Di senja itu, kicauan burung girang seakan-akan tidak sabar untuk kembali ke sarang setelah seharian keluar mencari santapan. Sementara menunggu azan Maghrib berkumandang, aku dan teman serumah ku telah bersiap sedia di hadapan meja makan sambil merenung ke arah hidangan yang telah tersaji. Alhamdulillah, selesai sudah hutang ku dengan Yang Maha Esa disamping berkesempatan melaksanakan ibadah puasa sunat di bulan Syawal.
Menyingkap rahsia di sebalik ibadah puasa sunat di bulan Syawal telah membawaku merungkai kembali kelebihan dan hikmah di sebalik ibadah ini. Setelah berpuasa selama sebulan pada Ramadhan dan merayakan Aidilfitri, umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan ketika hari raya. Puasa enam hari pada Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada godaan nafsu. Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal, berturut-turut atau terpisah asalkan tidak sampai melewati bulan berkenaan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa berpuasa Ramadan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari pada Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup.” (Riwayat Muslim)
“Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” (Riwayat ad-Darimi)
Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan yang ada ketika puasa Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga saja. Sedangkan, perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa telinga, lidah dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu.
Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat. Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.
Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan mengenai tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh. Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara. Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada keduanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar dan dahaga saja.” (Riwayat Al Bukhari)
Ibadah puasa mengandung beberapa manfaat yang besar, antaranya adalah menguatkan kemahuan dan menumbuhkan kekuatan dan kedapatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwatnya. Puasa juga perisai kepada kekuatan rohani. Pelbagai penyakit rohani dapat dihalang dengan berpuasa. Antaranya ialah hasad dengki, sombong, riak, memfitnah, mengumpat, melakukan perbuatan zalim, berdusta, marah, mencaci-maki, mungkir janji, bercakap bohong dan menipu.
Seperti tahun-tahun sudah, aku akan tetap terus melaksanakan ibadah puasa ini pada setiap Isnin dan Khamis kerana aku tidak akan membiarkan ibadah ini hanya terlaksana pada bulan Ramadhan sahaja sedangkan terlalu banyak manfaat, kelebihan dan keistimewaan dalam ibadah puasa ini selain dapat menghapuskan dosa-dosa ku yang lalu dan membersihkan kembali jiwa dan sanubari ku agar aku sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan dari Ilahi. Sesungguhnya ibadah yang telah aku lakukan selama penghidupan ku ini masih belum cukup untuk membalas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada ku, apatah lagi untuk menebus dosa-dosa ku yang tak terhitung banyaknya.
0 comments:
Post a Comment