BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Friday, September 9, 2011

Mencari Titik Permulaan

Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua saya masih dapat bernafas. Dengan kasih sayang-Nya jua seluruh makhluk di muka bumi masih terus bertasbih kepada-Nya.

Di sini ingin saya kongsikan serba sedikit tentang pandangan saya berkenaan pencarian titik permulaan... yang akhirnya membawa kepada titik perubahan dengan izin-Nya. Insya-Allah.

Pernahkah sahabat-sahabat mendengar cerita tentang pemotong kayu dengan kapaknya? Bagi yang tidak mengetahuinya, suka untuk saya ringkaskan cerita tersebut.

Seorang pemotong kayu setia dengan tugasnya memotong kayu saban hari. Setiap hari hasil kayu yang dipotong meningkat dengan bilangan hari. Barangkali kejayaan ini berpunca dari pengalaman yang bertambah seiring usia.

Namun, pada suatu hari, si pemotong kayu mendapati dia memerlukan lebih masa untuk mendapatkan hasil potongan kayu yang sama. Dicubanya juga untuk terus memotong, namun, hasilnya hampa. Cuma penat dan peluh yang membasahi bajunya.

Akhirnya, dia duduk termenung.. bila difikirkan kembali, bukan isu pengalaman yang menjadi punca kegagalan dia mendapat hasil kayu yang banyak, tetapi kegagalan dia untuk berhenti dan berfikir menjadi penghalangnya untuk berjaya... iaitu kapak yang semakin tumpul.

Ya, berfikir untuk mencari titik permulaan yang membawa perubahan besar.

Mencari punca

Pada pendapat saya, kadang-kala kita sering terlupa isu kecil yang berlaku di sekeliling kita boleh menjadi faktor penghalang kejayaan kita.

Seperti cerita di atas, kegagalan untuk mengasah kapak menjadi punca si tukang kayu kurang penghasilannya. Bagaimana pula dengan kita? Sudahkah diasah nilai kecil yang mungkin signifikan buat kita?

Ingin saya memberi contoh dengan melihat kepada aspek kebahagian hidup. Berapa ramai antara kita yang mencari bahagia? Saya yakin pasti jawapannya ramai, tetapi, pernahkah kita menilai apakah aspek dalam diri kita yang menghalang kita dari bahagia?

Teringat saya pada tazkirah yang diberi oleh Prof. Muhaya di radio IKIM:

"Bahagialah dari dalam dan hasilnya akan terlihat di luar. Bahagialah dengan Allah. Jangan mencari bahagia dari luar."

Jelas di sini, dengan menjadikan material sebagai ukuran bahagia menjadikan kita manusia yang tidak pernah puas, lantas tidak bahagia. Duit, pangkat, harta, kecantikan... semuanya fitrah manusia. Kadangkala, perkara ini menjadi keperluan dan kebanyakan dari kita meletakkannya sebagai kehendak.

Titik permulaan... Titik penentu

Saya pasti kita semua pernah melihat pertandingan larian. Sama ada jarak dekat atau jauh, semuanya bermula pada titik permulaan yang sama. Namun, setiap peserta larian mempunyai visi, motivasi dan kekuatan yang berbeza. Namun akhirnya, hanya ada satu titik penentu iaitu garis penamat di hujung trek.

Begitu jugalah kita sebagai manusia, kita ada seribu satu titik untuk dipilih. Setiap satunya datang dengan cabaran untuk menguji keimanan. Tinggal kita untuk memilih titik mana yang mampu mengubah mimpi menjadi realiti.

Jadi saya menyeru diri dan sahabat-sahabat semua untuk:

1. Mencari apakah pushing factor yang mampu menjadi titik permulaan kita untuk berubah ke arah kebaikan.

2. Tetapkan titik penentu dalam setiap permulaan kita yang pastinya mardhatillah juga menjadi ultimate goal kita.

3. Gerakkan diri dan persekitaran untuk berubah sama ke arah kebaikan. Sebarkan kebaikan, moga dengan izin Allah ia mampu membentuk masyarakat yang cemerlang.

4. Teruskan mengasah "kapak" anda. Andai tiada "pengasah", rujuklah pada pakarnya. Banyakkan bertanya pendapat orang yang faqih dan carilah ilmu sebagai pemangkin anda.

5. Mohon petunjuk dari Allah. Hakikatnya Dia jugalah Penggerak hati kita, maka selayaknya kepada Allah kita mengadu dan berharap.

6. Teruskan bahagia dengan Allah. Rasakanlah kesyukuran itu sebagai penguat terbaik kita untuk terus berusaha.

D + U + I + T

Doa, usaha, ikhtiar dan tawakal... itu penutupnya. Moga Allah redha dengan titik permulaan yang kita pilih. Moga diberi petunjuk terbaik buat kita semua. Apa lagi ditunggu? Carilah titik itu... mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim.

-Artikel Iluvislam.com-