BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Sunday, May 1, 2011

Cita-Cita Sentiasa Di Hati Bersama Cinta Sejati

Hujung minggu yang cukup menenangkan lagi bahagia bersama keluarga tercinta. Jarang sekali saat-saat begini aku perolehi. Sambil melayan telatah adik-adik kecil ku, aku bersantai sambil membelek-belek dada akhbar Mingguan Malaysia. Tertarik dengan iklan-iklan IPTA yang begitu menerujakan aku kerana memang menjadi 'habit' ku suka mengambil tahu akan perkembangan-perkembangan semasa berkaitan IPTA walaupun aku bukan lagi seorang pelajar IPT (bekas pelajar dan bakal pelajar..hehe)

"Apa yang cukup menarik perhatianku adalah berkaitan Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) yang ditawarkan oleh Universiti Sains Malaysia. Sebelum ini semua program pengajian yang ditawarkan oleh IPTA lain adalah tidak memuaskan aku dari segi kursus pengajian yang ditawarkan, kadar yuran dan sebagainya. Tetapi berbeza dengan USM kerana menawarkan kursus yang bertepatan dengan kehendakku iaitu "Bachelor Of Social Science (Honours) Anthropology and Sociology" yang sememangnya kursus yang telah lama aku impikan dan yang penting kos pengajiannya tidak terlalu tinggi. Walaupun bidang pengajian ini jauh menyimpang dari bidang diploma yang telah ku miliki, namun inilah sebenarnya bidang yang telah sekian lama aku impikan.

Sebenarnya sejak dibangku sekolah rendah lagi aku menanam cita-cita untuk menjadi seorang Psikiatrik kerana minat ku yang cukup mendalam mengenai ilmu-ilmu berkaitan psikologi manusia tidak kira dari segi sifat, tingkah laku, cara pemikiran dan bagaimana untuk mentafsirkan diri seseorang manusia.
Entah dari mana timbulnya perasaan dan minat tersebut. Mungkin inilah dia tiupan ilham dari Ilahi yang sememangnya Maha Berkuasa atas setiap kejadian. Sejak itu, aku sering menjadikan
Dr. Mariani Md Nor salah seorang pensyarah di UM dan juga Psikiatrik yang sebagai idola ku dan kebanggaanku. Selain itu juga aku cukup meminati Dato' Dr. Fazilah Kamsah, seorang motivator yang cukup aku kagumi. Mungkin aku tidak mampu sehebat mereka namun aku sangat berharap agar dapat berkecimpung dalam bidang yang sama seperti mereka.

Pada mulanya selepas sahaja tamat SPM, aku merasakan yang peluang untuk aku menyambung pengajianku dalam bidang tersebut sangat tipis memandangkan kebanyakan kursus yang ditawarkan adalah kursus Ijazah Sarjana Muda. Mana mungkin dari SPM terus melangkau ke Ijazah dan untuk itu aku haruslah memasuki Kolej Matrikulasi bagi melayakkan diri ke peringkat Ijazah. Namun, entah mengapa hatiku cukup tawar untuk ke Kolej tersebut dan langsung tidak ku hantar permohonan untuk memasuki Kolej Matrikulasi yang sememangnya menimbulkan bantahan dan kemarahan keluargaku (kecuali Ummi dan Abah sebab mereka yakin pilihan aku itu adalah yang terbaik untuk diriku). Segala kritikan mereka ku anggap sekadar bebelan kosong. Sesungguhnya mereka tidak tahu apa sebenarnya matlamatku.

Selang beberapa ketika, berbekalkan keputusan SPM ku, aku ditawarkan untuk menyambung pengajian ku di peringkat Diploma di salah sebuah IPTA dalam bidang sains. Aku sendiri tidak memahami bidang apa sebenarnya yang sedang ku pelajari itu. Namun gerak geri Allah yang terhembus ke dalam kalbu ku telah membawaku ke situ dan akhirnya aku berjaya mendapat pekerjaan dengan Diploma tersebut. Namun, cita-cita ku sedikitpun tidak pernah terlebur. Jauh di sudut hatiku aku masih mengharapkannya tetapi aku tidak nampak jalannya. Begitu sukar dan rumit rasanya untuk ku menyambung pengajianku kerana aku sendiri tidak tahu bidang apakah yang aku perlu ku pilih selain dari bidang pengajian ku yang sedia ada. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa kepada Allah kerana sesungguhnya doa itu adalah senjata ku. Setiap hari aku titipkan doa agar Allah sinari hati ku dengan cahaya petunjukNya sebagai mana Dia telah menyinari dunia ini dengan cahaya mentari yang berpanjangan agar ku temui jalannya dan jawapannya bagi persoalan yang sering bersarang di fikiran ku. Agar Allah tunjukkan aku bidang apa sebenarnya yang terbaik untukku.

Dan kini, sedikit demi sedikit ku lihat jalannya terbentang dan kebanyakan jalannya mendorongku ke arah bidang yang suatu ketika dahulu menjadi impian indahku. Tidak aku sangkakan sama sekali yang aku berjaya juga melayakkan diri untuk menyambung pengajianku dalam bidang tersebut. Hanya tinggal kekuatan dan keazaman yang tinggi diperlukan untuk memulakan langkah di jalan tersebut. InsyAllah, aku akan memulakan langkah ku sebaik sahaja aku benar-benar telah bersedia untuk kembali bergelar seorang pelajar pada tahun hadapan disamping menjadi seorang penjawat awam yang sememangnya menjadi sumber rezeki untuk aku membiayai kos pengajian tersebut. Semoga Allah memberkati dan mempermudahkan segala urusanku. Terima kasih Ya Allah kerana telah menunujukkan jalan kepada ku dan sering mendengar suara hatiku dan selalu disisi ku saat aku memerlukan Mu. Engkau benar-benar cinta sejatiku....... Moga diriku dan hatiku sentiasa dekat dengan Mu walau dalam senang mahu pun dalam keadaan payah hingga ke hujung hayat ku.

0 comments: