Hati ku tersentuh, jiwa ku terganggu lantaran akal yang ligat berfikir mendorong jari-jemariku untuk beraksi dengan tarian tanpa irama di atas pentas papan kekunci komputer riba ku. Di mana tempatnya seorang isteri kalau bukan pada suaminya dan di mana letaknya maruah si suami kalau tidak pada isterinya? Isteri yang solehah menjadi cermin berlian yang berkilauan buat sang suami. Aku sedar, aku tidak layak berbicara soal ini memandangkan aku yang masih ‘single’ dan pengetahuan yang agak terbatas tentang ilmu rumah tangga. Namun, apa yang ingin aku persoalkan adalah rentetan atas apa yang berlaku di depan mataku. Dan rasanya tidak salah untuk aku berbicara tentang soal ini kerana suatu hari nanti aku juga akan bergelar isteri kepada seorang lelaki yang bernama suami. Apa yang menjadi persoalan di sini bukanlah tentang tanggungjawab, ‘commitment’, keganasan rumah tangga, keruntuhan institusi kekeluargaan atau sebagainya tapi tentang perihal di mana letaknya jiwa pendidik dalam diri seorang lelaki yang bergelar suami.
Ramai lelaki sekarang yang tidak mampu menggunakan kuasa mereka sebaik-baiknya sehingga mereka gagal untuk mendidik isteri mereka. Teringat rangkapan lagu, “Didiklah wanita dengan keimanan bukannya harta ataupun pujian…” Benar, wanita kini sudah terbiasa dijinakkan dengan harta benda dan kemewahan yang bersifat duniawi semata-mata. Mereka mempunyai rumah yang besar, kereta yang mewah. Kagum seketika dengan kejayaan sang suami yang mampu memberi kebahagian dan kemewahan kepada keluarga yang dibinanya, sebuah keluarga yang bahagia disirami dengan kemewahan. Namun kecewa untuk ketika-ketika seterusnya tatkala melihat sang isteri yang berpakaian ibarat menayangkan apa yang ada ditubuhnya untuk tontonan umum. Hilang segala rasa bangga ku terhadap suami sebegitu rupa, gagal membentuk isteri menjadi wanita yang tahu menjaga aurat dan harga dirinya! Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:
“Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?” Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya.”
Cukupkah dengan kemewahan, kekayaan, kebendaan, kemesraan dan segala ‘ke-ke’ yang seangkatan dengannya mampu membuahkan kebahagian? Bagaimana dengan keimanan? Atau itu tak perlu? “Kan dah cukup bahagia sekarang, untuk apa lagi keimanan itu? Lagipun kami muda lagi. Masa nilah nak ‘enjoy’ dengan apa yang kami miliki. Kami nak tunjuk pada dunia yang kami adalah pasangan paling bahagia dan ingin satu dunia tahu aku bertuah kerana memiliki isteri yang cantik dan seksi.” Aaah, dialog orang yang tidak berpedoman! Allah berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang di perintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang di perintahkan”.
Dari Rasulullah Saw. beliau bersabda:
“Sesungguhnya Allah Swt. Akan menanyai setiap pemimpin dari apa yang di pimpinnya, apakah dia menjaganya atau menyia-nyiakannya, sehingga seorang suami akan di tanya mengenai keluarga rumah tangganya”. (HR. An Nasaai).
“Macam mana nak didik isteri sedang diri sendiri pun tak terdidik,” itulah persoalan yang cukup membimbangkan diriku. Masih adakah lelaki yang mampu menjadi pendidik untuk permaisuri hidupnya? Lelaki yang mampu membina sebuah istana indah berdindingkan nilai-nilai keimanan dan ketaqwaan yang mampu menjadi pelindung buat isteri dan anak-anaknya? Memang benar tiada manusia yang sempurna. Itulah sebabnya Allah menciptakan lelaki dan perempuan untuk saling lengkap melengkapi. Kekurangan sang suami mampu ditutup oleh isteri yang bijak mengendalikannya begitu juga sebaliknya. Pernah aku terdengar ayat yang keluar dari mulut seorang isteri, “Alah, laki aku bukannya alim sangat nak sembahyang-sembahyang ni. Aku pun tak kisah. Pandailah dia jaga diri dia.” Subhanallah, mana letaknya nilai saling lengkap melengkapi itu? Mana letaknya maruah suami yang sudah sedia tak bermaruah itu? Seolah-olah ianya dihenyak-henyak! Sungguh, rasa hormat sudah semakin terhakis dek kegagalan suami untuk membentuk dan memelihara rasa hormat itu.
“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” (Surah An-Nisa’:34)
Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau tidak mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang bermaksud:
"Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya."
Mengimbas rentetan sejarah tentang keperibadian Rasulullah dalam mendidik isteri baginda membuatkan hatiku semakin sayu, bimbang dan sedih apabila terbayang lelaki-lelaki masa kini sama ada yang sudah bergelar suami mahupun tidak. Sayu, bimbang dan sedih kerana institusi kekeluargaan kian kehilangan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin. Rasulullah saw. telah mengajarkan isteri-isterinya tentang akidah, mengabarkan kepada mereka mengenai keesaan Allah Swt dan keagunganNya. Rasulullah bersabda kepada Aisya Ra. :
“Barangsiapa yang di hisab pada hari kiamat maka akan di siksa”. Kemudian Aisyah Ra. Mengatakan: bukankah Allah Swt. Telah berfirman: “maka dia akan di periksa dengan pemeriksaan yang mudah”, maka Rasulullah saw. menjawabnya sebagai pengajaran dan penjelasan untuknya terhadap hal dari hal-hal yang berkaitan dengan akidah, beliau mengatakan: “hal itu bukanlah hisab, akan tetapi hal itu adalah penyajian, barangsiapa yang di debat dalam hal pemeriksaan pada hari kiamat maka dia di siksa”.
Rasulullah juga mengajarkan mereka zikir pagi dan petang termasuk bagaimana caranya meminta perlindungan kepada Allah dari segala kejahatan. Dari Aisyah ra:
“Rasulullah saw. memegang kedua tanganku dan menunjuk ke bulan, dan berkata: Ya Aisyah! Berlindunglah kepada Allah dari kejahatan ini, karena hal ini adalah kejahatan malam apabila telah gelap gulita”. (HR. Ahmad).
Seperti itulah sikap Rasulullah dalam mendidik isteri-isterinya, termasuk sikap beliau terhadap isterinya yang merendahkan isterinya yang lain sekalipun dia mempunyai alasan yang kuat. Maka sebaiknya seorang suami yang muslim mengajari dan mendidik isterinya, seperti melawan hal-hal yang bersifat kemungkaran yang timbul darinya baik dari segi dia berpakaian atau berhias dan dalam hal-hal yang lain.
Aku tidak mengharapkan mereka menjadi sesempurna Rasulullah SAW dalam membawa watak seorang suami namun sekurang-kurangnya berusahalah untuk mencontohi baginda. Ketahuilah, sehebat manapun seorang wanita itu mereka tetap perlu dididik, dibimbing dan diberikan pedoman oleh seorang lelaki. Ingat kembali fitrah kejadian wanita yang diciptakan dari acuan tulang rusuk yang bengkok dan mana mungkin lahirnya banyangan-bayangan yang lurus dari objek yang bengkok. Begitulah umpamanya keperibadian seorang wanita yang perlu dibentuk dengan didikan yang sebaik-baiknya. Sedarlah wahai kaum Adam sekalian, kuasa mengubah dunia terletak pada kaummu. Jangan biarkan wanita menguasai dunia rumah tangga, lebih-lebih lagi wanita yang kurang pegangannya dalam agama sehingga kelak melahirkan zuriat-zuriat yang makin tersasar dari jalannya. Pandanglah jauh ke hadapan untuk kebaikan keluargamu, fikirlah sedalam-dalamnya tentang kehidupan dirimu dan mereka yang tidak hanya di dunia malahan untuk kehidupan di akhirat kelak.
0 comments:
Post a Comment