BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Monday, June 20, 2011

Manisnya Tahajjud

Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, di sisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.

Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya. Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Al Fudhail bin Iyadh, "Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!" Abu Sulaiman pula berkata, "Jikalau tidaklah kerana malam nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini."

Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.

Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya.

Sabda Rasulullah bermaksud:
"Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka."
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud:

"Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur."

Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggal keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hamba-Nya yang menghidupkan malam.
Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas."

Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa."


Sumber: iLuvislam

Sunday, June 19, 2011

Coretan Buat Abah

Masa kecil abah memang manjakan aku berbanding Umi kerana Umi sangat garang dan tegas (masa dulu-dulu jela.. sekarang umi dah tak garang bahkan jadi kawan yang paling baik dalam hidup aku..hehe). Ke mana sahaja kami (Umi, Abah dan aku) pergi pasti abah yang akan melayan kerenah ku dan mendukungku. Boleh di katakan 24 jam aku berada dalam pangkuan abah termasuklah ketika tidur. Tengok sahajalah gambar ni, asyik-asyik aku dipangku olehnya. Maklum sajalah, anak sulung. Pengalaman pertama bagi abah menjadi seorang bapa. Apapun abah memang baik dan sangat hebat!

Hurm... Bagi pandanganku, setiap hari adalah hari untuk mengingati jasa dan pengorbanan seorang insan yang bergelar bapa. Kehadiran bulan Jun sebagai hari memperingati bapa hanyalah satu simbolik bagi mengingatkan kepada mereka yang mungkin terlalu sibuk dan asyik dengan tugas-tugas seharian sehingga terlupa untuk merenung sejenak ke dalam diri sejauh manakah kita telah menghargai bapa kita dan apakah yang kita telah lakukan sepanjang penghidupan kita ini untuk menggembirakan mereka, untuk membuatkan mereka rasa dihargai.

Aku bukanlah seorang anak yang baik. Tidak pernah sekalipun terungkap dari bibir di hadapannya ucapan "Terima kasih, Abah!" untuk segala yang pernah dia lakukan untuk aku dari aku kecil hinggalah saat ini. Teringin sekali rasanya bertentang mata dengannya sambil mengucapkan, "Terima Kasih Abah, Kak Yong Sayangkan Abah" kerana selama ini ianya hanya terzahir melalui telefon dan di atas sekeping kertas. Sungguh, sukar benar rasanya. Tiba-tiba terngiang-ngiang pula lagu Lafaz Yang Tersimpan yang di dendangkan oleh kumpulan UNIC.

Selamat Hari Bapa teristimewa buat Abahku, Wan Mahamad Bin Wan Salleh.

Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya
Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia mencari gantimu
Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah
Cuma ungkapan kebisuan
Yang melindungkan kalimah rahsia
Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu
Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia
Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata
Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan....

Friday, June 17, 2011

Wahai Sahabat, Allah Menyayangimu

Kelihatan masing-masing bergegas meninggalkan ruang pejabat untuk makan tengah hari. Ada di antaranya yang bersiap-siap untuk melelapkan diri seketika di meja masing-masing. Aku pula hanya duduk mengadap pc menjengah-jengah ke ruangan maya, mencari bahan-bahan bacaan yang boleh dijadikan santapan minda dan rohani. Sambil itu, seperti biasa aku akan membiarkan laman e-mail ku terbuka kerana menanti kalau-kalau ada e-mail baru yang singgah di inbox ku.

Aku cuba menyapa salah seorag sahabatku di ruangan "chatting" yang terletak di penjuru kiri e-mail ku, mencuri peluang untuk berborak dengannya. Sapaan ku disambut baik. Satu per satu bait-bait kata terzahir melampiaskan kerinduan di hati. Lama benar aku tidak berpeluang untuk berbicara dengannya. Terimbau kenangan semasa di zaman kuliyah dahulu kerana dia merupakan salah seorang sahabat yang akrab dengan ku, yang juga merupakan kenalan pertama ku ketika aku mula-mula melangkah masuk ke universiti tersebut. Teruja rasanya ingin mengetahui pekembangan hidupnya yang kini sudah pun melangkah ke alam kerjaya seiring dengan ku.

Dari situ bermulalah episod sebuah penceritaan. Izinkan aku menceritakan sedikit tentang latar belakangnya. Dia merupakan anak ke-2 dari empat orang adik beradik. Hidupnya tidaklah terlalu susah jika dibandingkan dengan insan-insan di dalam rancangan Bersamamu. Namun, kepayahan ibunya sebagai ibu tunggal kesan dari perpecahan sebuah perkahwinan sedikit sebanyak membebankan benaknya. Namun aku kagum dengannya kerana walaupun dibesarkan dalam keluarga yang berpecah-belah, dia mampu menjejakkan kaki ke menara gading sehingga mampu menembusi alam pekerjaan. Apa yang lebih mengkagumkan aku adalah kerana imannya. Walaupun keluarganya bukanlah keluarga yang terlalu mementingkan pendidikan agama, namun dia mampu membimbing dirinya sendiri untuk menjadi seorang insan yang juga hamba kepada Allah.

Sungguh, tersentuh mendengar kisahnya. Aku sangkakan dia kini sudah mampu tersenyum puas dan menarik nafas lega dengan dunia kerjayanya memandangkan itu adalah salah satu harapannya iaitu ingin berdikari tanpa mengharapkan bantuan dari keluarganya lagi. Untuk kesekian kalinya lagi, dia diuji. Pelbagai fitnah dipalitkan ke atas dirinya. Apa yang lebih menyedihkan, fitnah itu datangnya dari saudara-maranya sendiri. Mungkin iri hati dengan apa yang dia miliki kini, mereka mengeluarkan pelbagai kenyataan-kenyataan yang bisa menggoyahkan kepercayaan ahli keluarganya terhadap dirinya. Segala kepedihan itu ditanggungnya sendirian. Walaupun aku tidak berada di tempatnya, namun aku dapat merasakan betapa sakitnya difitnah.

Apabila dia pulang ke kampung, pasti ada sahaja kata-kata sindiran kesat yang hinggap di telinganya. Mereka menyangkakan dia sudah lupa diri dan hanya ingin hidup bermewahan sahaja. Kemewahanlah sangat! Sedangkan gaji bulanan jawatan seperti kami ini hanyalah 2k sahaja. Belum lagi ditolak hutang kereta, sewa rumah itu dan ini. Bukan itu sahaja malah banyak lagi hamburan-hamburan sinis yang mereka lemparkan berpunca dari fitnah yang ditimbulkan. Sudah, tidak sanggup aku menceritakan tentang fitnah-fitnah tersebut. Sungguh, betapa remuknya hati apabila bersusah payah memandu kenderaan sendirian untuk pulang ke kampung yang mengambil masa perjalanan lebih 5 jam semata-mata untuk bertemu dengan keluarga tercinta dengan hati yang berbunga-bunga tetapi sesampainya sahaja sudah di sambut dengan taufan sindiran yang melenyapkan segala keindahan kuntuman bunga yang tadinya mekar mewangi. Sampainya hati mereka meperlakukan sahabatku sebegini rupa. Tidak cukupkah lagi penderitaan jiwa yang ditanggungnya selama hidupnya sebelum ini?

Sekali lagi aku menyatakan kekaguman aku terhadap kesabarannya. Walau sesekali jiwanya merintih kesakitan, bergelumang dengan air mata kekecewaan sehingga bengkak matanya namun bagi ku dia benar-benar seorang gadis yang tegar dan berjiwa kental. Tidak pernah sesekali dia berdendam terhadap mereka yang telah menyakitinya. Tidak pernah sesekali dia mengeluh dengan apa yang melanda dirinya. Sungguh, dia benar-benar layak diuji sebegini rupa. Kalau lah aku, sudah pasti jatuh tersungkur sampai tidak berdaya untuk bangun kembali. Semakin kuat diuji, semakin sayang Allah pada kita. Ya, aku nampak kasih sayang Allah sedang meresap ke dalam jiwanya kerana itulah semakin diuji semakin tabah dia menghadapinya. Sungguh, air mata ini tak mampu disimpan lagi lantas mengalir deras membasahi pipi terkesan dengan ketabahannya dan betapa Allah itu Maha Bijaksana dalam menilai hambaNya.

Terima kasih kerana masih sudi berkongsi cerita dengan ku. Moga ianya menjadi satu lagi pedoman bagi ku untuk lebih mengenal erti kehidupan sebagai hambaNya. Sahabat, ketahuilah Allah sedang berbicara dengan mu. Dia rindu mendengar rintihan mu. Dia ingin kamu sentiasa ingat padaNya. Dia ingin kamu sentiasa dekat denganNya. Ketahuilah sahabat, kamu benar-benar beruntung kerana diuji oleh Allah kerana sesungguhnya Allah amat menyayangiMu. Dan ketahuilah juga oleh mu bahawa suatu saat dan ketika nanti pasti kemenangan akan berpihak pada kebenaran. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa bersamamu dalam mengharungi liku-liku kehiduapan yang mendatang.

Thursday, June 16, 2011

17 Kali Menipu Allah Dalam Sehari

Tatkala seseorang meminta segelas air daripada orang lain, lalu orang itu memberinya, tetapi dia menolak pula, maka jenis apakah orang seperti ini ? Dan dia meminta lagi air kepada orang yang sama sampai berkali-kali, dan setiap kali orang itu memberikan air yang dimintanya, dia menolaknya lagi. Maka apakah boleh dia tersebut dikelaskan sebagai orang gila, sombong, pendusta dan mempermain – mainkan? Sah – sah gelaran ini akan diberikan kepadanya.

Jutaan umat Islam di seluruh penjuru dunia melaksanakan solat, dan mereka semua membaca al-Fatihah yang merupakan salah satu rukun solat yang tanpanya solat tidak akan sah. Mereka membacanya tujuh belas kali dalam sehari semalam, ini tidak termasuk yang dibaca dalam solat – solat sunat rawatib, yang jika dihitung jumlahnya mencapai lebih dari itu. Ertinya, mereka berdoa sampai berkali-kali dalam setiap kali membaca: “Kepada-Mu kami menyembah, dan kepada-Mu kami meminta pertolongan. “(Al-Fatihah: 5).

Tetapi realiti berbicara lain. Lidah mengucapkan, “Hanya kepada-Mu kami beribadah.” Yakni, hanya kepada-Mu Kami tunduk dan hanya kepada-Mu kami patuh, mengikuti, berserah diri, dan tunduk. Kami tidak takut, kecuali kepada-Mu, kami tidak berharap kecuali kepada- Mu,kami tidak tunduk kepada hukum selain hukum-Mu, dan kami tidak takut kepada seorang pun melainkan hanya kepada-Mu Tetapi, mereka tetap tunduk kepada manusia, bertepuk tangan buat mereka yang membuat sistem perundang undang – undang yang diambil dan selain sistem perundang Allah. Mereka takut ketika ada seseorang yang mengancam akan memutuskan sumber rezeki atau nyawanya. Mereka mengangkat tuhan-tuhan selain Allah. Mereka tunduk, patuh, dan takut kepada tuhan tuhan tersebut, melaksanakan perintahnya dan berserah diri kepadanya. Hawa nafsu dan keinginan, isteri-isteri, harta, pakaian, pangkat, dan seluruh perhiasan duniawi, adalah tuhan-tuhan mereka selain Allah. Namun demikian, mereka tetap mengucapkan lebih dan tujuh belas kali dalam sehari semalam: “Hanya kepada-Mu kami menyembah.”

Mereka juga mengucapkan,
“Dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.” Ertinya: “Kami, wahai Rabb, jika terkena musibah, bencana, sangat memerlukan-Mu, kerana kami sangat lemah, kami tidak datang kepada seorang pun selain Engkau untuk meminta tolong dan membebaskan kami dari bencana itu.” Tetapi realiti berbicara lain. Jika ditimpa bencana atau kesulitan, mereka datang kepada sesama makhluk sebelum sang Khaliq. Mereka berkeyakinan bahawa makhluk tersebut memiliki kuasa untuk memberi manfaat atau mudharat, sementara mereka menganggap terlalu rendah untuk datang, berlindung, dan bersimpuh di hadapan Allah swt.

Selanjutnya, mereka mengucapkan, ”
Tunjukkanlah kami ke Jalan yang lurus. “(Al-Fatihah:6). Iaitu jalan yang dilalui oleh para salafus soleh, para pengikut anbiya’, sahabat, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan setia hingga hari kiamat kelak. Tetapi, mereka tetap terus berbuat maksiat, seperti riba, zina, memandang sesuatu yang diharamkan oleh Allah, berdusta, ghibah, namimah ‘mengadu domba’, menipu, dengki, mempertuhankan dunia, dan tidak berpegang teguh pada agama. Maka hidayah apa yang mereka kehendaki? Apakah ini bererti bahawa jutaan umat Islam di seluruh penjuru dunia berdusta di hadapan Allah dan menipu-Nya 17 kali dalam sehari semalam.

Keadaan mereka itu tidak beza dengan “orang gila” yang meminta air kepada kawannya dan ketika air itu diberikan, dia malah menolaknya. Apakah itu merupakan kebiasaan yang mendarah daging sehingga memisahkan hubungan antara perkataan dan perbuatan? Atau itu adalah kebiasaan berbohong yang menyelimuti kehidupan kita sehingga kita tidak dapat lagi membezakan antara berdusta kepada manusia dengan berdusta kepada Allah?
Atau hal itu semacam suatu zat yang menutup hati, semacam karat, yang membutakan mata hati manusia?
Atau itu merupakan kemaksiatan yang membutakan hati? Atau semuanya itu benar? Jika benar, maka ini adalah malapetaka besar yang menimpa umat ini.

Allah berfirman:

“Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kalian mengatakan apa-apa yang tidak kalian kerjakan.”
(ash shaff : 9)


Sumber: Paradigma MUKMIN
http://akuislam.com