BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Tuesday, August 20, 2013

Menanti Sebuah Kelahiran

Lama benar rasanya tidak "mengupdate" blog kesayangan ku ini. Alhamdulillah, masih berkesempatan untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini. Masih lagi berkesempatan untuk menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadhan (Alhamdulillah, dapat puasa penuh tahun ni..hihi) dan seterusnya menyambut kehadiran Syawal bersama keluarga dan suami tercinta buat kali kedua. Terima kasih Ya Allah, atas segala nikmat kebahagiaan, kesenangan dan rezeki yang tidak putus-putus dari Mu buat diriku. Kini aku dan suami sedang menanti suatu saat di mana kami akan bergelar ibu dan ayah. Kandungan ku kini sudah memasuki usia 37 minggu (9 bulan), tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk sampai ke tarikh yg dijangka iaitu 08 Sept 2013. Namun, itu hanya jangkaan manusia semata, bila-bila masa sahaja dari sekarang jika dikehendaki oleh Allah, maka akan bersalinlah aku.


My Little Caliph: 35 weeks
Tiada apa yang dapat dicoretkan tentang pengalaman luar biasa sepanjang kehamilanku kerana segalanya berjalan dengan biasa-biasa sahaja. Hari-hari yang berlalu terasa begitu pantas dan tanpa sedar aku telah pun sampai ke tahap ini. Alhamdulillah, di awal kehamilan hingga la ke saat ini aku tidak mengalami sebarang masalah sama ada loya, muntah, sakit-sakit dan sebagainya. Aku masih mampu bergerak aktif dan menjalankan tugasku di tempat kerja dan di rumah seperti biasa. Terkadang aku hampir terlupa yang aku sedang mengandung kerana terlalu selesa seperti kebiasaannya. Alhamdulillah, bayi dalam kandunganku juga sangat baik dan tidak langsung membebankan aku. Cuma bila sudah sampai di penghujung kehamilan ni terasa cepat penat dan pergerakan juga agak terbatas (dah tak boleh nak jalan laju-laju..huhuhu)Bila dah sampai 9 bulan ni barulah terasa seperti ibu mengandung. Indahnya sebuah kehamilan bila dapat merasai degup jantung bayi dalam kandungan dan gerak gerinya yang sering mencuit perhatian aku dan suami. Subhanallah, betapa hebatnya ciptaan Allah. Moga anak yang dikandung ini akan menjadi anak yang soleh dan taat pada Allah. Aku juga berharap aku mampu menjadi seorang ibu yang sempurna sepanjang membesarkannya dan dapat mendidiknya supaya menjadikan Islam sebagai panduan hidupnya dan menjadi anak yang mampu memimpin ku ke syurga.


Minggu lepas, aku telah dimasukan ke Hospital Melaka. Kisahnya bermula apabila aku ke klinik untuk membuat pemeriksaan rutin dan bertanyakan jururawat berkaitan air ketuban (amniotic fluid) kerana pada pagi itu aku merasakan seolah-olah ade air yang mengalir keluar. Lantas, dia terus menasihatkan aku untuk ke hospital untuk mendapatkan pengesahan kerana bimbang terdapat kebocoran. Agak menyesal juga kerana bertanyakan hal tersebut kerana tak pasal-pasal aku ditahan wad selama 2 hari untuk memastikan kesahihan perkara tersebut. Apapun, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara itu sia-sia. Tenyata kejadian itu benar-benar memberi pengalaman dan ilmu kepada aku dan juga suami. Dari situ, kami dapat lihat situasi di wad bersalin dan dapat "update" mana-mana barang keperluan di wad yang masih belum cukup. Selama 2 hari di hospital, Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Air ketuban masih banyak, tiada "leaking", denyutan jantung bayi juga normal dan bayi masih bergerak aktif. Dengan bahagianya aku dapat pulang ke rumah. InsyAllah, 28 Ogos 2013 ni aku akan mula bercuti. Merehatkan diri dari tugas. Dah tiada "mood" untuk kerja, rasa nak rehat puas-puas sementara tunggu proses kelahiran ni. Dalam perancangan 30 Ogos tu aku akan berangkat ke Kuantan sebab nak bersalin di sana. Harap-harap sempatlah, moga dipermudahkan.


Begitulah sedikit kisahnya. Menanti sebuah kelahiran. Kelahiran dan kematian konsepnya sama. Dari tiada kepada ada, dari ada kepada tiada. Tidak kiralah siapa pun dia, dia pasti akan melalui kedua-dua proses tersebut. Cuma kita tidak tahu bila akan terjadi. Segalanya dalam kerahsiaan Allah dan telah terlakar di Luh Mahfuz. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang, namun Allah jualah yang berkuasa menentukannya.
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati."
(Surah Al-Mukminun: Ayat 12-14)