BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Thursday, August 29, 2013

Pengalaman Pertama Bergelar Ibu

Allah sebaik-baik perancang. Petang itu (27/08/2013) aku begitu teruja dan gembira menerima surat kelulusan bagi permohonanku untuk cuti awal 11 hari dari EDD iaitu bermula keesokan harinya (28/08/2013). Aku sengaja memohon cuti awal kononnya ingin berehat dan membuat persiapan untuk pulang ke Kuantan, Pahang dan bersalin di sana. Ketika itu terasa lapang dada ini, kerana hari itu merupakan hari terakhir aku bekerja dan akan bercuti panjang.

Di sebelah malamnya, selepas isyak aku duduk berehat sambil menonton televisyen bersama suami tercinta. Saat itu aku mula berasa tidak selesa. Perutku memulas-mulas, berulang-alik setiap sejam ke tandas. Aku puas berfikir kalau-kalau ada tersalah makan dan bimbang terkena "food poisoning". Aku kemudiannya menelefon ummi dan mak bertanyakan tentang masalah tersebut. Kata mereka, aku mungkin dah nak bersalin sebab sepertinya rasa sakit itu adalah kontrasi. Namun aku menafikannya dan memberikan berbagai alasan. Mana mungkin dah nak bersalin, tak rasa apa-apa yang luar biasa pun. Hanya rasa sakit perut seperti ingin membuang air besar. Apapun pesanan mereka tetap aku pegang, katanya kalau sakit semakin kerap terus segera ke hospital. Aku terlena pada jam 10. Segala sakit tidak lagi ku endah (tidur tak ingat dunia). Selang beberapa jam selepas itu, aku mula rasa tidak selesa. Segera ku bangkit dari tidur dan meluru ke tandas dan kembali berbaring. Waktu ketika itu adalah 3.30pagi. Tiba-tiba terasa seperti ade cecair hangat yang mengalir keluar. Aku kejutkan suami yang sedang lena tidur, ku lihat ada lendir bercampur darah keluar. Ternyata sangkaan umi dan mak memang benar. Tapi masih juga aku lengahkan, "alah, lambat lagi nak keluar ni". 

Atas nasihat suami, aku bersiap untuk ke hospital dan dengan segera dia menghantar ku. Setelah selesai urusan pendaftaran, aku terus menyuruh dia pulang untuk berehat dan bersiap untuk ke tempat kerja memandangkan Subuh hampir tiba. Aku siap pesan kepadanya, "Takpa, sayang baliklah dulu. Pergi je kerja. Mesti lambat lagi orang nak bersalin ni sebab katanya bukaan baru 1cm. Entah-entah petang nanti". Yakin! Dia akur. Subuh itu sangat membosankan. Kehulu-kehilir aku mundar mandir dalam kawasan wad bersalin tersebut. Entah sudah berapa kali aku masuk ke tandas dek kerana perut yang asyik memulas. Kadang aku berdiri, kadang aku duduk. Sangat bosan! Tiada tempat untuk berbaring memandangkan wad semua penuh. Aku dipanggil untuk diperiksa denyutan nadi bayi. Argh, itulah bahagian yang aku paling benci! Alat itu seperti tali pinggang yg diikat pada perut. Ianya tidak menyakitkan tetapi angsung tidak boleh bergerak,terbaring kaku. Dalam keadaan perut yang asyik2 memulas, terpaksalah aku kakukan juga badan. Saat itu kesabaran benar-benar teruji. Bibirku tidak lekang menyebut nama Yang Esa, beristighfar cuba melapangkan fikiran dan menenangkan hati agar ketidakselesaan itu tidak begitu dirasai. 

Saat demi saat berlalu, jam 9.30pagi mereka telah mengusungku ke "labour room" kerana bukaan sudah hampir 4cm. Di situ sangat dingin dengan penyaman udara yg dipasang. Perutku semakin terasa memulas dan kali ini lebih kerap. Allah, tuhan sahajalah yang tau betapa tidak selesanya saat itu. Mereka menyuruhku berbaring dalam keadaan mengiring ke kiri bagi melancarkan penafasan bayi dan memudahkan laluannya. Alhamdulillah, aku diberi layanan yang sangat baik dari jururawat di situ walaupun hanya di hospital kerajaan. Salah seorang dari mereka mengurut belakangku dan cuba menenangkan aku dengan kata-kata positif. Aku menghubungi suami ku di tempat kerjanya dan meminta dia segera hadir. Dia seakan tidak percaya dan pada 10.30pagi dia tiba di sisiku. Sesampai sahaja, dia tersenyum dan bertanya "syg, dah nak keluar ke?" dengan penuh keterujaan. Aku hanya menjeling sambil membalas senyumannya. Kurasakan kesakitan semakin kuat, mahu sahaja aku berlari ke tandas. Memang betul-betul memulas perutku seperti diperah-perah. Aku meminta jururawat tersebut memeriksa jalan kerana aku betul-betul sudah tidak tahan lagi. Dia memanggil doktor dan doktor mengesahkan yang masanya sudah tiba. Segala persiapan dilakukan, mereka membetulkan posisi ku dan memberi kata-kata semangat untuk aku. Riuh-rendah bilik tersebut. Mana tidaknya hampir 10 orang mengerumuni aku. Bekerja keras mereka membantuku. 

Sungguh, jasa mereka tidak terbalas. Terasa ingin memeluk mereka semua dan mengucapkan terima kasih yang teramat sangat! Suami ku tidak kurang hebatnya, sama-sama menempikkan semangat. Ketika itu hilang segala sakit, sedaya upaya aku "push" dan akhirna jam 11.40pagi keluarlah seorang bayi lelaki yang sangat comel dan sangat cerah kulitnya. Ku lihat dia menangis sekuat hati dalam pelukan ku. Sempat ku bertanya pada suami, "betul ke ni anak kita?" seakan tidak percaya kerana terlalu indah ciptaannya. Putih suci. Sesudah itu, suamiku mengazankannya dan beredar keluar sementara mereka merawatku. Saat itu, tiada lagi ketidakselesaan dan kesakitan. Aku terbaring tenang dan fikiranku kosong. Syukur tidak terhingga terasa seperti apa yang dilalui sebentar tadi hanya mimpi.