BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Friday, August 26, 2016

Welcome to The World, Ahmad Naqeeb!!

sedang menunggu untuk discharge wad
Alhamdulillah... Segala puji-pujian pada Allah atas limpahan rahmat dan kasih sayangnya yang tidak terhitung banyaknya. Pagi itu (26/03/16) merupakan hari Sabtu. Seperti biasa aku dan suami bangun untuk solat subuh ditemani anak sulung kami Ahmad Naufal yang sememangnya akan bangun di awal pagi. Dalam lingkungan jam 7.30 pagi sebelum kami bersarapan aku ke tandas dan mendapati ada sedikit darah yang keluar. Ketika itu aku masih lagi kebingungan dan tertanya-tanya darah apakah ini? Takkanlah dah nak bersalin sebab langsung tiada rasa sakit atau "contraction" seperti sewaktu melahirkan Naufal dulu. Lalu aku menelefon Ummi dan Mak menceritakan perihal tersebut. Mereka menasihatkan aku untuk terus ke hospital. Aku masih berat hati untuik pergi kerana memikirkan yang nanti terpaksa duduk lama di hospital memandangkan tiada contraction lagi. 

Semasa kami bersarapan, aku pesan pada Naufal, "harini Naufal kene duduk dengan Ibu Lin (pengasuhnya). Ibu nak pi hospital, baby nak keluar". Dia membalas dengan muka penuh harapan, " Nak duk ngan ayahlah, boleh?". Ayahnya menjawab, " Tak boleh, ayah nak hantar ibu ke hospital". "Alaaaaaa...",rungutnya sambil menunjukkan riak wajah kecewa. Selepas sarapan, aku sempat mengemas rumah, bersihkan bilik air, kemas dapur dan siapkan pakaian Naufal untuk ke rumah pengasuh. Jam 10 pagi, pengasuh Naufal tiba di rumah kami untuk membawa Naufal pergi bersamanya memandangkan dia sekeluarga perlu menghadiri majlis pertunangan anak saudaranya. Ku lihat wajah Naufal sangat sedih dengan mata yang bergenang sambil melambaikan tangan ke arah kami. Aku segera beredar dari kereta tersebut, bimbang dia menangis.

Selesai segala urusan kami bergerak menuju ke Hospital Jasin. Segaja memilih hospital tersebut kerana sangka ku di sana tidak ramai orang dan lengang. Jam 11.30 kami tiba di hospital tersebut. Ya, tepat sangkaan ku. Memang tiada pesakit yang ingin bersalin ketika itu. Jadi segala tumpuan diberikan kepada ku. Aku menjalani prosedur biasa di sana. Tapi masih tiada sebarang contraction dan bukaan. Memandangkan hari Sabtu tiada doktor yang bertugas di situ, mereka mencadangkan aku untuk dirujuk ke Hospital Melaka dengan alasan "bacaan CTG baby tak cantik". Hahahahaha.. Aku pasrah sambil dalam hati kata, "ke Hospital Melaka juga akhirnya." Kakak misi pun sempat berseloroh dengan ku sambil ketawa, "Maaflah, takde rezeki awak nak besalin kat sini. Lain kali la pula ya"..

Ambulance yang membawaku tiba di Hospital Melaka jam 2.30 petang. Selang beberapa minit, suamiku juga tiba di sana. Aku sekali lagi menjalani prosedur yang sama. Jam 3.30 petang, doktor memaklumkan yang bukaan ku hanya 3cm.  "Yalah, saya tak rasa sakit pun lagi doktor", aku cuba meyakinkan doktor yang aku masih ok kerana bimbang di  "induce" atau ceaser. Jam 4.00 petang, doktor membantu memecahkan air ketuban. Katanya kalau air ketuban dah pecah, baby akan mula mencari jalan keluar dan contraction akan berlaku. Ketika itu fikiranku sudah mula diasak dengan berbagai-bagai kemungkinan yang merisaukan memandangkan aku masih tidak merasa sebarang kesakitan. Tapi aku tetap cuba tenangkan diri, berwhatsApp dengan suami ku dan pengasuh Naufal menceritakan kebimbangan ku dan ditenteramkan oleh mereka dengan kata-kata semangat. Dalam hati tidak putus-putus berdoa. Bibirku tidak henti-henti berzikir dan mohon pada Allah agar dipercepatkan urusan bersalin sebab aku tak mahu lagi tunggu lama-lama di katil tersebut.

Akhirnya aku ditolak masuk ke "labour room" pada jam 5 petang. Doktor memeriksa bukaan yang masih lagi 3cm. Setiap setengah jam mereka akan datang memeriksaku samada sudah ada rasa sakit atau belum. Jawapan aku masih sama, tiada rasa sakit. Doktor menenangkan aku, "takpelah, awak rehatlah dulu kat sini, nanti kalau ada rasa sakit panggil ye". Setiap saat yang berlalu terasa begitu panjang. Jam 6 petang aku sudah mula rasa tidak selesa. Perutku sudah mula rasa memulas. Tapi aku biarkan sahaja kerana aku masih mampu menahannya. Sakit-sakit manja gitu. Hehe. Tiba-tiba, pada jam 6.30 petang, aku terasa amat sakit sekali. Sukar nak digambarkan bagaimana rasanya, aku terus menjerit memanggil nurse yang bertugas. Ketika itu mereka sedang bertungkus lumus membantu pesakit dibilik sebelah yang sedang bertarung nyawa untuk melahirkan. Seorang kakak nurse datang kepada ku dan bertanya, "awak ni sakit contraction ke, sakit nak teran?". Aku antara sedar atau tidak menjawab, " Tak taulah,tapisakit sangat ni". Dia minta aku mengambil posisi untuk memeriksa ku dan alangkah terkejutnya dia bila mendapati kepala baby sudah kelihatan. Aku memohonnya untuk panggilkan suami ku. Sambil itu dia membantu ku untuk meneran kerana aku betul-betul tidak dapat menahannya lagi. Jam 6.45 petang, seorang bayi lelaki kecik comel selamat dilahirkan dengan berat 2.2kg. Suami ku yang ketika itu baru tiba di bilik tersebut tergamam melihat bayi yang sedang dipotong tali pusatnya. "Eh, dah keluar dah? Cepatnya, tak sempat nak tengok." katanya yang sangat teruja. Alhamdulillah.. Allah perkenankan doa ku dan segalanya amat lancar sekali. Beberapa minit kemudian, doktor yang tadinya meminta untuk ku berehat datang kembali untuk memeriksa ku dan agak terkejut melihat segalanya telah selesai. Aku membalas, "Alhamdulillah, selamat dah doktor. Kakak ni sorang je uruskan saya tadi" sambil menunjukkan kearah nurse tersebut. Doktor menjawab sambil berseloroh, "eh, bukan die soranglah. Tu ade lagi sorang dalam perutnya". Baru aku tau yang rupanya kakak nurse tu sedang mengandung 5 bulan.

Allahuakhbar, bahagia menyelubungi segenap jiwa ku menghilangkan segala kegelisahan. Walaupun bersalin di Hospital Melaka yang sememangnya sentiasa sibuk dan tak putus-putus menyambut kelahiran, tetapi aku tetap mendapat layanan yang baik dari petugas-petugas di situ dan diberikan wad yang selesa. Segalanya Allah yang tentukan, kita hanya mampu merancang sahaja. Jadi berserahlah bulat-bulat pada Allah, nescaya Allah akan bantu kita. Ternyata pengalam kelahiran kedua ini lebih mudah dan indah. 

SUBHANALLAH.... ALHAMDULILLAH... ALLAHUAKHBAR!!