BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Wednesday, June 9, 2010

Penantian Yang Penuh Dengan Harapan

Bumi Kuantan di basahi hujan yang cukup mendinginkan suasana malam. Kelihatan adik-adik ku sedang nyenyak dibuai lena. Dalam kadar waktu 24 jam sehari, aku mencuri beberapa detik dari waktu itu untuk ku luangkan bersama ruangan kesayangan ku ini. Sungguh, lama benar rasanya aku tidak menjengah ke sini gara-gara kesibukkan yang mula menguasai hidupku sehingga begitu banyak perkara yang ingin dicoretkan berlegar-legar di kotak fikiran lantas membuatkan aku sendiri tidak pasti bagaimana harus aku memulakanya.

Lewat 2 minggu yang lalu, aku menerima sekeping sampul surat yang tertera jelas namaku dari encik 'posman'. Dalam helaian surat tersebut menyatakan bahawa aku berjaya melepasi temuduga pertama yang telah berlansung di kampus ku pada 12 Mei yang lalu dan mempelawaku untuk ke Melaka bagi temuduga kedua. Sungguh, berita yang tidak ku jangka kerana panggilannya terlalu awal dari yang ku duga. Subhanallah, hati ini tidak putus-putus membisikkan kalimah kesyukuran ke hadrat Ilahi. Firman Allah yang bermaksud:

Dan nikmat apapun yang kamu perolehi adalah datangnya dari Allah. (An-Nahl: 53)

Maka, dengan itu pada Isnin yang lepas aku telah bertolak ke Batu Pahat, Johor untuk sama-sama berangkat ke Melaka bersama rakan seperjuangan ku yang juga berjaya dipanggil untuk temuduga berkenaan keesokkan harinya. Setibanya di sana, aku mendapati bahawa kami berdua merupakan orang yang terawal tiba diperkarangan pejabat tersebut. Aku terus dimarakkan dengan semangat yang bagaikan semarak api membakar segenap urat nadi ku. Namun kekecewaan sedikit terpalit apabila aku merupakan orang terakhir yang akan dipanggil masuk ke bilik temuduga mengikut turutan nama. Mujurlah hanya 14 orang sahaja yang terlibat dan kami dikehendaki untuk masuk secara berpasangan ke dalam bilik temuduga berkenaan untuk mempercepatkan tempoh temuduga.

Seawal 7.45am aku menunggu dan akhirnya pada jam 1.45pm giliran aku untuk ditemuduga tiba. Lansung otakku sarat dengan kalimah-kalimah suci memanjatkan doa kepada Maha Pencipta agar aku tenang menghadapi segala apa yang bakal aku tempuhi di hadapan para penemuduga yang seramai 6 orang! Jumlah yang cukup menggerunkan. Dan Alhamdulillah, aku sedikit pun tidak gugup dan gementar menjawab soalan yang diajukan oleh pegawai-pegawai tersebut. Leka aku melontarkan cambahan-cambahan jawapan dan pandangan dari persoalan yang diajukan sehingga tidak sedar yang aku sebenarnya sudah hampir sejam di temuduga oleh mereka. Sungguh, terasa begitu puas dan lega apabila keluar sahaja dari bilik temuduga tersebut dan mahu saja aku untuk terus di situ kerana masih banyak perkara yang ingin aku suarakan dihadapan mereka. Itulah sifatku yang sememangnya suka berhujah walau hujahku tidaklah sehebat mana sehinggakan penemuduga tersebut terpaksa menghentikan aku. (Haha..terasa lucu la pula)

Selangsai sahaja sesi tersebut aku lantas mengambil tiket untuk pulang ke Kuantan dan tiba di halaman rumah ku tepat jam 10.00pm memandangkan aku terpaksa menyambung rutin harianku sebagai cashier pada keesokkan paginya. Penat? Usah ditanya. Tuhan sahajalah yang tahu. Namun segala yang dihadapi cukup bermakna dan semangat yang masih membara membuatkan aku lupa akan ertikata penat. Aku kembali dalam penantian. Penantian keputusan temuduga ini yang bakal merubah masa depanku. Penantian yang sememangnya penuh dengan 1001 pengharapan. Aku sudah cuba sedaya upaya untuk lakukan yang terbaik. Semoga Allah memberkati segala usaha ku ini agar ianya bakal membuahkan hasil yang mampu membanggakan kedua orang tuaku. Sekarang, segalanya aku serahkan pada Allahu Rabbi kerana aku percaya Dia pasti tidak akan mensia-siakan setiap perkara yang diusahakan oleh hambaNya dan aku percaya bahawa Dia akan menetapkan hanya yang terbaik untuk hambaNya kerana sesungguhnya Dia adalah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang lagi Maha Mengetahui.

Teringat akan untaian indah dari Ibnu Qudamah yang berbunyi:

“Ketahuilah bahwa segala yang dicari oleh setiap orang adalah nikmat. Akan tetapi kenikmatan yang hakiki adalah kebahagiaan di akhirat kelak dan segala nikmat selainnya akan lenyap."

Ya Allah, terlalu besarnya nikmat yang engkau telah kurniakan kepadaku sepanjang penghidupan ku ini. Peliharalah hatiku agar ianya sentiasa tahu mensyukuri nikmatmu itu walau sekecil zarah sekalipun kerana sesungguhnya setiap titis nikmatMu itu cukup besar dan mahal nilainya sehingga tidak terhitung dek akal fikiranku. Kecintaanku terhadapMu tidak akan ku biarkan ia layu bahkan akan ku siram dan bajainya dengan ketaatanku terhadapMu sebagai bukti kehambaanku dan kesyukuranku terhadapMu. Terima Kasih Wahai Tuhanku Yang Maha Agung...

“Dan ingatlah ketika Tuhan mu memaklumkan: Jika kamu bersyukur niscaya Kami akan menambah (nikmat Kami) dan jika kamu mengkufurinya sungguh azab-Ku sangat pedih.” (Ibrahim: 7)

0 comments: