BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Monday, December 27, 2010

Ku Tinggalkannya Dengan Senyuman

Garis-garis hari yang telah diukirkan oleh titik-titik waktu semakin jelas kelihatan sehingga garisan itu membentuk sebuah lukisan kehidupan. Kelmarin semakin jauh meninggalkan kita walau terasa bagai baru semalam kita melintasinya. Selang beberapa hari lagi 2010 bakal meninggalkan kita dan bermulalah sebuah lembaran baru. Begitu banyak suka duka, pahit manis dan perit jerih yang telah di lalui sepanjang tahun ini. Segalanya sempat ku coretkan dalam ruangan ini. Mengimbas kembali garisan hari yang telah dilakarkan sepanjang penghidupan dalam lukisan kehidupan 2010 membawaku untuk kembali menyelami segala perkara yang telah berlaku. Alhamdulillah, banyak kejayaan yang telah ku raih pada tahun ini dan banyak juga perubahan yang telah ku lakukan sama ada dalam sedar mahupun tidak yang telah membawa ku kepada sebuah dimensi baru yang lebih positif.

Perubahan
Bukan mudah untuk merencanakan sebuah perubahan. Lebih-lebih lagi bila ianya melibatkan hati, perasaan, sikap dan tindak tanduk. Inilah peringkat yang paling sukar bagi ku. Aku perlahan-lahan cuba untuk berubah dari yang buruk kepada yang baik. Sungguh, Dia sajalah yang tahu betapa sukarnya untuk berubah lebih-lebih lagi bila perkara tersebut sudah sebati dengan kehidupan kita. Namun Alhamdulillah tahun ini merakamkan sebuah kejayaan yang agak membanggakan diriku kerana aku berjaya melakukannya. Apakah perubahan hati, perasaan, sikap dan tindak tanduk tersebut? Biarlah rahsia.... Yang pastinya perubahan yang paling besar dan nyata dalam hidupku adalah menjadi seorang yang lebih matang dalam hidup dan kerjayanya serta lebih serius dalam mengatur strategi kehidupan. Kini tumpuan ku hanya dua iaitu Tuhan ku dan keluarga ku. Jadi setiap apa yang ku lakukan tidak lain tidak bukan adalah semata-mata untuk keluargaku dan agamaku.

Pengorbanan
Aku akui, setiap perubahan yang dilakukan perlukan pengorbanan. Sungguh, terlalu banyak yang ku korbankan dalam episod kehidupan kali ini sehingga terasa benar akan kehilangan sesuatu yang sedia ada dan kewujudan sesuatu yang belum pernah ada. Ku korbankan jiwa remaja ku yang tidak pernah puas melayani dunia keseronokan. Aku korbankan kawan-kawan lelaki ku yang sebelum ini begitu rapat denganku demi mencari kekuatan dalam diriku kerana sudah terlalu lama aku bergantung kepada mereka dan dimanjakan dengan kata-kata harapan dan puji-pujian mereka sehingga aku sendiri terasa lemah tanpa mereka. Ku korbankan juga perasaan kasih dan sayangku pada insan yang sudah hampir 7 tahun bertahta di hatiku demi membebaskan diri dari cengkaman rindu yang sering melalaikan aku sehingga fikiranku melayang nun di puncak kayangan sana. Walau banyak jiwa-jiwa yang terkorban semata-mata untuk menjayakan rakaman episod kali ini, namun sedikitpun tidak ku sesali kerana semuanya adalah demi kebaikan. Kebaikan aku dan juga mereka. Kehilangan mengajar aku erti kesabaran. Sabar menghadapi perubahan yang sememanya menguji ketahanan mental dan emosi. Namun yang hilang itu tidak semestinya akan terus hilang kerana pasti ada yang lebih baik darinya yang bakal menyusul. Dan ingatlah tiada suatu apapun yang kekal dalam hidup ini melainkan Dia, Allah Yang Satu. Let begone, by begone.

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesugguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" (Al-Insyirah:Ayat 5-6)


Kejayaan
Allah tidak akan mensia-siakan setiap apa yang telah diusahakan oleh hambaNya. Terasa begitu senang sekali untuk menceritakan tentang limpahan nikmat yang telah Allah kurniakan kepadaku kerana bagiku tahun 2010 ini benar-benar dipenuhi dengan cahaya kerahmatan dariNya.


"Dan aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dariku, dan supaya kamu di asuh di bawah pengawasanku." (Surah Thaha: Ayat 39)

Aku berjaya menamatkan pengajianku dengan cemerlangnya setelah berbagai-bagai onak dan duri ku lalui dan Alhamdulillah aku telah menggembirakan Umi dan Abah. Sekali lagi mereka tersenyum gembira apabila aku berjaya diterima bekerja dengan jawatan yang aku ingini selama ini. Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan kepada ku untuk menggembirakan hati mereka dan salah satu impian ku untuk menghadiahkan mereka sebuah kereta juga berjaya direalisasikan. Segalanya berlaku begitu pantas dan aku bagaikan terkesima dengan segala yang berlaku di hadapan ku kini. Benarlah akan firman Allah dalam Surah Yassin Ayat ke-82 yang bermaksud:

"Sesungguhnya perintahNya apabila dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, 'Jadilah!' maka terjadilah ia."

