BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Saturday, August 28, 2010

Ramadhan Bersama Yang Tersayang

Genap satu purnama aku meninggalkan ruangan ini dan kini barulah aku berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa melampiaskan kerinduan yang telah sekian lama ku pendam. Rindu untuk mengukirkan lakaran-lakaran kehidupan yang sememangnya bakal membuahkan 1001 kenangan.

Dalam perkiraan masa sebulan, terlalu banyak perkara yang telah berlaku termasuklah kehadiran bulan yang memang sudah lama ku nantikan dengan penuh keterujaan kerana aku berkesempatan untuk menyambut kehadirannya dengan seisi keluarga ku yang tercinta. Hampir 3 tahun aku menuggu peluang ini. Alhamdulillah, aku sempat menikmati keberkatannya bersama Umi, Abah dan adik-adik ku walaupun hanya untuk seketika. Telatah adik-adikku berpuasa benar-benar mencuit hatiku. Umi pula akan menyediakan masakan yang enak-enak untuk keluarganya sambil dibantu oleh Abah. Air tangan Umi itulah yang membuatkan kecintaanku padanya semakin mendalam. Apabila tiba waktu Isya' kami akan bersama-sama ke surau yang letaknya hanya beberapa langkah dari rumah kami untuk sama-sama mengimarahkan bulan Ramadhan. Perkara yang paling sukar untuk aku lupakan ialah apabila melihat gelagat si kecil Amir, adik bongsuku yang kini berusia 5 tahun. Dialah orang yang paling tidak sabar untuk ke surau dan dia akan menunaikan solat Tarawih sehinggalah ke solat Witir tanpa meninggalkan satu rakaat pun kerana ingin menikmati juadah moreh. Memang dia teramat gemarkan kuih karipap. Setiap kali selesai berjemaah, dialah orang yang pertama duduk bersila menghadap juadah-juadah yang disediakan terutamanya karipap. Jika pada hari tersebut tiada kuih kegemarannya dia akan kecewa dan berkata sambil membuat memek muka yang selamba, "Hari ni tak ada karipap pun." Sungguh, aku teramat sayangkan mereka semua.

Ya Allah, peliharalah mereka dan semaikanlah dalam hati adik-adikku rasa cinta terhadapMu dan agamaMu agar mereka sentiasa berada dalam rahmat dan keberkatanMu.

0 comments: