Aku melewati ruang tamu dengan tergesa-gesa memandangkan aku diburu masa yang semakin pantas meghambatku untuk ke tempat kerja. “Jangan lupa ambil bekal atas meja ye,” pesan Abah sebelum aku melangkah keluar dari rumah. Setiap pagi Abah akan menyiapkan hidangan yang cukup lazat sebagai bekalan aku. Bagiku Abah adalah seorang bapa yang amat baik dan penyayang terhadap anak-anaknya. Genap 20 tahun lebih Abah begelar bapa, tidak pernah sesaat pun Abah mengabaikan tanggungjawabnya kepada aku dan adik-adik. Teringat suatu ketika dahulu sewaktu aku mula bertatih, Abah sering membawa ku bersiar-siar di sekitar kawasan rumah. Dia tidak pernah jemu melayan kerenah anak sulungnya ini sehinggalah aku mampu bertatih sendiri. Apabila aku sudah mampu berlari, setiap kali dia pulang dari pejabatnya pasti aku akan segera mendapatkannya dan memeluk erat tubuh sasa Abah. Lantas Abah mencium wajah kecilku seolah-olah sudah sekian lama tidak bertemu.
Ketika aku di usia 4 tahun, Abah membelikan aku sebuah basikal yang sangat comel. Setiap petang Abah akan mengajar aku menunggang basikal. Tetapi aku yang terlalu sayangkan basikal tersebut enggan menunggangnya dan hanya menuntun basikal tersebut. Pernah juga Abah memarahi aku. Katanya, “Abah beli basikal tu untuk dikayuh, bukan untuk ditolak.” Sungguh geli hati bila teringatkan kenangan tersebut. Namun akhirnya aku berjaya juga mengayuh basikal tersebut sehingga entah kemana-mana aku merayau bersama teman-teman ku yang lain.
Aku merupakan seorang kanak-kanak yang sangat manja dan penakut. Setiap malam aku akan tidur sambil memeluk Abah sehinggalah usiaku mencecah 8 tahun! Sesekali pernah Abah meninggalkan Umi dan aku kerana terpaksa menghadiri kursus yang jauh dari rumah kami dan sepanjang malam tersebut aku tidak henti-henti memanggil Abah sehingga Umi terpaksa memujukku dan mendodoikan aku hinggalah aku terlena.
Abah tidak pernah jemu membanting tulang untuk mencari rezeki yang halal bagi membesarkan aku dan 6 orang adik-adikku yang lain. Aku faham benar akan penat lelahnya. Namun tidak pernah sekalipun Abah merungut bahkan Abah semakin hari semakin bekerja keras sehingga mampu memberikan kami segala yang kami mahukan. Aku besyukur kepada Allah kerana mengurniakan Abah pekerjaan yang baik dan melimpahkan rezeki yang tidak terhitung banyaknya kepada kami. Walaupun kehidupan kami tidaklah semewah mana namun keberkatan itulah yang membuatkan kami berasa cukup dan gembira dengan kehidupan kami.
Aku sedar tugas Abah sebagai ketua keluarga bukanlah suatu tugas yang mudah kerana perkara penting untuk melahirkan keluarga bahagia terletak kepada kepimpinannya. Perkara itu meliputi keupayaan mendidik, menjaga keselamatan, memberi kasih sayang, menyara perbelanjaan dan mempertahankan maruah. Banyak pengorbanan yang Abah telah lakukan demi melaksanakannya. Sebenarnya memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT adalah satu jihad bagi seorang bapa untuk mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT. Setiap masa yang diluangkan untuk mendidik dan bermesra dengan anak-anak juga adalah sebahagian daripada jihad. Apa yang dilakukan tidak sia-sia. Setiap tenaga yang dicurahkan dan wang yang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah. Balasan pahala yang disediakan amat besar. Bapa mithali mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Abah, ketahuilah sesungguhnya Abah telah menyempurnakan kehidupan kami sekeluarga dengan sebaik-baiknya berbekalkan titik peluh Abah sendiri. Abah telah memberikan aku pendidikan yang baik sehingga aku berjaya di menara gading, sehingga aku mampu menjadi insan yang berguna dan mempunyai masa depan. Aku tidak mampu untuk membalas jasa Abah. Namun aku amat berharap suatu hari nanti aku dapat menggembirakan Abah dengan kejayaan ku dan aku amat berharap aku mampu membawa Abah dan Umi untuk menunaikan Haji di Tanah Suci dengan hasil pendapatan ku kelak. InsyaAllah…. Selamat Hari Bapa, Abah! Saaaaayang Abah…
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).