Perancangan
Namun segalanya bukanlah kesudahan bagi kisah perjalanan hidupku malahan menjadi titik permulaan untuk melakar sebuah lagi epilog baru dalam agenda 2011 yang mendatang. Bila ditanya tentang azam tahun baru, akulah orang yang tidak pernah berjaya memberikan jawapan kerana aku tidak pernah mempunyai azam tahun baru. Apa yang aku ada hanyalah perancangan kerana dengan perancangan aku dapat melihat dengan jelas apa matlamat dan sasaranku. Bagiku azam itu hanyalah sekadar cakap-cakap kosong untuk menyedapkan hati dan merasai ketibaan tahun baru. Kemudian tidak sampai dua tiga hari ianya lesap diheret putaran jarum masa yang kencang merentasi orbit waktu.

Ku sambut kehadiran 2011 dengan penuh berlapang dada dan fikiran yang sarat dengan berbagai-bagai misi dan visi. Ku tinggalkan 2010 dengan senyuman sebagai tanda tiada sesalan yang mengiringi pemergiannya. Walhamdulillahirabbila'lamin.....

Sunday, December 26, 2010

Maka Nikmat Tuhan Yang Manakah Yang Kamu Dustakan

Angin petang yang meniup lembut membuai tirai jendela lantas singgah mengusap pipi dengan sepolannya yang cukup mendamaikan. Sungguh, nikmat yang tidak ternilai harganya. Teringat akan petikan ayat dari Surah Ar-Rahman yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah tersebut:


"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan"

Terus-terang ku katakan bahawa surah ini sangat istimewa di hati ku dan ayat yang diulang sebanyak 31 kali ini benar-benar menggentarkan jiwa ku. Sebelum aku menceritakan lebih lanjut mengenai Surah Ar-Rahman ini, teringin sekali aku merungkap kembali saat pertama aku mula mengenali dan jatuh cinta dengan surah ini. Ketika aku dibangku sekolah (Tingkatan 3) aku tinggal di asrama dan semestinya menjadi kewajipan bagi pelajar asrama lelaki dan perempuan di sekolah tersebut untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Ketika dalam jemaah tersebut, deria pendengaranku tiba-tiba di curi oleh suara lunak dan merdu si imam muda yang merupakan insan yang istimewa dalam hidup ku. Jarang sekali bacaannya ku hayati kerana dia sering membacakan surah-surah yang panjang sehingga fikiranku melayang entah ke mana. Aku semakin meneliti bait-bait ayat yang dibaca olehnya dan ayat-ayat tersebut benar-benar menarik perhatian ku untuk aku mengetahui apakah nama Surah tersebut dan apakah makna di sebalik ayat-ayat yang sering diulang dalam surah tersebut. Sukar bagiku untuk mengenalpasti apakah nama surah tersebut kerana aku bukanlah seorang yang arif mengenai ayat-ayat Al-Quran dan ketika itu aku masih belum lagi mampu mengenali kesemua 114 nama surah yang terkandung dalam Al-Quran meskipun aku sudah katam membacanya. Katam hanya atas dasar pembacaan namun tidak pada penghayatan...nauzubillah.

Teringin benar rasanya untuk mengetahui tentang surah tersebut lantas seusai sahaja solat aku terus bertanya kepada rakan jemaah di sebelahku dan Alhamdulillah dia memberitahu ku bahawa surah tersebut adalah surah ke-55 dalam Al-Quran iaitu Surah Ar-Rahman. Sejak itu aku belajar untuk memahami Al-Quran. Ku buka helaian Kalam suci itu dan membaca surah tersebut dari ayat pertama hinggalah ke ayat 78. Ternyata surah ini benar-benar membawaku untuk memahami ayat-ayatnya. Lantas aku meminjam Kitab Terjemahan Al-Quran dari sahabatku dan saat itu merupakan saat pertama aku membaca terjemahan Al-Quran dengan niat yang sebenar-benarnya untuk memahami Al-Quran.Setelah ku fahaminya, aku mula sedar bahawa sesungguhnya Kalam Ilahi itu begitu indah. Terasa begitu rugi kerana sebelum ini aku hanya membaca Al-Quran tanpa memahami dan mendalami ayat-ayatnya.

Ar-Rahman, Yang Maha Pemurah telah membuka pintu hatiku untuk lebih dekat dengan kazanah suci tersebut. Surah Ar-Rahman seindah namaNya. Terasa damai dan tenang memahami ayat-ayat dalam surah ini yang menceritakan pelbagai nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada umat manusia. Allah telah menciptakan aku dengan sebaik-baik kejadian dan Dialah juga yang melimpahkan ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi kepadaku sehingga aku mampu berada di tahap ini. Allah telah menciptakan langit yang di hiasi bintang dan bulan serta matahari agar dapat memberi cahaya kepada kita. Allah juga menciptakan bumi yang padanya ada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan agar kita tidak kelaparan dan dapat menjalani kehidupan yang sempurna agar dapat beribadah dengan baik. Subhanallah, aku menangis setiap kali membaca ayat-ayat dalam surah ini kerana terlalu banyak nikmat yang telah aku kecapi di dunia ini. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang aku mampu dustakan kerana segala kenikmatan itu adalah datangnya dari Allah. Sedangkan aku masih kufur dengan nikmatnya dan tidak putus-putus melakukan dosa. Astagfirullahalazim...

Dalam surah ini juga terkandung tentang ancaman Allah terhadap perbuatan derhaka. Bergetar jiwaku membayangkan hari pembalasan yang bakal tiba dimana semua yang ada di bumi ini akan binasa dan apa yang tetap kekal adalah Wajah Tuhanku yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan yang tiada tandingannya. Bayangkan semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta-minta kepada Allah dan sesungguhnya setiap waktu Allah dalam kesibukan tetapi Dia tidak pernah sekejap pun abaikan aku dan sekalian ciptaannya. Sungguh, Maha Pemurahnya Tuhanku. Tetapi manusia apabila dihimpit dengan kesibukan, dihujani dengan kemewahan dan didendangkan dengan hilai tawa kegembiraan maka mereka lupa untuk beribadah kepada Allah, lupa untuk bersyukur dan meninggalkan solat sesuka hati tanpa rasa bersalah sedangkan itu adalah kewajipan kita pada Allah. Inilah salah satu bentuk kekufuran yang sering dilakukan oleh manusia tanpa mereka sedari atau dengan kata lain tak sedar diri. Tunggulah saatnya apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar dan ketika itu tidak ada seorang dan sesuatu apapun yang dapat lari darinya. Pada hari perhitungan nanti tidak lagi didengar alasan-alasan yang dikemukakan oleh manusia-manusia tersebut dan neraka jahannam yang sering didustakan oleh orang yang berdosa adalah tempatnya. Mereka akan dikelilingi air yang mendidih dan memuncak panasnya.

Surah ini juga menceritakan tentang pahala bagi orang-orang yang bertaqwa dimana mereka takut terhadap Tuhannya dan akan disediakan syurga bagi mereka. Tidak dapat digambarkan betapa indahnya syurga tersebut dengan pohonan yang merimbun yang mengeluarkan buah yang banyak dan mudah dipetik. Terdapat juga mata air yang mengalir tenang. Mereka akan bertelekan pada bantal-bantal yang hijau dan permaidani-permaidan dari sutera yang indah. Subhanallah..... MAKA NIKMAT TUHAN KAMU YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?? Wallahua'lam.

Monday, December 20, 2010

InsyaAllah



Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can’t see which way to go
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side

Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way

Everytime you commit one more mistake
You feel you can’t repent
And that its way too late
Your’re so confused, wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame

Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way
Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way
Turn to AllahDon’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way
Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way

He’s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don’t let me go astray
You’re the only one that showed me the way,
Showed me the way x2
Insyaallah x3
Insya Allah we’ll find the way...

**Insya Allah by Maher Zain**

Tuesday, December 7, 2010

Merancang: Tradisi Orang Bertaqwa


Tahun 1431 Hijriyyah telah meninggalkan kita. 1432 Hijriyyah pula mendatang di hadapan kita. Bersyukurlah kerana Allah masih tidak putus memberikan kita rezeki nyawa, nikmat Iman, dan kurnia Islam, Alhamdulillah.

Cuba tanyakan soalan ini kepada diri anda semua, "berapakah umur aku?"

Sudah pasti anda mampu menjawabnya. 18 tahun? 19 tahun? 20, 21, 23 tahun? Atau 30 tahun?

Dan berapa kalikah sudah kita lalui Sambutan Tahun Baru atau Sambutan Maal Hijrah? 5 kali? 10 kali? 15 kali?

Lazimnya, setiap kali sambutan Maal Hijrah, manusia biasa akan memperbaharui azam barunya untuk tahun tersebut. Atau sekurang-kurangnya berfikir untuk memperbaiki kelemahan lalu. Atau paling kurang pun, merasakan bahawa kualiti dirinya sudah meningkat sedikit berbanding tahun yang sebelumnya.

Cuba bayangkan, kalau benarlah setiap tahun kita berjaya memperbaharui azam kita, memperbaiki kualiti diri kita, meningkatkan nilai hidup kita, dan memperelok masyarakat sekitar kita, maka pada tahun ini, sudah berapa banyakkah kualiti diri kita yang berjaya ditingkatkan? Sudah berapa jauhkah kita memperbaiki nilai hidup kita? Sudah berapa elokkah masyarakat kita? Tanyakan kepada diri anda sendiri.

Bagaimana pula realitinya? Adakah kualiti diri kita kini 5 kali lebih baik daripada diri kita 5 tahun lalu? Tidak dinafikan, sedangkan iman pun ada naik dan turunnya seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW,

الاءيمان يزيد و ينقص

"Namun, ia bukanlah alasan untuk kita tidak maju ke hadapan."


Merancang, Tradisi Orang Bertaqwa

Ramai di kalangan kita mengaku bahawa dialah penuntut ilmu yang hebat. Ada pula mengatakan dialah pejuang Islam yang mantap. Ada juga yang 'berangan-angan' menjadi orang yang mampu mengubah dunia pada suatu hari nanti, tetapi lupa pada sunnatullah. Sunnatullah apa? Sunnatullah bahawa, kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Kata kuncinya adalah, PERANCANGAN!

Allah berfirman di dalam surah Al-Hasyr, ayat ke-18,

"Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada ALlah, dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang hendak diperbuatnya untuk hari esok (Hari Akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."

Ya, kata kuncinya, merancang! Kalau nak tengok kehebatan seorang manusia itu, kita lihat sejauh manakah perancangannya. Dan menjadi tradisi orang bertaqwa, untuk merancang untuk Hari Akhirat, perancangan paling jauh! Maka, dalam Islam kita diajar menjadi orang yang paling hebat, kerana perancangan kita adalah yang paling jauh.

Namun, selalunya akan timbul salah faham terhadap konsep 'Akhirat'. Ramai yang gagal menemui jalan untuk merancang ke Akhirat. Jawapannya mudah sahaja, kita bayangkan sahaja jika kita hendak ke Kuala Lumpur dari Seremban. Matlamat kita adalah Kuala Lumpur, tetapi lojik akal mengatakan, kita perlu menempuh Highway PLUS Seremban-KL terlebih dahulu. Begitu juga Akhirat. Bukankah dunia itu 'Highway' Akhirat?

الدنيا مزرعة الأخرة

"Dunia itu ladang Akhirat"

Membina Azam, Sunnah Yang Selalu Diabaikan

"Alah, azam aku tahun biasa-biasa je lah..."

"Takda apa-apa azam pun, life goes on..."

"Isy, apa azam-azam ni! Banyak sangat azamnya, nanti tak buat jugak..."

Saya berasa kecewa apabila mendengar ucapan-ucapan sedemikian terbit dari mulut seorang Muslim. Jika anda salah seorang dari mereka ini, cuba tanyakan soalan ini kepada diri anda sendiri. "Apakah yang anda tahun tentang sunnah Rasulullah?"

Jawapan yang selalu keluar dari mulut ramai dalam kalangan kita adalah, menyimpan janggut, bersugi, memakai jubah, memakai kopiah, memakai celak, bahkan ada yang terus mengatakan, "poligami!"

Marilah kita renungi satu Hadith yang mahsyur, ketika Ummat Islam Madinah sedang bersiap sedia menggali parit untuk menghadapi Perang Khandak, Rasulullah SAW bersabda,

"Akan pasti dibuka kota konstantinopel itu. Maka sebaik-baik raja, itulah rajanya, dan sebaik-baik tentera, itulah tenteranya" (al-Hadith Ahmad bin Hanbal)

Tidak semena-mena, dalam ketegangan waktu perang, di bawah panas terik padang pasir, dengan kepenatan menggali parit, Rasulullah saw bersabda sedemikian.

Saya bayangkan, kalaulah kita ada di waktu itu, kita akan katakan dalam bahasa kita, "Apa kejadahnya ni?" Ya lah, cuba bayangkan, Ummat Islam ketika itu hanya berapa kerat sahaja berbanding Kaum Musyrikin Mekah, kelihatan seperti itu hanya omongan kosong sahaja, tetapi lihatlah, bagaimana Rasulullah SAW mengajar Ummat Islam agar 'think big'!

Dan, dengan Rahmat Allah dan kemuliaan kata-kata Rasulullah SAW, perkara itu terjadi! Bukan di zaman Rasulullah, bukan pula di zaman Saydina Abu Bakr, atau Zaydina Umar, atau Saydina Uthman. Bukan juga di zaman Saydina Ali, tetapi 800 tahun selepas itu, ketika pemerintahan Khalifah ke-7 Kerajaan Turki Uthmaniyyah, Sultan Muhammad Al-Fatih!

Dan juga, Spethen R. Covey di dalam bukunya berjudul '7 Habits Of Higly Effective People' MENIRU konsep Sunnah Rasulullah ini, di dalam habitnya yang kedua, 'Begin with the End in Mind'.

Pangkal Penentu Penghujung

Setelah mempunyai visi dan matlamat yang jelas, atau dengan kata lainnya kita dah tahu 'penghujung', barulah kita dapat memulakan langkah baru. Matlamat akhir kita akan menentukan permulaan kita. Namun, begitu juga sebaliknya, langkah pertama kita, akan menentukan bagaimana keadaan penghujung kita. Langkah pertama akan menentukan momentum kita untuk bergerak.

Kesilapan ramai dalam kalangan kita adalah, setelah merancang matlamat dan visi, mereka gagal memulakan 'langkah pertama'. Antara sebab yang popular adalah, malu tak bertempat, tidak ada keyakinan diri, segan, malas, tak tahu macam mana nak mula, dan tiada semangat. Have a vision, share the vision.

Memetik satu kata hikmah,

من لم يكن في بدايته محركة, لم يكن في نهايته مشرقة

"Siapa yang di permulaannya tidak bergerak, penghujungnya tidak akan bernyala(atau bercahaya/cerah/hebat)"

Kata kuncinya adalah, GERAK!

Maka lepas ini, moga-moga tiada lagi kata-kata "tak mampulah" atau "seganlah" atau "isy, malaslah" keluar dari mulut seorang Muslim, kerana ia melanggar dan menyalahi Sunnah Rasulullah SAW.

Kalau ada lagi yang berfikiran begini, ingat pula kata-kata Imam Junid,

من طلب شيء بجدّ و صدق الاّ نال كله فاءن لم ينال كله ينال بعضه

"Barangsiapa yang menuntut (mencari) sesuatu dengan sungguh-sungguh dan benar, melainkan dia akan dapat semuanya (yang dia mahu). Kalau tak dapat semuanya pun, dia akan dapat sebahagiannya."

Maka kalau niat anda ikhlas kerana Allah, dan perkara yang anda mahukan itu benar dan halal, sertakan sekali dengan kesungguhan, insyaAllah, jika anda tidak dapat kesemuanya, anda akan dapat juga sebahagiannya. Yakinlah. Kan untung begitu?

Sekian dahulu ucapan Maal Hijrah saya untuk tahun 1432. Semoga kita semua mendapat keampunan bagi dosa-dosa kita pada tahun lalu, dan terhindar dari dosa pada tahun mendatang.

Semoga juga kita beroleh pahala dan keredhaan di atas segala alam kita pada tahun lalu, dan diberi petunjuk dan keberkatan di atas segala amal perbuatan kita pada tahun mendatang.

Tuesday, November 2, 2010

Apa Hebatnya Solat Di Awal Waktu?

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Waktu Subuh
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Waktu Magrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Qiamullail
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Sunday, October 31, 2010

Kau Buat Aku Tersenyum


“I Love When They Are Together... My Jejaka Idaman Kolbu Asyraf, My Guy That Makes Me Smile Fahrin Ahmad and My Idol That Give Me A Lot Of Motivation Dr. Fazilah Kamsah..” (◕‿◕)

ASYRAF

Nama Penuh: Muhammad Asyraf Bin Ridzuan
Asal: Pulau Pinang
Umur: 26 Tahun
Tarikh Lahir: 12 Februari 1984
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Imam
Pendidikan Tertinggi: Ijazah Sarjana Muda Usuluddin & Fiqh, Universiti Malaya


FAHRIN

Nama Penuh: Fahrin Bin Ahmad
Asal: Johor
Umur: 31 Tahun
Tarikh Lahir: 9 Mei 1979
Status: Bujang
Pekerjaan: Model dan Pelakon
Pendidikan Tertinggi: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara


DATO' FAZILAH KAMSAH

Nama Penuh: Dato' Dr. Haji Mohd Fazilah Bin Kamsah
Asal: Selangor
Umur: 59 Tahun
Tarikh Lahir: 16 Julai 1951
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Pakar Motivasi
Pendidikan Tertinggi: Master of Science in Agricultural Journalism, Wisconsin University (USA)

Saturday, October 30, 2010

Sendirian Bertemankan Sepi

Ketika malam mula mengguasai alam, gerimis turun membasahi bumi. Sebasah hatiku yang yang ditusuk-tusuk dengan bermacam panahan perasaan. Saat dan ketika ini aku masih bersendirian. Ya, bersendirian di negeri yang sungguh asing bagi ku. Lantas ku biarkan air mata murahan ini mengalir lagi. Biarkan... Kerana air mata ini lebih pantas menjadi teman setia ku saat ini. Ya Allah apakah ertinya semua ini?

Baru sahaja beberapa minit yang lalu, telingaku telah di sajikan dengan "ceramah free" daripada seorang rakan sejawat yang sudah setahun bekerja di sini. Sungguh, sudah ku jangkakan hal ini akan berlaku. Seboleh-bolehnya dia meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada ku. Katanya aku ini terlalu sombong, susah hendak diajak bekerjasama, malas bekerja lebih masa, berat tulang untuk membantunya dalam urusan kerja dan sebagainya. Langsung tidak terkesan sedikit pun di hati ku atas kata-kata yang berbaur penghinaan itu kerana aku sudah cukup arif dengan sikap ku dan sebenarnya dia tidak perlu pun untuk menerangkan sikap buruk ku itu satu persatu. Tetapi, apa yang membuatkan aku rasa tertekan dan jiwa ku memberontak adalah cara dia menasihati aku seolah-olah dia adalah seorang yang sangat sempurna, yang tahu melakaukan apa sahaja tugas yang diberikan dan pandai menyelesaikan masalah sedangkan aku, "zero"!!! Aku masih baru di sini dan masih dalam proses penyesuaian diri dan pembelajaran mengapa harus aku didesak sebegini rupa?! Sedangkan baru sahaja tahun lepas dia melalui zaman 'junior'nya di sini. Mengapa harus dia bersikap kerek, bongkak riak dan takbur dengan ku? Tidak mustahillah jika selama ini aku merasa tidak selesa dengannya dan sering menjauhkan diri darinya. Tapi pernahkah dia bertanya kepada ku mengapa aku berkelakuan sebegitu rupa? Ahh, tiada siapa pun yang pedulikan aku di sini. Agaknya kalau aku mati pun tiada siapa pun yang sedar akan kehilangan ku.

Ya Allah, aku tidak tahu lagi pada siapakah aku harus mengadu dan menceritakan segala yang terbuku di hati ini kerana aku benar-benar keseorangan di laluan sepi ini. Kalau diceritakan kepada teman-teman yang rapat dengan ku sewaktu aku masih menuntut dahulu, sudah semestinya mereka tidak akan memahami al-kisahnya semua ini kerana mereka tidak di samping ku dan tidak dapat menggambarkan situasiku dan sudah pastinya aku akan terus dipersalahkan! Kenapa harus ku berdepan dengan situasi yang sebegini saat aku tiada sesiapa di sisi ku?

