BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Wednesday, May 13, 2015

Umrah (Part 2) : Persediaan Sebelum Mengembara Menuju Kaabah

Alhamdulillah... Ku panjatkan segala kesyukuran ke hadrat Ilahi atas segala nikmat dan limpah kurnianya serta atas setiap urusan yang dipermudahkan olehNya. Begitu teruja rasanya untuk membuat persiapan  dan menguruskan hal-hal yang berkaitan untuk mengembara menuju Kaabah, menjadi tetamu Allah 'Azza wa Jalla.

PENYEDIAAN DOKUMEN DAN LAIN-LAIN.

1. Pasport.
Comelkan? Pasport anak lelakiku. Hehe
Memandangkan kami sekeluarga tidak pernah ke luar negara, maka kami ke Pejabat Imegresyen untuk membuat pasport. Prosesnya sangat mudah dan hanya mengambil masa satu jam untuk mendapatkan pasport tersebut. Bayaran yang dikenakan pada tahun ini adalah RM200 bagi tempoh 5 tahun untuk dewasa dan RM100 untuk bayi atau kanak-kanak.

2. Gambar visa.
Gambar Visa Kami ;)
Untuk gambar visa umrah, perlu memakai pakaian hitam dan bagi lelaki tidak boleh bersongkok atau menutup kepala. Bayarannya bergantung kepada kedai gambar. Kebiasaannya antara RM10-15 bagi 4 keping gambar beserta salinan "softcopy".



3. Pengesahan Mahram
Bagi pasangan suami isteri perlu menyediakan salinan sijil perkahwinan yang disahkan salinannya oleh pihak Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing. Bagi anak pula, perlu disediakan salinan sijil kelahiran yang disahkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negeri.

4. Suntikan Meningitis
Suntikan ini ada disediakan oleh klinik-klinik swasta dan kosnya RM100-150 seorang bagi tempoh 2 tahun.

5. Duit Bayaran Pakej Dan Perbelanjaan.
Ya, ini pastinya perkara yang paling penting untuk disediakan. "No money, no talk". Alhamdulillah, disebabkan Abah telah "topup" sejumlah duit yang masih belum mencukupi jadi aku dapat membuat bayaran penuh pada bulan Mac  2015 dan menyerahkan semua dokumen-dokumen yang tersebut di atas kepada pihak Andalusia Travel & Tour. Sebenarnya tempoh serahan dokumen dan bayaran penuh adalah selewatnya sebulan sebelum tarikh keberangkatan. Tetapi disebabkan terlalu "excited" dan risau akan timbulnya sebarang kemungkinan, jadi aku selesaikan urusan tersebut seawal yang mungkin. 
Jumlah Bayaran Pakej
(Penebangan, Penginapan & Makanan):
RM5500 x 4 orang dewasa
+ RM1500 x 1 orang kanak-kanak bawah usia 2 tahun
= RM 23, 500#
Suami ku sedang membuat urusan pertukaran wang.
Selain itu, kami juga membuat pertukaran mata wang seawalnya bagi mengelakan sebarang kemungkinan terutamanya kemungkinan duit itu dibelanjakan untuk hal-hal lain. Hehehehe...

RM2000.00 = 2010.05 Riyal

6. Mengisi borang cuti dan borang ke luar negara.
Bagi penjawat awam, kami perlu mengisi dua borang tersebut dan perlu mendapat kelulusan daripada Ketua Jabatan. Alhamdulillah, segalanya telah ku uruskan pada bulan April setelah mendapat surat maklumbalas dari pihak HQ Andalusia di Kuala Lumpur. Surat tersebut mengandungi maklumat jemaah, tarikh dan masa penerbangan pergi-balik.


PERSEDIAAN ROHANI.

1. Cari dan tambahkan ilmu (Kursus Umrah)
Kami menghadiri kursus umrah yang telah disediakan oleh pihak Andalusia Travel & Tour. Kursus bermula pada jam 9.00am-1,00pm pada setiap hari Sabtu. Pihak andalusia juga menyediakan kudapan seperti nasi goreng dan air teh bagi para jemaah secara percuma. Alhamdulillah, semoga Allah sentiasa murahkan rezeki mereka.

2. Perbanyakkan amalan-amalan sunat seperti berpuasa, bersedekah, solat malam dan yang paling penting solat sunat taubat dan berusaha untuk berubah meninggalkan segala perkara mungkar dan maksiat.

3. Memohon maaf kepada semua kenalan, sanak saudara dan keluarga terutamanya kedua ibu bapa.

4. Banyakkan berdoa dan solat hajat supaya Allah menerima setiap amalan kita, mengampunkan dosa kita, mengurniakan kita kesihatan yang baik, terhindar dari godaan dan hasutan syaitan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang berada di sana.

4. Berazam untuk melipatgandakan amalan dan ibadah sepanjang berada di sana dan mendapat umrah yang mabrurah.










Tuesday, May 12, 2015

Umrah (Part 1) : Titik Permulaan.

Di saat insan2 lain sedang lena dibuai mimpi mata ini masih enggan tertutup, minda ini masih ligat terawang-awang. Pelbagai perkara berlegar2 dlm fikiran. 6 hari lagi aku bakal meninggalkan bumi Malaysia. Merehatkan diri dari kesibukan tugas harian selama 2 minggu. Bermusafir ke Makkah tul mukarramah bagi menunaikan ibadah umrah dan menziarahi baginda Rasulullah SAW serta para sahabat di Madinah tul munawarah. Sejujurnya, aku sendiri tidak menyangka aku berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sana. Niat ku pada asalnya semata-mata ingin membawa Ummi dan Abah ku ke Mekah. Itulah cita-cita paling besar dalam hidupku semasa mula2 aku ditawarkan utk bekerja di tempat kerja ku sekarang. Setiap kali melihat saudara-mara ataupun rakan-rakan pergi ke sana, setiap kali itu terdetik di hati ini, "alangkah bestnya klu dapat bawa umi dan abah ke sana sementara mereka masih sihat". Namun, aku hanya pendamkan sahaja cita-cita tersebut kerana aku sedar yg kewangan ku masih belum cukup untuk itu. 


 وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ 
“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan ‘umrah karena Allah.”
( Al Baqarah 196)

Sehinggalah pada awal Januari yg lalu, entah bagaimana ketika sedang berbual dgn umi dan abah aku dengan spontannya berkata, "Nanti org nk bawa umi dan abah pergi Mekah. Tapi tak tahu lah bila. Mungkin tahun depan kot (2016)" sambil tergelak sendiri kerana aku xpasti aku mampu mengotakan kata2 ku itu ataupn tidak. Benarlah seperti apa yg abah ku selalu sebut, "wang x berkuasa, Allah yg berkuasa".. Allahu Akhbarrr.... Sebulan selepas itu, ketika aku sedang melintasi bangunan premis Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd‎, hati ini memaksa ku untuk singgah ke situ. Di situ, aku bertanyakan tentang pakej umrah yg ditawarkan. Pekerja di situ juga menerangkan dengan begitu terperinci sekali dan siap bertanya kepada ku berapa jumlah ahli keluarga yang akan ikut serta dan bila akan berangkat. Aku menjawab dengan yakin dan mereka melayaniku seolah-olah aku benar-benar telah yakin akan menyertai pakej umrahnya. Sedangkan ketika itu, aku langsung tidak berbincang dengan sesiapa termasuk umi dan abah ku. Terasa seperti diri ini seolah tidak berdiri di bumi yang nyata dan dengan angan-angan yang entah betul entah tidak. Aku pulang ke rumah dengan membawa senaskah risalah yg terkandung pelbagai jenis pakej umrah dari agensi tersebut dan menunjukkannya pada suamiku. Sambil dia mengamati kandungan risalah tersebut, aku segera membuka buku akaun simpanan ku. Lantas, aku mengajak suami ku utk mengerjakan umrah bersama, "Org ingat nak bawa umi dan abah pi umrah lah bulan 5 ni. Jom syg, kita bawa Naufal sekali. Tapi duit org macam x cukup aje lagi RM3000. Cukup utk 2 org (umi & abah) sahaja". Suami ku agak terkejut dan berasa janggal dengan ajakkan ku. Dia kelihatan tidak yakin dan mungkin langsung tidak pernah terlintas di fikirannya utk menunaikan umrah seawal ini. Dia bertanya, "Urm, berapa harganya utk 5 org?". Aku dengan semangatnya mengira dan dia mengambil buku akaun simpanannya. Wah, masih banyak rupanya duit simpanan dia. Namun, dia kelihatan agak berat utk melihat angka dalam bukunya akan menyusut. Lantas, aku terus memujuknya. Aku yakinkan dia bahawa setiap wang/harta yg dibelanjakan ke jalan Allah, utk beribadah kepada Allah, InsyaAllah Allah akan gantikannya dengan lebih banyak dan melimpah ruah (hehehehe). 


Akhirnya dia akur, dan setuju dengan cadangan ku. Aku dengan penuh berbesar hatinya menelefon umi ku dan menyatakan hal tersebut. Umi seakan tidak percaya dan begitu teruja sekali. Dia bertanya, "Awak ni biar betul. Awak tak sayang ke duit awak? Bukan senang nak simpan balik nanti". Dan jawapan ku tetap sama, "Setiap wang/harta yg dibelanjakan ke jalan Allah, utk beribadah kepada Allah, InsyaAllah Allah akan gantikannya dengan lebih banyak lagi". Alhamdulillah, target ku untuk membawa umi dan abah ke Mekah pada tahun hadapan (2016) rupanya telah diperkenankan oleh Allah pada tahun ini. Bahkan, Allah gandakan lagi dengan memberi peluang kepada aku, suami dan anak untuk turut serta. Maha Suci Allah, tiada yg mustahil baginya. Allah telah membuka jalan dan memberi kemudahan kepada kami sekeluarga. Benarlah kata-kata kawan2 baek ku ketika aku menyatakan angan2 ku utk membawa umi dan abah ke sana. Mereka meyakinkan aku bahawa jika niat kita baik, ikhlas utk gembirakan kedua ibu bapa kita insyaAllah sepayah mana pun pasti Allah akan mudahkan... Allahu Rabbi.. menitis air mata ku bila mengenang kembali kata-kata tersebut. Moga Allah melimpahi rahmat dan kasih sayang yang tidak terhingga pada mereka, sahabat dunia akhirat.

Hanya berbaki 4 hari lagi untuk berangkat ke Jeddah. Diri ini insan pendosa. Selayak manakah diri ini mampu untuk menjadi tetamuNya? La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin. Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. Doakan agar dapat melaksanakan ibadah umrah dengan cemerlang, dikurniakan kesabaran yang tinggi sepanjang di sana, diberikan kesihatan yang baik dan seterusnya mendapat umrah yg mabrurah. Moga kembara ini akan menyucikan jiwaku yg kelam. Moga ianya juga dapat hijrahkan diri ini untuk menjadi manusia yang lebih baik, hamba Allah yg lebih beriman. Menjadi anak, isteri dan ibu yg lebih solehah. Allahumma ameenn...