Garis-garis hari yang telah diukirkan oleh titik-titik waktu semakin jelas kelihatan sehingga garisan itu membentuk sebuah lukisan kehidupan. Kelmarin semakin jauh meninggalkan kita walau terasa bagai baru semalam kita melintasinya. Selang beberapa hari lagi 2010 bakal meninggalkan kita dan bermulalah sebuah lembaran baru. Begitu banyak suka duka, pahit manis dan perit jerih yang telah di lalui sepanjang tahun ini. Segalanya sempat ku coretkan dalam ruangan ini. Mengimbas kembali garisan hari yang telah dilakarkan sepanjang penghidupan dalam lukisan kehidupan 2010 membawaku untuk kembali menyelami segala perkara yang telah berlaku. Alhamdulillah, banyak kejayaan yang telah ku raih pada tahun ini dan banyak juga perubahan yang telah ku lakukan sama ada dalam sedar mahupun tidak yang telah membawa ku kepada sebuah dimensi baru yang lebih positif.
Perubahan
Bukan mudah untuk merencanakan sebuah perubahan. Lebih-lebih lagi bila ianya melibatkan hati, perasaan, sikap dan tindak tanduk. Inilah peringkat yang paling sukar bagi ku. Aku perlahan-lahan cuba untuk berubah dari yang buruk kepada yang baik. Sungguh, Dia sajalah yang tahu betapa sukarnya untuk berubah lebih-lebih lagi bila perkara tersebut sudah sebati dengan kehidupan kita. Namun Alhamdulillah tahun ini merakamkan sebuah kejayaan yang agak membanggakan diriku kerana aku berjaya melakukannya. Apakah perubahan hati, perasaan, sikap dan tindak tanduk tersebut? Biarlah rahsia.... Yang pastinya perubahan yang paling besar dan nyata dalam hidupku adalah menjadi seorang yang lebih matang dalam hidup dan kerjayanya serta lebih serius dalam mengatur strategi kehidupan. Kini tumpuan ku hanya dua iaitu Tuhan ku dan keluarga ku. Jadi setiap apa yang ku lakukan tidak lain tidak bukan adalah semata-mata untuk keluargaku dan agamaku.
Pengorbanan
Aku akui, setiap perubahan yang dilakukan perlukan pengorbanan. Sungguh, terlalu banyak yang ku korbankan dalam episod kehidupan kali ini sehingga terasa benar akan kehilangan sesuatu yang sedia ada dan kewujudan sesuatu yang belum pernah ada. Ku korbankan jiwa remaja ku yang tidak pernah puas melayani dunia keseronokan. Aku korbankan kawan-kawan lelaki ku yang sebelum ini begitu rapat denganku demi mencari kekuatan dalam diriku kerana sudah terlalu lama aku bergantung kepada mereka dan dimanjakan dengan kata-kata harapan dan puji-pujian mereka sehingga aku sendiri terasa lemah tanpa mereka. Ku korbankan juga perasaan kasih dan sayangku pada insan yang sudah hampir 7 tahun bertahta di hatiku demi membebaskan diri dari cengkaman rindu yang sering melalaikan aku sehingga fikiranku melayang nun di puncak kayangan sana. Walau banyak jiwa-jiwa yang terkorban semata-mata untuk menjayakan rakaman episod kali ini, namun sedikitpun tidak ku sesali kerana semuanya adalah demi kebaikan. Kebaikan aku dan juga mereka. Kehilangan mengajar aku erti kesabaran. Sabar menghadapi perubahan yang sememanya menguji ketahanan mental dan emosi. Namun yang hilang itu tidak semestinya akan terus hilang kerana pasti ada yang lebih baik darinya yang bakal menyusul. Dan ingatlah tiada suatu apapun yang kekal dalam hidup ini melainkan Dia, Allah Yang Satu. Let begone, by begone.
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesugguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" (Al-Insyirah:Ayat 5-6)
Kejayaan
Allah tidak akan mensia-siakan setiap apa yang telah diusahakan oleh hambaNya. Terasa begitu senang sekali untuk menceritakan tentang limpahan nikmat yang telah Allah kurniakan kepadaku kerana bagiku tahun 2010 ini benar-benar dipenuhi dengan cahaya kerahmatan dariNya.
"Dan aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dariku, dan supaya kamu di asuh di bawah pengawasanku." (Surah Thaha: Ayat 39)
Aku berjaya menamatkan pengajianku dengan cemerlangnya setelah berbagai-bagai onak dan duri ku lalui dan Alhamdulillah aku telah menggembirakan Umi dan Abah. Sekali lagi mereka tersenyum gembira apabila aku berjaya diterima bekerja dengan jawatan yang aku ingini selama ini. Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan kepada ku untuk menggembirakan hati mereka dan salah satu impian ku untuk menghadiahkan mereka sebuah kereta juga berjaya direalisasikan. Segalanya berlaku begitu pantas dan aku bagaikan terkesima dengan segala yang berlaku di hadapan ku kini. Benarlah akan firman Allah dalam Surah Yassin Ayat ke-82 yang bermaksud:
"Sesungguhnya perintahNya apabila dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, 'Jadilah!' maka terjadilah ia."
Perancangan
Namun segalanya bukanlah kesudahan bagi kisah perjalanan hidupku malahan menjadi titik permulaan untuk melakar sebuah lagi epilog baru dalam agenda 2011 yang mendatang. Bila ditanya tentang azam tahun baru, akulah orang yang tidak pernah berjaya memberikan jawapan kerana aku tidak pernah mempunyai azam tahun baru. Apa yang aku ada hanyalah perancangan kerana dengan perancangan aku dapat melihat dengan jelas apa matlamat dan sasaranku. Bagiku azam itu hanyalah sekadar cakap-cakap kosong untuk menyedapkan hati dan merasai ketibaan tahun baru. Kemudian tidak sampai dua tiga hari ianya lesap diheret putaran jarum masa yang kencang merentasi orbit waktu.
Ku sambut kehadiran 2011 dengan penuh berlapang dada dan fikiran yang sarat dengan berbagai-bagai misi dan visi. Ku tinggalkan 2010 dengan senyuman sebagai tanda tiada sesalan yang mengiringi pemergiannya. Walhamdulillahirabbila'lamin.....
0 comments:
Post a Comment