BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Sunday, February 20, 2011

Kadang-Kadang Bersendirian Itu Adalah Lebih Baik

Kedengaran suara kanak-kanak girang bermain di laman rumahku. Aku menjengah ke suatu sudut jendela, tertarik untuk memerhatikan gelagat mereka yang cukup lincang dan ceria bersama teman-teman. Sesugguhnya zaman kanak-kanak merupakan zaman yang cukup berharga dalam diri setiap insan yang bernama manusia. Cemburu pula rasanya melihat kemeriahan suasana mereka. Sedangkan aku, sunyi bertemankan sepi, terkurung di rumah sendiri bertemankan televisyen yang kadang-kala membosankan. Ada kalanya juga alunan lagu yang diiringi lalakan suara sumbang ku menceriakan sedikit suasana dan memecah kesunyian. Beginilah keadaannya setiap kali hujung minggu tiba sejak aku tinggal bersendirian kerana “housemate” ku telah berpindah ke mengikut tunangnya.

Selepas sahaja selesai menunaikan solat subuh, aku akan merebahkan kembali diriku sambil ditemani mimpi-mimpi di siang hari. Jika aku terjaga aku akan kembali menyambung tidur ku sehinggalah aku betul-betul sudah puas dan bosan dengannya. Kebiasaannya aku akan tidur sehinggalah azan zuhur berkumandang. Kemudian aku akan mengemas, menyapu dan mengemop keseluruhan rumahku dari bilik tidur hinggalah ke bilik air. Apabila sudah selesai sebuah rumah aku kerjakan, aku akan memandikan pula kereta kecil ku sehingga berkilat-kilat meskipun baru sahaja minggu lepas aku memandikannya. Bila malam menjelma pula aku akan menghabiskan 1/3 daripada malam ku dengan menunaikan solat, mengaji dan membaca tafsir al-quran sehinggalah aku mengantuk dan kembali tidur. Kemudian apa lagi yang perlu aku lakukan pada keesokkan harinya (Ahad)?! Adakah aku akan mengulangi lagi rutin tersebut?! Owh tidak… Sungguh membosankan!

Walaupun sudah lebih setengah tahun aku tinggal di sini, namun aku masih belum bertemu dengan seorang insan yang bergelar sahabat. Benarlah kata orang, mencari sahabat yang benar-benar serasi, yang benar-benar namanya sahabat dunia dan akhirat adalah ibarat mencari sebutir permata di pepasir pantai yang luas terbentang. Kadang-kadang sinaran mentari menipu pandangan mata sehingga kelihatan seakan-akan pepasir itu dipenuhi dengan kilauan permata sedangkan ianya hanyalah butiran pepasir yang tak bermakna dan akhirnya hanya mengecewakan. Dalam persahabatan, aku amat mengharapkan sesuatu yang aku perolehi dari seorang sahabat. Sesuatu yang boleh dijadikan teman di dunia dan bekalan di akhirat. Suatu ketika yang lalu, pada bulan Oktober 2010 iaitu selang 2 bulan aku bekerja di sini, Allah telah mentakdirkan aku untuk bertemu dengan seorang insan.

Ketika itu dia baru sahaja diterima bekerja di pejabatku dan menjadi rakan sejawatku. Memandangkan dia mempunyai masalah tempat tinggal, aku membantunya mendapatkan rumah untuk disewa. Entah apa yang membuatkan aku lembut hati ingin membantunya sedangkan aku tidak pernah kenal dengannya. Bagiku, mungkin dialah sahabat yang dianugrahkan oleh Allah kepada ku yang ku nanti-nantikan sebelum ini. Kebetulan, jiranku ingin mencari penyewa kerana dia tinggal sendirian. Rumahnya hanya selang berapa buah rumah dari rumahku. Setiap pagi dia akan bersama-sama menaiki kereta ku untuk ke pejabat kerana di tidak mempunyai kenderaan. Keadaan tersebut berlarutan selama 4 bulan dan sepanjang tempoh tersebut, kami semakin akrab memandangkan kami terpaksa bersama kerana skop kerja yang sama dan menaiki kereta yang sama. Banyak masa yang diluangkan bersama berbeza dengan rakan sejawat yang lain yang sekadar menjadi teman di pejabat sahaja.

Pada permulaannya aku rasa selesa dengan persahabatan tersebut. Dia dibesarkan di Kuala Lumpur dan berasal dari keluarga yang mementingkan agama. Keluarganya agak mewah dan berada. Pada permulaannya, aku merasakan yang dia merupakan seorang pendengar yang setia, seorang yang mudah memberikan pendapat dan mengambil berat tentangku. Sikapnya yang mudah menghulurkan bantuan membuatkan aku sering terhutang budi dengannya. Namun semua itu belum menjaminnya untuk menjadi sahabat karib ku kerana dia bukanlah seorang yang mementingkan agama sebagaimana ibubapanya. Dia tidak pernah menunaikan solat lima waktu sepanjang aku berkawan dengannya. Hanya apabila ada ibu bapanya sahaja dia menunaikan solat. Pandangannya terhadap perspektif agama juga bertentangan dengan pandanganku dan sering menimbulkan ketidakpuasan hatiku. Namun aku hanya diamkan sahaja kerana bukan mudah untuk bertekak dengan orang yang telah mati hatinya dan aku pun malas nak bertikam lidah dengannya dan lebih baik aku bukukan sahaja di hati. Dari segi pemakaiannya juga tidak berapa aku senangi. Walaupun badannya agak gempal, dia tetap mengenakan pakaian yang ketat dan seluar yang menampakkan anggota tubuh yang tidak sepatutnya didedahkan. Aku perasan ada segelintir pekerja lelaki yang ‘geram’ melihatnya tapi aku tidak tahu bagaimana untuk menegurnya. Pernah aku menyentuh soal itu, namun jawapannya sungguh menyedihkan aku. Owh Tuhan, aku tidak sanggup menghadapi situasi ini. Aku sangat malu apabila orang menggelarkannya sahabat baikku. Dia sering mengutuk orang yang seksi dan sebagainya tetapi dia tidak sedar bahawa apa yang diperkatakannya ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Dia benar-benar mengecewakan aku kerana persepsi pertama ku terhadapnya semuanya dusta semata-mata. Kalau dipermulaannya aku sudah paham akan gaya hidupnya yang sosial rasanya aku masih lagi boleh terima, tapi bila pada awalnya semua nampak baik tapi hakikatnya hanya tipu-tipu sahaja, sekali-kali sungguh aku kecewa!

Sikapnya yang suka memaksaku juga membuatkan aku sedikit kurang selesa dengannya. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan perkara yang aku tidak suka. Namun aku hanya diamkan kerana mungkin ini sekadar perasaanku semata-mata. Kalau diikutka hati ingin sahaja aku menjauh darinya. Namun keadaan benar-benar tidak menyebelahi aku. Masakan aku bisa menjauhinya sedangkan setiap hari dia menaiki keretaku, lepak di mejaku dan makan bersamaku. Argh, sungguh merimaskan. Segala-galanya hendak dilakukan bersama sampaikan nak ke tandas pun ajak aku! Aku paling benci orang yang terlampau suka menyendeng-nyending. Ke mana aku pergi, pasti dia ingin pergi bersama tetapi bila aku ke surau untuk solat zuhur, tidak pula dia sibuk-sibuk nak ikut sama. Jika aku menghilangkan diri, pasti dia akan menyoal siasatku ke mana aku pergi, kenapa aku pergi dan sebagainya. Aku RIMAS!

Aku cukup gembira apabila mengetahui bahawa dia telah membeli sebuah Produa Myvi dan telah pun dibawanya pada minggu lepas. Inilah yang membuka peluang kepada ku untuk mengatur strategi menjauhkan diri darinya. Bukan niat ku untuk memutuskan silaturahim dengannya tetapi sekadar ingin tidak begitu rapat dengannya. Cukuplah menjadi kawan sahaja sebagai mana kawan-kawan sepejabatku yang lain. Jika begini keadaannya aku lebih rela bersendirian bertemankan sepi daripada bersahabat bertemankan orang yang membuatkan hatiku tidak tenteram dan nantinya hanya akan lebih memburukkan keadaan. Maafkan aku wahai ‘sahabat’…. Mungkin Allah anugerahkan dia dalam hidupku sekadar ingin menguji ku, melihat sejauh mana aku mampu menyampaikan dakwah (menegur kesalahannya) dan menilai sejauh mana kesabaran ku dalam meniti sebuah persahabatn. Ternyata aku gagal menempuhinya dan aku berundur diri.

Maafkan aku Ya Allah, aku tidak kuat untuk semua itu dan ternyata bersendirian itu adalah lebih baik bagi ku kerana dengan bersendirian aku akan lebih rapat denganmu, aku akan lebih berkurangan dalam bercakap perkara yang sia-sia dan hatiku lebih damai dari terus mengumpat dan membenci orang. Cukuplah Allah menjadi pendampingku kala aku kesedihan, kala aku kesusahan dan kala aku memerlukan teman untuk berbicara, cukuplah Rasulullah menjadi penguat semangatku saat ianya pudar dimamah kealpaan, cukuplah Kalam Ilahi menjadi penghiburku kala aku kesunyian. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Di sini aku coretkan sedikit petikan ayat dari buku yang ditulis oleh Dr. ‘Aidh B. Abdullah Al-Qarni sebagai pengubat jiwaku.

“Hindarilah perdebatan yang tidak perlu serta perkumpulan yang tidak bermanfaat. Jauhilah kawan yang jahil kerana ia boleh menarikmu kepada kejahilan. Ketahuilah bahawa tabiat yang buruk boleh mempengaruhi tabiat baikmu dan penglihatan matamu yang buruk boleh menjerumuskanmu ke dalam kejahatan”

“Berapa banyak satu kata merenggut sederet kenikmatan dan satu kekhilafan membawa kepada kehinaan. Sebaliknya berapa banyak kesendirian mendatangkan kebaikan dan pelakunya mendapat kemuliaan yang tinggi dari Allah”

“Tidak ada ketenangan kecuali dengan menyendiri dalam ketaatan (uzlah). Tidak ada rasa aman kecuali dengan kepatuhan. Tidak ada rasa sayang kecuali dengan menepati janji. Tidak ada kepercayaan kecuali dengan kejujuran”

0 comments: