BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Thursday, January 27, 2011

Aku Rindu Kamu!

Suasana di pejabat agak tenang ketika itu. Orang ramai juga telah beransur-ansur meninggalkan kaunter Jabatan Pelesenan. Kelihatan masing-masing sudah mula bersiap-siap untuk pulang memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Seperti biasa, 5 minit sebelum habis waktu bekerja aku sudah terpacak dihadapan pintu pejabatku. Punyalah tidak sabar untuk pulang. Itulah tabiat buruk ku yang tidak pernah hilang sejak aku dibangku sekolah rendah lagi.

Sementara menunggu waktu untuk pulang sebentar tadi aku sempat membuka album-album gambar yang tersimpan dalam 'external hard disk' yang sentiasa ku bawa ke mana sahaja. Menggamit kembali memori sewaktu zaman kuliyah di universiti dahulu membuatkan hati cukup tersentuh. Walaupun baru 8 bulan aku meninggalkannya namun sayu benar rasanya. Seolah-olah aku dapat merasakan sebuah kehilangan yang cukup besar. Aku amat rindukan dunia seorang pelajar, kehidupan seorang pelajar yang sememangnya penuh dengan suka dan duka. Segalanya dikongsi bersama teman-teman seperjuanganku yang setia menemaniku.

Ku tatapi gambar-gambarku bersama sahabat-sahabat yang kini membawa haluan masing-masing. Ada diantara mereka yang masih meneruskan perjuangan mereka untuk mendapatkan segulung ijazah dan ada juga yang sehaluan dengan ku, melangkah ke dunia pekerjaan. Terukir seribu senyumanku dalam setiap lakaran gambar tersebut. Senyuman yang tidak lagi singgah diwajahku. Senyuman seorang gadis yang ceria dan nakal disisi teman-temannya. Sungguh, aku rindukan senyuman itu! Aku rindu untuk bergelak tawa seperti itu. Aku rindu untuk menyakat mereka. Aku rindu untuk membebel dan berceramah ke pada mereka. Aku rindu untuk menangis disisi mereka. Aku rindu untuk mendengar rengetan mereka tatkala diusik oleh ku. Aku rindu mendengar ejekan nakal mereka. Aku rindu mendengar ungkapan kata-kata semangat dan nasihat dari merka. Oh Tuhan, saat ini aku menitiskan air mata kerana mereka. Aku sangat rindukan mereka.

Tenyata segalanya kini hanya terlakar di dalam pancaran monitorku. Kaku, pegun dan utuh tanpa sedikit pun pergerakan. Ingin sekali ku genggam erat tangan mereka kerana aku ingin mereka kekal di sampingku. Agar aku akan terus mengukirkan sejambak senyuman mekar ku saat segalanya terasa begitu indah dan mengalirkan sederas-derasnya air mataku saat diri terasa begitu berat menghadapi kehidupan ini. Agar aku bisa merakamkan lebih banyak episod kenangan bersama mereka. Mungkin inilah yang dinamakan erti sebuah persahabatan, erti sebuah ukhwah. Ya, memang hebat penangan sebuah persahabatan itu. Sesungguhnya mereka tiada pengganti. Namun sudah menjadi lumrah alam, setiap yang bertemu pasti akan berpisah dan setiap yang hidup pasti akan mati.

HIDUP TANPA CINTA, BAGAI TAMAN TAK BERBUNGA..
HIDUP TANPA KASIH, BAGAI RUMAH TAK BERPENGHUNI..
HIDUP TANPA SAYANG, BAGAI HATI TELAH MATI..
HIDUP TANPA PERSAHABATAN, BAGAI HIDUP KESEORANGAN...

Mungkin ingatan mereka terhadapku bakal hilang dimamah usia, namun ingatanku terhadap mereka akan tetap segar selagi neuron-neuron otakku masih berhubung. Walaupun kita kini tidak lagi di medan yang sama, namun doaku sentiasa mengiringi kalian. Semoga Allah sentiasa memelihara dan melindungi kita semua dengan lembayung rahmat dan kasih sayangNya.....


Pendambar Husnul Khatimah,

Monday, January 17, 2011

Menuju Ke Negeri Abadi: Perjalanan Orang Yang Bahagia

Alangkah indahnya saat-saat kebahagiaan di ambang sakaratul maut menjemput. Di saat-saat seseorang mukmin itu merasakan bahawa ia akan ditemukan dengan Tuhannya, dengan negeri dan kenikmatan yang berkekalan.

Sesugguhnya berjayalah orang-orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan beramal soleh), dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang dengan kusyuk.”(Surah Al-A'la: Ayat 14-15)


Sebelum itu seorang mukmin memuliakan Kitab Allah yang dibacanya. Sekarang ia pergi menuju kepada Allah, melihatNya dan mendengar kalamNya. Dahulu ia mengasihi Rasulullah. Sekarang ia diiringi oleh para malaikat menuju ke syurga lalu ditempatkan bersama Rasulullah dan dapat berbual mesra dengannya. Sesungguhnya kegirangan pertemuan dengan malaikat yang mulia dan mendapat berita kegembiraan ketika menghadapi kematian itu tidak dapat ditandingi oleh kegembiraan sewaktu di dunia dan juga akhirat.Mereka menyeru roh seorang kekasih Allah itu agar roh tersebut keluar menuju kepada mereka. Apabila roh ini keluar ia akan disambut oleh utusan Allah tersebut lalu diletakkan di dalam kain kafan daripada syurga. Ia akan dilumur dengan wangian daripada syurga.

Seterusnya ia akan dibawa oeh utusan ini naik ke langit. Setiapkali utusan ini melalui kumpulan para malaikat mereka akan memberitahu kepada kumpulan tersebut bahawa mereka sedang membawa roh yang baik dan diredhai Allah. Lalu para malaikat ini akan mengucapkan salam sejahtera kepada roh tersebut. Kemudian utusan ini meminta izin untuk melalui langit pertama, maka mereka izinkan. Kemudian seterusnya begitulah dilakukan di langit kedua, ketiga hinggalah ke langit yang ketujuh. Di sana roh tersebut akan mendengar seruan panggilan daripada Allah menyatakan bahawa Allah telah meredhainya dan memerintahkan agar ia ditempatkan di dalam syurga. Maka kegirangan roh ini semakin bertambah. Kemudian roh ini akan dibawa turun oleh malaikat kembali ke dunia, roh ini akan menyatakan berita kegembiraan itu kepada jasad dan mengucapkan tahniah kepadanya.

Apabila jasad itu diusung di dalam kerandanya rohnya akan berada di atasnya melaungkan, “Segeralah membawaku! Segeralah membawaku!”. Apabila selesai dikambus mayat tersebut di dalam kuburnya maka datanglah kepadanya dua orang malaikat lalu menyoalnya. Di ketika itu rohnya telah kembali semula ke jasadnya. Kedua-dua malaikat itu bertanya, “Siapa tuhanmu?” Lalu ia menjawab, “Tuhanku ialah Allah.” Ini adalah kerana ia sentiasa bersamaNya di waktu hidupnya, mencintaiNya, takut terhadap kemurkaanNya dan menghambakan diri kepadaNya. “Siapakah nabimu?” Maka ia menjawab dengan lapang dada dan redha, “Dia ialah Muhammad SAW.” Ini adalah kerana di waktu hidupnya ia mengikuti sunnahnya dan menuruti jalannya. “Apakah agama kamu?” Maka ia menjawab dengan penuh keyakinanterhadap dirinya, “Agamaku ialah Islam.” Ini adalah kerana ia tidak redha agama-agama atau undang-undang atau jalan kehidupan lain selain Islam.

Seterusnya kedua-dua malaikat tersebut menunjukkan kepadanya sebahagian nikmat daripada nikmat yang telah disediakan Allah untuknya. Kuburnya dipenuhi dengan cahaya dan diluaskan sehingga menjadi seluas tujuh puluh hasta kali tujuh puluh. Kemudian rohnya akan dibawa untuk mengetahui tempatnya di dalam syurga. Ia boleh pergi ke sana, bersuka-suka dan kembali semula ke kuburnya. Dari kubur ia boleh pergi ke tempat itu dengan menikmati kebebasan hidup sebenar, tidak ada batasan dan tidak ada halangan. Malahan ia boleh datang kepada ahli keluarganya untuk mengetahui tentang berita dan keadaan mereka tanpa mereka sedari. Berterusan roh ini tidak merasakan peredaran zaman sepertimana penduduk dunia merasainya. Sehinggakan walaupun tempoh masa di dalam kubur itu terlalu panjang (sebelum kiamat menjelang), namun ia tidaklah dirasai oleh roh yang bahagia ini melebihi daripada jangkamasa waktu solat Zohor atau Asar.

Sewaktu di tiup sangkakala pertama seluruh alam musnah. Semua yang ada di langit dan di bumi mati kecuali sesiapa yang dikehendaki oleh Allah tidak mati. Maka roh adalah antara mereka yang dikehendaki oleh Allah tidak akan mati kerana sebelum itu ia telah pun merasai kematian dengan berlakunya perpisahan daripada badan. Apabila ditiup sangkakala kedua maka sekalian roh ini akan keluar dengan keizinan allah dan pergi kepada jasadnya. Ia akan mendapati jasadnya itu telahpun dikembalikan oleh Allah sama sepertimana di waktu ia terpisah daripadanya (ketika berlaku kiematian). Roh-roh ini akan masuk ke dalam jasadnya dan bermulalah masanya sekalian manusia berdiri di hadapan Allah bagi menerima hukuman. Inilah dia kebangkitan semula manusia yang terbesar.

Maka di ketika ini orang-orang yang beriman akan mendapati diri mereka berada dalam keadaan yang merehatkan dan mendapat rahmat daripada Allah. Terdapat di sana malaikat yang akan memandu mereka ke tanah yang bukan lagi tanah dunia di bawah langit yang bukan langit dunia. Di belakang mereka pula adalah para malaikat Allah yang menjadi pengiring. Setelah sampai ke Padang Masyar mereka mendapati keadaan di sana terlalu gelap gelita dan suasana yang cukup menakutkan. Alam yang tidak pernah tergambar bagi mereka. Matahari akan menjadi rendah dan hampir kepada kepala segala makhluk. Maka kepala mereka akan menggelegak disebabkan panasnya matahari. Manusia terlalu sesak dan peluh mereka mengalir ke bumi umpama sungai.

Inilah dia perjalanan yang sangat indah, sempurna dan bahagia bagi mereka yang beriman. Perjalanan yang bermula dengan kematian dan berakhir dengan kehidupan yang kekal di dalam syurga. Di sana setiap mukmin dapat mencapai segala apa yang mereka ingin dan angankan. Malahan mereka akan mendapat lebih tinggi daripada apa yang mereka inginkan. Semoga kita akan memperoleh perjalanan yang bahagia dalam menuju ke negeri yang abadi. Wallahua'lam...


Petikan Dari Buku: Menuju ke Negeri Abadi