Owh Tuhan, aku benar-benar merasakan diri ini keseorangan. Hanya aku dan diriku sendirian bersendiri di sini. Aku tidak mampu untuk melaluinya seorang diri, wahai Penciptaku. Aku perlukan seseorang yang mampu menemaniku di sini. Seseorang yang mampu memahami ku. Yang mampu menasihati ku dan bersama-sama dengan ku untuk menghadapi semua ini. Tapi sayang, selama aku di sini, tiada keikhlasan yang ku temui dalam persahabatan yang mereka hulurkan. Di hadapanku, mereka berlagak baik dan mengambil berat tapi di sebalik semua itu, mereka mencari kelemahan ku dan cuba memburukkan aku. Aku tidak pasti apa sebenarnya yang mereka ingin dari ku. Mungkin sekarang mereka mampu tersenyum puas kerana berjaya membuatku tersiksa begini. Aku datang ke sini bukan untuk menimbulkan masalah dengan sesiapa tetapi untuk mencari rezeki yang bukan sahaja halal bahkan yang di redhai Allah. Benarlah kata pepatah, "Hujan emas di negeri org, hujan batu di negeri sendiri tetapi lebih baik di negeri sendiri."

Mungkin inilah salah satu cabaran bagiku untuk lebih mengenali dunia kerjaya. Entahlah.... aku tidak pasti sampai bila aku mampu bertahan berhadapan dengan mereka. Kalau ku ceritakan hal ini kepada Umi, pasti aku bakal dimarahi kerana terlalu lemah dan cepat melenting gara-gara masalah yang sekecil ini. Tapi Umi, ketahuilah aku sangat merinduimu. Walaupun setiap hari Umi menelefon ku, namun aku tetap merinduimu. Aku rindu untuk bercerita segala-galanya yang ku lalui di sini di hadapan mu, aku ingin sekali bersandar di bahumu dan menangis sepuas-puasnya agar reda segala kekusutan di hatiku. Aku ingin mendengar leteranmu menasihati dan menegur sikapku. Tapi aku tak sanggup untuk menceritakan kesedihan aku di sini kerana aku tidak mahu Umi risau di sana. Sebab itulah setiap kali Umi menelefonku, aku akan sedaya-dayanya menceritakan hanya yang indah-indah untuk tatapan mu agar kau juga bahagia di sana. Tetapi aku tahu, aku tidak mampu menipu Umi kerana naluri seorang ibu itu terlalu kuat. Aku tahu, Umi dapat merasakan kedukaan aku di sini dan sebab itulah Umi sering menghubungiku. (T_T)

Sudahlah... aku tidak mampu lagi merungkai perasaan-perasaan yang menghuni segenap jiwaku. Apa yang pasti aku terlalu ingin pulang ke Teratak Indahku di Kuantan. Aku kembali bsendirian di kamar suram ku sambil di terangi samaran cahaya laptop dan alunan lagu yang mendayu-dayu membawaku ke awangan tinggi... Biarka si luncai terjun dengan labu-labunya dan biarkan Cik Nisha bahagia dengan kesepiannya...
Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia... Sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

Tuesday, October 19, 2010

Sombongnya Aku

Suasana kelam melitupi segenap ruang pejabat lantaran kesemua lampu dipadamkan. Pencahayaan semula jadi dari terik mentari mencelah masuk melalui ruang-ruang jendela kaca untuk menyebarkan cahayanya. Ayunan bandul jam di dinding jelas kedengaran lantaran kesunyian yang kian jelas menguasai suasana. Lantas menarik perhatian ku untuk menatap wajahnya yang sedang bekerja keras menggerakkan jaluran saat, tidak pernah berhenti sedetik pun (melaiankan kehabisan bateri). Setelah menatapi wajah bulatnya buat beberapa ketika, fahamlah aku bahawa waktu sudahpun beredar ke jam 1.00 petang iaitu waktu dimana semua staf akan berpusu-pusu keluar meninggalkan ruang kerja masing-masing untuk menikmati hidangan tengahari.

Kosong. Ruangan pejabat benar-benar telah dikosongkan. Sekosong ruangan hatiku yang sekian lama sekian goyah dek perasaan kosong! Aku masih tetap setia di singgahsana empuk ku sambil mencoretkan lakaran-lakaran kehidupan di atas helaian kertas yang berselerakan di atas meja. Walaupun sudah hampir 3 bulan aku berkhidmat di sini, namun aku masih belum bisa menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini. Entah kenapa, sukar benar rasanya untuk aku menyerapkan manusia di sini sama ada rakan sejawat mahupun pekerja bawahan ke dalam ruangan hidup ku.

Setiap kali aku masuk ke pejabat, aku akan terus duduk di ruangan singgahsana ku, menandatangani apa-apa dokumen yang berkaitan lantas mengadap komputer dan melilau-lilau ke laman sesawang yang sememangnya tidak pernah menjemukan aku sehinggalah tiba waktu untuk meninggalkan pejabat. Kadang-kala satu per dua masa bekerja aku di habiskan dengan menelefon Ummi, termenung dan berangan. Huh! Tabiat yang sememangnya tak pernah luntur bahkan sudah menjadi sebahagian dari diri ku. Entah apa yang difikirkan (macam-macam benda berlegar di ruang fikiranku).

