BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Saturday, October 30, 2010

Sendirian Bertemankan Sepi

Ketika malam mula mengguasai alam, gerimis turun membasahi bumi. Sebasah hatiku yang yang ditusuk-tusuk dengan bermacam panahan perasaan. Saat dan ketika ini aku masih bersendirian. Ya, bersendirian di negeri yang sungguh asing bagi ku. Lantas ku biarkan air mata murahan ini mengalir lagi. Biarkan... Kerana air mata ini lebih pantas menjadi teman setia ku saat ini. Ya Allah apakah ertinya semua ini?

Baru sahaja beberapa minit yang lalu, telingaku telah di sajikan dengan "ceramah free" daripada seorang rakan sejawat yang sudah setahun bekerja di sini. Sungguh, sudah ku jangkakan hal ini akan berlaku. Seboleh-bolehnya dia meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada ku. Katanya aku ini terlalu sombong, susah hendak diajak bekerjasama, malas bekerja lebih masa, berat tulang untuk membantunya dalam urusan kerja dan sebagainya. Langsung tidak terkesan sedikit pun di hati ku atas kata-kata yang berbaur penghinaan itu kerana aku sudah cukup arif dengan sikap ku dan sebenarnya dia tidak perlu pun untuk menerangkan sikap buruk ku itu satu persatu. Tetapi, apa yang membuatkan aku rasa tertekan dan jiwa ku memberontak adalah cara dia menasihati aku seolah-olah dia adalah seorang yang sangat sempurna, yang tahu melakaukan apa sahaja tugas yang diberikan dan pandai menyelesaikan masalah sedangkan aku, "zero"!!! Aku masih baru di sini dan masih dalam proses penyesuaian diri dan pembelajaran mengapa harus aku didesak sebegini rupa?! Sedangkan baru sahaja tahun lepas dia melalui zaman 'junior'nya di sini. Mengapa harus dia bersikap kerek, bongkak riak dan takbur dengan ku? Tidak mustahillah jika selama ini aku merasa tidak selesa dengannya dan sering menjauhkan diri darinya. Tapi pernahkah dia bertanya kepada ku mengapa aku berkelakuan sebegitu rupa? Ahh, tiada siapa pun yang pedulikan aku di sini. Agaknya kalau aku mati pun tiada siapa pun yang sedar akan kehilangan ku.

Ya Allah, aku tidak tahu lagi pada siapakah aku harus mengadu dan menceritakan segala yang terbuku di hati ini kerana aku benar-benar keseorangan di laluan sepi ini. Kalau diceritakan kepada teman-teman yang rapat dengan ku sewaktu aku masih menuntut dahulu, sudah semestinya mereka tidak akan memahami al-kisahnya semua ini kerana mereka tidak di samping ku dan tidak dapat menggambarkan situasiku dan sudah pastinya aku akan terus dipersalahkan! Kenapa harus ku berdepan dengan situasi yang sebegini saat aku tiada sesiapa di sisi ku?

Owh Tuhan, aku benar-benar merasakan diri ini keseorangan. Hanya aku dan diriku sendirian bersendiri di sini. Aku tidak mampu untuk melaluinya seorang diri, wahai Penciptaku. Aku perlukan seseorang yang mampu menemaniku di sini. Seseorang yang mampu memahami ku. Yang mampu menasihati ku dan bersama-sama dengan ku untuk menghadapi semua ini. Tapi sayang, selama aku di sini, tiada keikhlasan yang ku temui dalam persahabatan yang mereka hulurkan. Di hadapanku, mereka berlagak baik dan mengambil berat tapi di sebalik semua itu, mereka mencari kelemahan ku dan cuba memburukkan aku. Aku tidak pasti apa sebenarnya yang mereka ingin dari ku. Mungkin sekarang mereka mampu tersenyum puas kerana berjaya membuatku tersiksa begini. Aku datang ke sini bukan untuk menimbulkan masalah dengan sesiapa tetapi untuk mencari rezeki yang bukan sahaja halal bahkan yang di redhai Allah. Benarlah kata pepatah, "Hujan emas di negeri org, hujan batu di negeri sendiri tetapi lebih baik di negeri sendiri."

Mungkin inilah salah satu cabaran bagiku untuk lebih mengenali dunia kerjaya. Entahlah.... aku tidak pasti sampai bila aku mampu bertahan berhadapan dengan mereka. Kalau ku ceritakan hal ini kepada Umi, pasti aku bakal dimarahi kerana terlalu lemah dan cepat melenting gara-gara masalah yang sekecil ini. Tapi Umi, ketahuilah aku sangat merinduimu. Walaupun setiap hari Umi menelefon ku, namun aku tetap merinduimu. Aku rindu untuk bercerita segala-galanya yang ku lalui di sini di hadapan mu, aku ingin sekali bersandar di bahumu dan menangis sepuas-puasnya agar reda segala kekusutan di hatiku. Aku ingin mendengar leteranmu menasihati dan menegur sikapku. Tapi aku tak sanggup untuk menceritakan kesedihan aku di sini kerana aku tidak mahu Umi risau di sana. Sebab itulah setiap kali Umi menelefonku, aku akan sedaya-dayanya menceritakan hanya yang indah-indah untuk tatapan mu agar kau juga bahagia di sana. Tetapi aku tahu, aku tidak mampu menipu Umi kerana naluri seorang ibu itu terlalu kuat. Aku tahu, Umi dapat merasakan kedukaan aku di sini dan sebab itulah Umi sering menghubungiku. (T_T)

Sudahlah... aku tidak mampu lagi merungkai perasaan-perasaan yang menghuni segenap jiwaku. Apa yang pasti aku terlalu ingin pulang ke Teratak Indahku di Kuantan. Aku kembali bsendirian di kamar suram ku sambil di terangi samaran cahaya laptop dan alunan lagu yang mendayu-dayu membawaku ke awangan tinggi... Biarka si luncai terjun dengan labu-labunya dan biarkan Cik Nisha bahagia dengan kesepiannya...
Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia... Sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

0 comments: