BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Sunday, August 29, 2010

Penghijrahanku

Walaupun hanya buat seketika waktu aku berpuasa bersama keluarga tercinta, namun aku tetap bersyukur kerana aku masih dapat merasai saat-saat indah tersebut. Pada 15 Ogos yang lalu aku telah meninggalkan bumi Pahang, tempat aku dibesarkan kerana aku telah dipanggil untuk memulakan perkhidmatan di Bandaraya Melaka Bersejarah. Inilah penghijrahan yang paling berat bagiku kerana aku bakal menetap di Melaka untuk tempoh masa yang agak panjang. Mungkin 10 tahun atau lebih dari itu. Apapun aku amat bersyukur dengan apa yang telah direncanakan oleh Allah.

Pertama kalinya aku berhijrah di sini, aku dirundum berbagai-bagai persoalan dan kebimbangan kerana aku tidak mempunyai sesiapa pun di sini termasuklah kawan-kawan dan kenalan. Segalanya terlalu asing buat ku. Namun Maha Suci Allah, segala puji bagiNya kerana telah menemukan aku dengan insan-insan yang baik di sini yang telah menguruskan tempat tinggal ku dan sebagainya. Sungguh indah aturan Maha Pencipta. Alhamdulillah, Dia telah mempertemukan aku dengan seorang 'housemate' yang baik dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikanku. Apa yang lebih penting dia seorang yang mementingkan soal agama dan menjaga solatnya. Inilah yang sering ku pohon dari Tuhanku Yang Satu sebelum aku tiba di sini, agar aku sentiasa dipertemukan dengan insan-insan yang baik dan meletakkan Allah dalam setiap aspek kehidupannya. Terima kasih, Ya Allah atas kurniaanMu yang cukup berharga ini kerana dalam keadaan dunia yang penuh dengan pancaroba ini, amat sukar untuk mencari teman yang baik mengutamakan soal agama lebih-lebih lagi dalam kelompok masyarakat yang tidak kita kenali dan asing bagi kita.

Hari ini adalah hari ke-14 aku menetap di sini. Alhamdulillah, aku mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini dan segalanya berjalan dengan baik sekali sama ada dari aspek kehidupan mahupun aspek kerjaya. Bercakap soal kerjaya, aku selesa dengan jawatan yang ku sandang sekarang meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah masyarakat Melaka yang terkenal dengan sikap kasar mereka. Namun bagi aku, itu adalah satu cabaran untuk aku menjadi seorang insan yang lebih tabah dan bijak dalam menangani masalah-masalah yang mendatang. Alhamdulillah, aku juga dikurniakan rakan-rakan sejawat yang begitu baik dengan ku dan menghormatiku meskipun aku adalah yang paling muda di kalangan mereka. Pengarah Jabatan yang merupakan bos kepada aku juga tersangatlah baik dan wajahnya yang sentiasa murah dengan senyuman membuatkan hati terasa sejuk dan tenang. Tidak seperti sebelum ini, bos aku ketika aku dalam latihan praktikal di Perak yang bersikap sombong dan memandang rendah kepada pegawai-pegawainya. Ketika hari pertama aku bersemuka dengannya, dia sempat memberikan aku sedikit pesanan yang sememangnya tidakan ku lupa sampai bila-bila, "Kerja baik-baik. Ingat, walau sesibuk mana pun bekerja jangan sesekali abaikan tanggungjawab pada Allah. Nanti bila dah hidup senang jangan sesekali lupakan ibubapa sampaikan bagi alasan sibuk dan tak boleh nak balik kampung jenguk mereka."

Baru sahaja beberapa hari yang lepas aku telah menerima gaji pertama ku di sini. Inilah pertama kalinya aku menerima wang sebanyak ini hasil titik peluhku sendiri. Alhamdulillah, rezeki bulan Ramadhan, rezeki Umi dan Abah, rezeki adik-adik. Dapatlah mereka merasa duit raya pertama dari kakak sulung mereka pada Aidilfitri tahun ini (^_^). Apapun aku berharap agar rezeki yang ku cari dan yang ku perolehi ini diberkati dan diredhai Allah agar ianya dapat menjadi sesuatu yang berguna untuk akhiratku kelak. Amin Ya Rabbala'laamin....

Saturday, August 28, 2010

Ramadhan Bersama Yang Tersayang

Genap satu purnama aku meninggalkan ruangan ini dan kini barulah aku berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa melampiaskan kerinduan yang telah sekian lama ku pendam. Rindu untuk mengukirkan lakaran-lakaran kehidupan yang sememangnya bakal membuahkan 1001 kenangan.

Dalam perkiraan masa sebulan, terlalu banyak perkara yang telah berlaku termasuklah kehadiran bulan yang memang sudah lama ku nantikan dengan penuh keterujaan kerana aku berkesempatan untuk menyambut kehadirannya dengan seisi keluarga ku yang tercinta. Hampir 3 tahun aku menuggu peluang ini. Alhamdulillah, aku sempat menikmati keberkatannya bersama Umi, Abah dan adik-adik ku walaupun hanya untuk seketika. Telatah adik-adikku berpuasa benar-benar mencuit hatiku. Umi pula akan menyediakan masakan yang enak-enak untuk keluarganya sambil dibantu oleh Abah. Air tangan Umi itulah yang membuatkan kecintaanku padanya semakin mendalam. Apabila tiba waktu Isya' kami akan bersama-sama ke surau yang letaknya hanya beberapa langkah dari rumah kami untuk sama-sama mengimarahkan bulan Ramadhan. Perkara yang paling sukar untuk aku lupakan ialah apabila melihat gelagat si kecil Amir, adik bongsuku yang kini berusia 5 tahun. Dialah orang yang paling tidak sabar untuk ke surau dan dia akan menunaikan solat Tarawih sehinggalah ke solat Witir tanpa meninggalkan satu rakaat pun kerana ingin menikmati juadah moreh. Memang dia teramat gemarkan kuih karipap. Setiap kali selesai berjemaah, dialah orang yang pertama duduk bersila menghadap juadah-juadah yang disediakan terutamanya karipap. Jika pada hari tersebut tiada kuih kegemarannya dia akan kecewa dan berkata sambil membuat memek muka yang selamba, "Hari ni tak ada karipap pun." Sungguh, aku teramat sayangkan mereka semua.

Ya Allah, peliharalah mereka dan semaikanlah dalam hati adik-adikku rasa cinta terhadapMu dan agamaMu agar mereka sentiasa berada dalam rahmat dan keberkatanMu.