BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Wednesday, May 13, 2015

Umrah (Part 2) : Persediaan Sebelum Mengembara Menuju Kaabah

Alhamdulillah... Ku panjatkan segala kesyukuran ke hadrat Ilahi atas segala nikmat dan limpah kurnianya serta atas setiap urusan yang dipermudahkan olehNya. Begitu teruja rasanya untuk membuat persiapan  dan menguruskan hal-hal yang berkaitan untuk mengembara menuju Kaabah, menjadi tetamu Allah 'Azza wa Jalla.

PENYEDIAAN DOKUMEN DAN LAIN-LAIN.

1. Pasport.
Comelkan? Pasport anak lelakiku. Hehe
Memandangkan kami sekeluarga tidak pernah ke luar negara, maka kami ke Pejabat Imegresyen untuk membuat pasport. Prosesnya sangat mudah dan hanya mengambil masa satu jam untuk mendapatkan pasport tersebut. Bayaran yang dikenakan pada tahun ini adalah RM200 bagi tempoh 5 tahun untuk dewasa dan RM100 untuk bayi atau kanak-kanak.

2. Gambar visa.
Gambar Visa Kami ;)
Untuk gambar visa umrah, perlu memakai pakaian hitam dan bagi lelaki tidak boleh bersongkok atau menutup kepala. Bayarannya bergantung kepada kedai gambar. Kebiasaannya antara RM10-15 bagi 4 keping gambar beserta salinan "softcopy".



3. Pengesahan Mahram
Bagi pasangan suami isteri perlu menyediakan salinan sijil perkahwinan yang disahkan salinannya oleh pihak Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing. Bagi anak pula, perlu disediakan salinan sijil kelahiran yang disahkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negeri.

4. Suntikan Meningitis
Suntikan ini ada disediakan oleh klinik-klinik swasta dan kosnya RM100-150 seorang bagi tempoh 2 tahun.

5. Duit Bayaran Pakej Dan Perbelanjaan.
Ya, ini pastinya perkara yang paling penting untuk disediakan. "No money, no talk". Alhamdulillah, disebabkan Abah telah "topup" sejumlah duit yang masih belum mencukupi jadi aku dapat membuat bayaran penuh pada bulan Mac  2015 dan menyerahkan semua dokumen-dokumen yang tersebut di atas kepada pihak Andalusia Travel & Tour. Sebenarnya tempoh serahan dokumen dan bayaran penuh adalah selewatnya sebulan sebelum tarikh keberangkatan. Tetapi disebabkan terlalu "excited" dan risau akan timbulnya sebarang kemungkinan, jadi aku selesaikan urusan tersebut seawal yang mungkin. 
Jumlah Bayaran Pakej
(Penebangan, Penginapan & Makanan):
RM5500 x 4 orang dewasa
+ RM1500 x 1 orang kanak-kanak bawah usia 2 tahun
= RM 23, 500#
Suami ku sedang membuat urusan pertukaran wang.
Selain itu, kami juga membuat pertukaran mata wang seawalnya bagi mengelakan sebarang kemungkinan terutamanya kemungkinan duit itu dibelanjakan untuk hal-hal lain. Hehehehe...

RM2000.00 = 2010.05 Riyal

6. Mengisi borang cuti dan borang ke luar negara.
Bagi penjawat awam, kami perlu mengisi dua borang tersebut dan perlu mendapat kelulusan daripada Ketua Jabatan. Alhamdulillah, segalanya telah ku uruskan pada bulan April setelah mendapat surat maklumbalas dari pihak HQ Andalusia di Kuala Lumpur. Surat tersebut mengandungi maklumat jemaah, tarikh dan masa penerbangan pergi-balik.


PERSEDIAAN ROHANI.

1. Cari dan tambahkan ilmu (Kursus Umrah)
Kami menghadiri kursus umrah yang telah disediakan oleh pihak Andalusia Travel & Tour. Kursus bermula pada jam 9.00am-1,00pm pada setiap hari Sabtu. Pihak andalusia juga menyediakan kudapan seperti nasi goreng dan air teh bagi para jemaah secara percuma. Alhamdulillah, semoga Allah sentiasa murahkan rezeki mereka.

2. Perbanyakkan amalan-amalan sunat seperti berpuasa, bersedekah, solat malam dan yang paling penting solat sunat taubat dan berusaha untuk berubah meninggalkan segala perkara mungkar dan maksiat.

3. Memohon maaf kepada semua kenalan, sanak saudara dan keluarga terutamanya kedua ibu bapa.

4. Banyakkan berdoa dan solat hajat supaya Allah menerima setiap amalan kita, mengampunkan dosa kita, mengurniakan kita kesihatan yang baik, terhindar dari godaan dan hasutan syaitan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang berada di sana.

4. Berazam untuk melipatgandakan amalan dan ibadah sepanjang berada di sana dan mendapat umrah yang mabrurah.