Aku diajukan dengan persoalan dari pekerja bawahan ku yang menyedarkan aku terhadap sesuatu dan mendorong ku untuk menilai kembali ke dalam diri segala kekurangan dan kepelikan yang berlaku ke atas ku. Kenapa aku tidak bercampur dengan rakan-rakan sejawat yang lain dan segalanya dilakukan seorang diri. Ke mana pun aku pergi, aku tidak pernah beriringan dengan sesiapa sehingga ada yang mengatakan aku sukar untuk di dekati atau dengan erti kata lain yang lebih mudah, SOMBONG! Itulah gelaran yang sering aku terima ke mana pun aku berada lebih-lebih lagi dengan mereka yang masih belum mengenali diriku.

Bila direnungkan kembali keadaan ini, aku baru sedar bahawa aku sebenarnya tidak pernah memberi ruang kepada mereka untuk mengenaliku dan bersosial denganku. Aku lebih banyak menghabiskan masa dengan diri ku sendiri berbanding dengan orang-0rang di sekelilingku di dalam pejabat tersebut kerana bagiku mereka tidak pernah wujud dalam kehidupan sosial ku melainkan atas urusan kerja. Sungguh, aku benar-benar tidak pandai menyesuaikan diri dengan mereka! Apabila mereka datang kepada ku untuk berbual-bual, aku pasti akan ghaib kerana aku tidak faham topik apakah yang mereka bualkan (yang penting bukan pasal kerja) dan aku tidak berminat untuk mengetahui tentang hal peribadi mereka, ‘boyfriend’lah, makanan itu sedap makanan ini tak sedaplah, pergi ke sanalah ke sinilah, itulah inilah. Owh maaf, aku benar-benar tidak berminat untuk bercakap tentang hal-hal tersebut dengan mereka dan maaf aku bukan seorang yang hipokrit yang mampu menyembunyikan perasaan tidak suka dan menggantikannya dengan “keplastikan”!

Tiba-tiba terngiang-ngiang di hujung telingaku akan ayat yang sungguh terkesan di hati, “habulum minallah wa hablum minannas ((hubungan yang baik kepada Allah) dan hubungan yang baik dengan manusia) lantas mendorongku untuk merungkai persoalan ini. Sesungguhnya Allah telah menciptakan manusia di atas muka bumi ini untuk saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Hal ini ditekankan kerena manusia sangat memerlukan Tuhan dan Tuhan yang sesungguhnya adalah Allah SWT, disamping itu manusia juga tidak mampu untuk hidup sendirian, kerena ia memerlukan manusia lain yang dapat berinteraksi secara baik untuk mewujudkan kehidupan yang baik. Di dalam Al-Quran, Allah Swt berfirman:

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apapun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar,dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri" (Surah An-Nisa’:36)

Hubungan Dengan Allah
Manusia telah dicipta oleh Allah bagaimana mungkin ia tidak mahu menyembah dan mengabdikan diri kepada sang pencipta, bukankah hal itu menunjukkan bahwa ia tidak pandai bersyukur kepada Allah Swt? Oleh karena itu, di dalam ayat di atas, manusia harus menyembah Allah dan menunjukkan pengabdian kepada-Nya dengan semurni-murninya sehingga ia tidak boleh menyekutukan Allah dengan apapun dan siapapun juga. Rasulullah Saw bersabda:
“Sesungguhnya yang aku sangat khuatirkan atas kamu adalah apabila kamu melakukan syirik yang kecil. Sahabat bertanya: ‘Apakah syirik yang kecil itu ya Rasulullah?’. Beliau menjawab, ‘Riya’.”

Hubungan Dengan Sesama Manusia
Di dalam ayat di atas, disebutkan contoh-contoh kepada siapa manusia harus menjalin hubungan yang sebaik-baiknya, yakni kepada lapan golongan.
1) Kedua ibu bapa.
2) Saudara mara.
3) Anak yatim.
4) Fakir Miskin.
5) Jiran Tetangga.
6) Teman Sejawat.
7) Musafir.
8) Hamba Sahaya.

Dalam rangkaian penyebutan kepada siapa saja manusia harus berbuat baik, selanjutnya Allah menutup ayat di atas dengan kalimat: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong dan membanggakan diri”.
Kesan yang biasa kita tangkap dari kalimat ini adalah manusia jangan sombong kepada orang tuanya, meskipun ia lebih pintar dan kaya, ia juga tidak boleh sombong dengan kerabatnya, meskipun mereka orang yang lemah, miskin dan bodoh, jangan smbong kepada anak yatim kerana anak saat dimana anak kita juga menjadi yatim. Jangan sombong kepada orang miskin kerana ada saat dimana kitapun bisa menjadi miskin secara tiba-tiba. Jangan sombong kepada tetangga kerana merekalah orang yang pertama memberikan pertolongan atau kita minta pertolongan saat kita kesulitan. Jangan sombong kepada teman karena kita sangat memerlukannya. Jangan sombong kepada musafir kerana ada saat dimana kitapun menjadi musafir dan jangan sombong kepada pembantu rumah tangga kerana mereka besar bantuannya kepada kita meskipun tidak besar upah yang kita berikan.

