BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Wednesday, April 13, 2011

Jom Jalan-Jalan: Ipoh

"Sha, nak ikut aku ke Ipoh tak hujung minggu nanti?" soal Mohd Nor Al Mustakim, teman sekerjaku yang juga teman sekuliyah ku sewaktu di universiti dahulu. Ajakannya ku ambil sekadar pelawaan kosong kerana dari Melaka ke Perak bukannya sejengkal bahkan memakan masa lebih kurang 10 jam untuk sampai ke sana dan pastinya memerlukan belanja yang tinggi. Rupa-rupanya dia serius dan benar-benar ingin ke sana dengan kereta kesayangannya itu. Katanya dia sudah lama berhajat untuk berjalan jauh dengan keretanya. Kononnya nak "test power" lah. Di samping itu, dapatlah menziarahi kawan-kawan sekuliyah dahulu Aiman, Faiz, Hafidah dan Syalfarina yang bekerja di Bandaraya Ipoh yang sudah hampir 9 bulan tidak bersua. Ekpedisi dari Selatan ke Utara itu dimulakan pada 8 April 2011, jam 6.00 petang waktu tempatan iaitu sehabis sahaja waktu bekerja.

Destinasi perhentian pertama adalah di Banting untuk menjemput sahabat kami, Nur Hassan yang bekerja di daerah tersebut. Kemudian kami meneruskan lagi perjalanan ke Puncak Alam untuk menjemput seorang lagi rakan, Zaleha namanya. Akhirnya kami tiba di Ipoh pada jam 3.00pagi. Perjalanan yang cukup panjang amat memenatkan namun kegembiraan bertemu kembali dengan rakan-rakan menghilangkan segala kepenatan itu. Tempoh 2 hari 2 malam dirasakan begitu singkat sekali namun aku sangat berpuas hati kerana dapat mengisi masa sebaik-baiknya bersama mereka.

Gores, jangan tak gores! Nanti kena saman..hihi



Sahabat-sahabat kami di Ipoh telah merancang untuk membawa kami berjalan-jalan di Cameron Highland yang mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah dari Ipoh. Ini merupakan kali ke-2 aku menjejakkan kaki ke Tanah Tinggi tersebut 2 tahun yang lalu. Udara dinginnya memang cukup mendamaikan dan amat segar sekali. Inilah kuasa Maha Pencipta. Ciptaannya sangat indah dan memukau pandangan. Subhanallah...






Keesokan harinya sebelum bergerak pulang mereka sempat membawa kami ke Taman Rekreasi Kuala Woh yang terletak 13km dari pekan Tapah. Seharian bermandi-manda di sana sungguh menyeronokan lebih-lebih lagi aku adalah seorang pencinta sungai dan laut yang sangat fanatik dengan keajaiban ciptaan Allah yang Maha Indah ini.(^_^)



Kami bertolak meninggalkan negeri Perak pada 5.oo petang dan tiba di Melaka jam 2.00 pagi. Dalam perjalanan menghantar Zaleha ke Puncak Alam, sempat jugalah aku melepaskan rindu kepada ex-kampus ku yang menyimpan 1001 kenangan alam 'persekolahan' yang sudah hampir setahun ditinggalkan. InsyAllah, jika tiada aral melintang mungkin tahun hadapan aku akan kembali ke sini untuk menyambung pengajianku ke peringkat seterusnya.

Tuesday, April 12, 2011

Jalan Yang Lurus

Kita memohon kepada Allah minimum 17 kali sehari untuk ditunjukkan jalan yang lurus. Namun kekadang kita terlupa bahawa bagaimanakah jalan yang lurus tersebut? Allahu a'lam. Allah Maha Mengetahui jawapan tersebut. Cuma dalam kita menerawang dan meneruskan kehidupan, maka kita perlulah menggunakan akal yang ada untuk mengkaji ayat ini lantaran Surah Al-Fatihah itu adalah surah yang merangkumi segala ajaran di dalam Quran, yakni Ummul Kitab.

Jalan Yang Lurus

Seorang muslim adalah seorang pemilik sejumlah kepercayaan dan keyakinan yang tidak mungkin berubah. Dengan erti, jika berlaku perubahan pada perkara tersebut, maka dirinya secara sendirinya akan segera bertukar menjadi seorang bukan muslim atau disebut kafir. Kafir bererti menutup, iaitu menutup kebenaran yang nyata. Kebenaran yang nyata adalah sejumlah kepercayaan dan keyakinan yang tidak boleh berubah tadi. Kepercayaan dan keyakinan tadi disebut dalam istilah agama sebagai akidah atau iman.

Justeru seseorang itu hanya dikira muslim apabila dia berakidah atau beriman dengan seikat keyakinan yang pasti yang diajar oleh Islam. Dia dengan itu, dalam beberapa perkara tertentu dan terpilih hendaklah tunduk kepada kehendak ajaran agamanya secara terpaksa dan tanpa pilihan.

Adakah apabila dia terpaksa menerima dan patuh, maka dia telah membantutkan penggunaan akalnya yang setiap masa digunakan untuk memandu kehidupannya itu? Atau adakah Islam pada kemuncak ajarannya telah memusuhi akal dengan mendorong dan memaksa penganutnya mempercayai sesuatu secara membabi buta?

Tentu sekali tidak.

Akal dan Agama adalah daripada Allah. Kedua-duanya tercipta untuk saling memandu manusia menempuh kehidupan di dunia ini. Bagaimana boleh digambarkan sebuah syarikat kenderaan mencipta stering dan tayar sebuah kereta yang saling bertentangan arah tanpa keselarasan? Begitulah Allah, kehendakNya adalah agar seorang hambaNya memiliki seikat kepercayaan dan iman yang diyakini oleh dirinya sendiri melalui akainya walaupun pada awalnya ia adalah semata-mata ajaran wahyu yang didatangkan langsung oleh Allah melalui para rasulNya alaihimussalam.

Maka Marilah kita berdoa agar kita sentiasa berada di jalan yang lurus. Bolehkan? Tentu boleh! InsyaAllah

Jalan Para Nabi dan Rasul Adalah Jalan Allah

"Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)" (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 213)