Rimbunan menghijau melambai mesra menyapa sang unggas yang tumpang berteduh di pohonannya. Aku menyelak helaian-helaian hari yang kian tenggelam dek titisan waktu yang tidak pernah berhenti dari terus mengalir. Selama hampir 60 helaian hari aku habiskan di pasaraya, tempat aku bekerja, akhirnya aku akur dengan kehendak ibunda tercinta. Masih segar dalam ingatan ku kata-kata Umi yang cukup menggoyahkan kedegilanku, “Sampai bila awak nak kerja kat situ? Sudahlah tu. Umi nak sangat awak selalu ada kat rumah ni. Lagipun, nanti kalau dah dapat kerja tetap, jauh pula tu, dah susah nak dapat peluang macam ni.”
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 216)
Umi, aku tahu jauh di sudut hati mu masih belum terlampias rindu mu. Akhirnya aku akur jua. Setiap titisan waktu yang aku ada kini ku curahkan sepenuhnya untuk keluarga ku. “Kau tak bosan ke terperap kat rumah?” soal teman ku. Maaf, tiada erti kata bosan setiap kali aku bersemayang di mahligai ku ini. Menguruskan rumah ditambah pula dengan telatah adik-adik ku yang comel, nakal, degil, banyak songeh dan bermacam-macam lagi sudah cukup menjadi penglipur lara ku, pengubat kesunyian. Malahan membuatkan hari-hariku lebih ‘mencabar’!
Setiap pagi, selepas sahaja mereka ke sekolah bermulalah rutin harianku sebagai ‘pengurus rumah tangga’. Masa tulah aku mengemas rumah, mencuci pakaian dan sebagainya. Namun, aku masih belum berkesempatan lagi untuk menguasai dapur dan menyediakan makanan kerana Abah pasti akan pulang pada tegaharinya dan menyediakan masakan untuk kami sekeluarga. Hmm.. Mungkin masakan aku tidaklah seenak masakan Chef Abah sebab itulah Abah tidak memberi peluang untuk aku menunjukkan bakat ku (hehe).
Kesempatan yang ada aku manfaatkannya sedaya-upayaku agar ianya tidak berlalu begitu sahaja. Di sebelah petangnya, selepas sahaja solat Zuhur aku akan meluangkan sedikit masa untuk mengajar adik-adikku membaca Al-Quran. Sungguh, saat yang paling indah buatku kerana inilah pertama kalinya aku berpeluang untuk mengajarkan ayat-ayat suci dari Kalam Allah kepada mereka. Mendengarkan bacaan mereka membuatkan hatiku berasa senang dan gembira. Mudah-mudahan ayat-ayat yang mereka alunkan ini akan meresap ke dalam kalbu lantas menjadi pembimbing mereka dalam meniti kedewasaan.
“Demikian Kami turunkan Al-Quran berbahasa Arab. Dan berulang kali Kami terangkan di dalamnya ancaman (peringatan) agar mereka bertaqwa. Agar Al-Quran itu menimbulkan peringatan (kesedaran)” (Surah Taha:113)
Pada malamnya pula, selepas selesai menunaikan solat Isya’ aku akan membantu mereka menyiapkan kerja sekolah. Kadang-kadang terasa lucu melihat gelagat mereka yang begitu rajin dan bersemangat menyiapkannya walhal esok adalah hari minggu. Tidak sepertiku yang memang tersangatlah malas menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru sejak dari tadika lagi. Alhamdulillah, semoga sikap tidak menangguh-nagguhkan kerja ini akan terus kekal dalam diri mereka.
Apa yang lebih menyeronokkan adalah melihat adik-adikku yang masih kecil, Shafiq (11 tahun), Shahidi (8 tahun) dan Shamir (5 tahun) melalui detik kehidupan kanak-kanak mereka di depan mataku. Bagi adik-adik ku yang lain, Ainnur yang sedang menjalani semester terakhirnya di Matrikulasi Negeri Sembilan, Shianis yang bakal menduduki SPM dan Assya yang bakal menghadapi PMR, semoga kalian semua beroleh kejayaan dalam peperiksaan masing-masing dan akan menjadi insan yang berguna buat agama, keluarga serta berjaya di dunia dan akhirat. Sesungguhnya merekalah mutiara hati ku. Keluargaku adalah anugerah yang terindah dan tersangatlah berharga buat diriku. Terima Kasih, Ya Allah…
0 comments:
Post a Comment