nak ikut sama. Jika aku menghilangkan diri, pasti dia akan menyoal siasatku ke mana aku pergi, kenapa aku pergi dan sebagainya. Aku RIMAS!

Aku cukup gembira apabila mengetahui bahawa dia telah membeli sebuah Produa Myvi dan telah pun dibawanya pada minggu lepas. Inilah yang membuka peluang kepada ku untuk mengatur strategi menjauhkan diri darinya. Bukan niat ku untuk memutuskan silaturahim dengannya tetapi sekadar ingin tidak begitu rapat dengannya. Cukuplah menjadi kawan sahaja sebagai mana kawan-kawan sepejabatku yang lain. Jika begini keadaannya aku lebih rela bersendirian bertemankan sepi daripada bersahabat bertemankan orang yang membuatkan hatiku tidak tenteram dan nantinya hanya akan lebih memburukkan keadaan. Maafkan aku wahai ‘sahabat’…. Mungkin Allah anugerahkan dia dalam hidupku sekadar ingin menguji ku, melihat sejauh mana aku mampu menyampaikan dakwah (menegur kesalahannya) dan menilai sejauh mana kesabaran ku dalam meniti sebuah persahabatn. Ternyata aku gagal menempuhinya dan aku berundur diri.

Maafkan aku Ya Allah, aku tidak kuat untuk semua itu dan ternyata bersendirian itu adalah lebih baik bagi ku kerana dengan bersendirian aku akan lebih rapat denganmu, aku akan lebih berkurangan dalam bercakap perkara yang sia-sia dan hatiku lebih damai dari terus mengumpat dan membenci orang. Cukuplah Allah menjadi pendampingku kala aku kesedihan, kala aku kesusahan dan kala aku memerlukan teman untuk berbicara, cukuplah Rasulullah menjadi penguat semangatku saat ianya pudar dimamah kealpaan, cukuplah Kalam Ilahi menjadi penghiburku kala aku kesunyian. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Di sini aku coretkan sedikit petikan ayat dari buku yang ditulis oleh Dr. ‘Aidh B. Abdullah Al-Qarni sebagai pengubat jiwaku.

“Hindarilah perdebatan yang tidak perlu serta perkumpulan yang tidak bermanfaat. Jauhilah kawan yang jahil kerana ia boleh menarikmu kepada kejahilan. Ketahuilah bahawa tabiat yang buruk boleh mempengaruhi tabiat baikmu dan penglihatan matamu yang buruk boleh menjerumuskanmu ke dalam kejahatan”

“Berapa banyak satu kata merenggut sederet kenikmatan dan satu kekhilafan membawa kepada kehinaan. Sebaliknya berapa banyak kesendirian mendatangkan kebaikan dan pelakunya mendapat kemuliaan yang tinggi dari Allah”

“Tidak ada ketenangan kecuali dengan menyendiri dalam ketaatan (uzlah). Tidak ada rasa aman kecuali dengan kepatuhan. Tidak ada rasa sayang kecuali dengan menepati janji. Tidak ada kepercayaan kecuali dengan kejujuran”

Thursday, February 10, 2011

Belajar Tawakal Dari Semut

Kesempatan yang jarang saya temui itu tidak saya lepaskan. Kuliah Maghrib di mesjid kariah saya itu, saya ikuti dengan teliti. Kaedah dan bahasa yang digunakan oleh pengajarnya sangat ’simple’ dan bersahaja – orangnya sederhana, agak tua, berjubah dan berserban putih. Tubunhya pendek tapi menarik, beliau menceritakan perihal komunikasi yang pernah berlaku antara seekor semut dengan nabi Sulaiman. Begini ceritanya…

Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebanyak sebiji butir gandum. Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut dalam satu botol dengan diletakkannya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.Cukup tempoh setahun, mulut botol itupun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut. Nabi Sulaimana bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji buah gandum?Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezkinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezkinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat perihatin manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan terjadi kepadaku?

Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah ketika di luar botol berbanding ’jaminan’ manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.Sampai di situ penceramah tua itu pun memberi ’moral’ pada ceritanya. Begini ucapnya:
”Inilah sifat tawakakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari dari semut. Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezki. Bergantunglah kepada Allah. Kalau ada pihak yang berkata, saya jamin bekalan makanan atau simpanan petrol akan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun… jangan terlalu yakin. Sebaliknya, bertawakkallah kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan. Jadilah seperti semut itu.”

Saya termenung panjang dalam fikir yang dalam. Walaupun pengajar kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi pengajarannya sangat luar biasa. Bersahaja, tetapi penuh hikmah dan ibrah. Berapa kerat manusia yang benar-benar mengambil panduan daripada ajaran Islam ketika berdepan dengan krisis dan kemelesetan ekonomi.Ada seruan yang menganjurkan hidup berjimat ketika ekonomi meleset padahal Islam menganjurkan jimat cermat tanpa mengira situasi dan kondisi. Orang yang membazir adalah ’saudara’ syaitan tidak kira samada semasa ekonomi meleset atau stabil, samada dalam keadaan harga minyak naik atau sebaliknya. Ada pula yang meuar-uarkan agar dilakukan perubahan gaya hidup dalam keadaan sekarang…

Sinisnya, bukankah cara hidup orang Islam ialah cara hidup Islam, apa lagi yang hendak diubah-ubahnya?Jarang benar kita mendengar tafsiran yang lebih tersirat tentang apa yang berlaku kini. Maksudnya, tafsiran yang merujuk kepada ‘musabbabil asbab’ (faktor penyebab) bukan hanya ‘asbab’ (sebab). Hakikatnya, apa yang berlaku ialah dengan izin Allah jua. Dan tentu ada maksud Allah izinkan semua ini berlaku. Apakah pengajaran untuk sikaya, simiskin, peniaga, pengguna, rakyat dan penguasa di tengah kemelesetan ekonomi ini?Bukankah kita telah diberitahu oleh Al Quran dan Al Hadis bahawa ujian daripada Allah adalah untuk meningkatkan keimanan kita? Dan ujian juga boleh meningkatkan tahap kebijaksanaan, kesabaran dan kekreatifan kita untuk menyelesaikan masalah. Pokok pangkalnya, apakah musibah ini menggugat keyakinan kita kepada Allah yang bersifat Al Wahhab (Maha Pemberi), Al Ghani (Maha Kaya) dan Ar Razzak (Maha Pemberi Rezki) misalnya?Bagaimana pula kita kembali kepada Allah (raja’na ilallah) dalam menghadapi ujian ini? Apakah kita mula mendidik hati kita dengan sifat-sifat mahmudah bersumberkan akidah Islamiah? Apakah kita mula bermuhasabah tentang sistem ekonomi semasa, apakah telah benar-benar disusun mengikut syariah? Apakah orang kaya dan pengusaha mula tergerak untuk mengamalkan akhlak yang pemurah dan zuhud? Manakala orang miskin pula dengan sifat sabar dan qanaah?

Saya tidak pandai mentafsir lebih mendalam, tetapi itulah yang ’mengganggu’ pemikiran dan rasa hati bila mendengar cerita semut dan nabi Sulaiman oleh penceramah tua itu. Pada saya, pasti ada ’mesej’ dan ’signal’ daripada Allah untuk semua golongan masyarakat di sebalik ujian ini. Mustahil Allah lakukan semua ini dengan sia-sia. Pasti ada sesuatu yang perlu diambil peringatan oleh para hamba-Nya.Sayangnya, kuliah beliau yang begitu tajam dan menyentuh didengar secara yang hambar sekali. Sidang hadirin yang kebanyaknya golongan ’veteran’ duduk jauh-jauh dan ramai juga yang mendengarkannya sambil lewa. Pada hal, majlis ilmu yang sebegitu mulia (yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai taman syurga di dunia) sangat diperlukan oleh semua – daripada pemerintah hingga kepada rakyat jelata. Hakikatnya, tidak kira samada sultan, menteri, mufti, majikan, buruh dan sesiapa sahaja dapat belajar kejituan tawakkal dan kegigihan ikhtiar… daripada seekor semut!

Hasil Nukilan: Ust.Pahrol Mohd Juoi