Justeru itu kita harus menjalin hubungan baik kepada Allah lalu dibuktikan dengan menjalin hubungan baik dengan sesama manusia, sedangkan hubungan yang baik dengan sesama manusia harus didasari atas hubungan baik kepada Allah. Apapun dalam dunia yang serba serbi dah tungang terbalik ni, aku rasa lebih baik dan sesuai kiranya aku mempraktikkan “buat baik berpada-pada, buat jahat jagan sekali” dan “sesungguhnya diam itu adalah lebih baik”. Kesimpulannya aku akan terus begini untuk kebaikan ku agar aku tidak tergolong dalam golongan manusia yang memakan daging sahabatnya sendiri dan sebagainya. Biarlah hubungan itu terjalin atas dasar mendapat keredhaan Allah, bukannya atas dasar keduniaan semata-mata. Huallahua’lam!

Tuesday, October 12, 2010

Jom Jalan-Jalan: Kota Bharu

Kota Bharu adalah ibu negeri bagi Kelantan Darul Naim yang juga merupakan daerah kelahiran ku. Walaupun usia ku kini sudah mencecah 21 tahun, tetapi masih banyak tempat-tempat di Kota Bharu yang belum aku jelajahi. Mana tidaknya, datang ke sini hanyalah setahun sekali dan itupun adalah semata-mata untuk pulang ke rumah nendaku untuk menyambut Perayaan Aidilfitri bersama sanak saudara. Jangankan untuk berjalan-jalan di bandar Kota Bharu, untuk singgah pun tidak berkesempatan.

Memandangkan aku kini sudah mempunyai kereta dan mampu bergerak sendiri (kalau sebelum ni tunggu abah saja yang bawa), pada kepulangan ku ke negeri Darul Naim kali ini aku mengambil kesempatan untuk membawa adik-adik ku dan sepupu-sepupu ku untuk merewang-rewang di Kota Bharu Bandaraya Islam. Sukurang-kurangnya mereka mengenali negeri asal ibu bapa mereka. Antara tempat-tempat menarik yang sempat kami singgah pada hari raya ke-3 tersebut adalah KB Mall, Istana Jahar(Muzium Adat Istiadat) dan Pasar Siti Khadijah.

Menghabiskan Duit Di Kb Mall





Teruja Melihat Pintu Gerbang Istana

Pasar Siti Khadijah Yang Unik


Walaupun hampir seharian meluangkan masa untuk berkunjung di kota serambi Mekah ini namun masih banyak lagi tempat-tempat menarik lain di sekitarnya yang tidak sempat disinggah. InsyAllah, mugkin dikesempatan yang akan datang.

Thursday, October 7, 2010

Menumbuhkan Kekuatan Jiwa

Di senja itu, kicauan burung girang seakan-akan tidak sabar untuk kembali ke sarang setelah seharian keluar mencari santapan. Sementara menunggu azan Maghrib berkumandang, aku dan teman serumah ku telah bersiap sedia di hadapan meja makan sambil merenung ke arah hidangan yang telah tersaji. Alhamdulillah, selesai sudah hutang ku dengan Yang Maha Esa disamping berkesempatan melaksanakan ibadah puasa sunat di bulan Syawal.


Menyingkap rahsia di sebalik ibadah puasa sunat di bulan Syawal telah membawaku merungkai kembali kelebihan dan hikmah di sebalik ibadah ini. Setelah berpuasa selama sebulan pada Ramadhan dan merayakan Aidilfitri, umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan ketika hari raya. Puasa enam hari pada Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada godaan nafsu. Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal, berturut-turut atau terpisah asalkan tidak sampai melewati bulan berkenaan.


Nabi SAW bersabda yang bermaksud:


“Barang siapa berpuasa Ramadan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari pada Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup.” (Riwayat Muslim)


“Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” (Riwayat ad-Darimi)


Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan yang ada ketika puasa Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga saja. Sedangkan, perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa telinga, lidah dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu.


Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat. Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.


Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan mengenai tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh. Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara. Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada keduanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan.


Nabi SAW bersabda yang bermaksud:


“Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar dan dahaga saja.” (Riwayat Al Bukhari)


Ibadah puasa mengandung beberapa manfaat yang besar, antaranya adalah menguatkan kemahuan dan menumbuhkan kekuatan dan kedapatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwatnya. Puasa juga perisai kepada kekuatan rohani. Pelbagai penyakit rohani dapat dihalang dengan berpuasa. Antaranya ialah hasad dengki, sombong, riak, memfitnah, mengumpat, melakukan perbuatan zalim, berdusta, marah, mencaci-maki, mungkir janji, bercakap bohong dan menipu.


Seperti tahun-tahun sudah, aku akan tetap terus melaksanakan ibadah puasa ini pada setiap Isnin dan Khamis kerana aku tidak akan membiarkan ibadah ini hanya terlaksana pada bulan Ramadhan sahaja sedangkan terlalu banyak manfaat, kelebihan dan keistimewaan dalam ibadah puasa ini selain dapat menghapuskan dosa-dosa ku yang lalu dan membersihkan kembali jiwa dan sanubari ku agar aku sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan dari Ilahi. Sesungguhnya ibadah yang telah aku lakukan selama penghidupan ku ini masih belum cukup untuk membalas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada ku, apatah lagi untuk menebus dosa-dosa ku yang tak terhitung banyaknya.