BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Wednesday, April 7, 2010

Hadirnya Bagaikan Sebuah Anugerah

“Jangan lupa, tiap kali lepas maghrib baca Surah Al-Waqiah,” inilah pesanan dari seorang teman yang sering berlegar-legar dalam kotak ingatanku. Walaupun sudah hampir 6 tahun kata-kata ini diungkapkan, namun ia masih mekar dalam ingatan. Alhamdulillah, selama aku masih mengingati pesanan ini, selama itulah ia akan tetap aku amalkan. InsyAllah… Menyingkap kembali permulaan terjalinnya ukhwah antara aku dan dia 6 tahun lalu membuatkan benih-benih kerinduan kembali bercambah dilubuk hati ku. Perkenalan yang tidak pernah dirancang itu bagaikan satu anugerah yang tidak tertara bagi ku. Diusia belasan tahun itu hati remajaku masih belum mantap, masih tercari-cari arah hidup, masih tertanya-tanya tujuan hidup dan segalanya masih mentah bagiku.

Sungguh, aku tidak pernah menyedari kehadirannya di sekolah itu walaupun kami sama-sama tinggal di asrama memandangkan aku bukanlah jenis yang suka memerhatikan pelajar-pelajar lelaki yang ada disekelilingku kerana aku merasakan bahawa aku lansung tidak memerlukan apa-apa khidmat dari mereka. Tambahan pula, kenakalan pelajar-pelajar aspura disekolah itu yang sering mengusik ku membuatkan aku semakin rasa benci dengan kaum tersebut.

Malam “prep” adalah malam yang paling membosankan bagiku. Maklum sajalah aku bukanlah dari golongan pelajar yang suka mengulangkaji pada waktu antara 9pm-11pm kerana bagiku ianya adalah waktu genting, waktu untuk aku tidur. Peraturan tetap peraturan dan terpaksalah aku turutkan saja sehingga kadang-kadang aku "mengulangkaji" bertemankan mimpi-mimpi dan perbualan kosong bersama teman-teman yang sekapal dengan ku. Sedang aku asyik membalas hujah-hujah kosong itu, aku dan beberapa biro-biro aspuri yang lain dipanggil. Ada perjumpaan tergempar katanya. Dengan hati yang penuh keriangan, aku segera meninggalkan dewan “prep” tersebut. Riang kerana tidak perlu terus menghabiskan masa di dewan tersebut. Kelihatan GPK HEM sudah sedia menuggu di bilik perjumpaan kami. Beliau tidak keseorangan kerana warden juga turut hadir. Tak lupa juga Ketua Aspura bersama dengan anggota biro-bironya yang kelihatan begitu gah sekali dengan jawatan yang disandang. Aduhai, ada apa dengan pangkat yang mereka miliki. Hanya sekadar hiasan semata-mata untuk memikat pelajar aspuri sedangkan bila ada hal-hal yang memerlukan khidmat mereka, pasti seorang pun tidak akan kelihatan. Sudahnya, biro-biro aspuri juga yang terpaksa membereskan hal tersebut.

Dalam perjumpaan tersebut, aku ditempatkan di meja hadapan sekali bersama-sama Ketua-Ketua Biro Aspura dan Aspuri. Entah apa nasibku malam tersebut kerana hanya aku dan Ketua Aspuri sahaja yang merupakan pelajar perempuan di meja tersebut. Ke mana hilangnya Ketua-Ketua Biro Aspuri yang lain pun aku tidak pasti. Mesyuarat tetap diteruskan walau aku agak tidak selesa kerana terpaksa berhadapan dengan lelaki-lelaki perasan, pujaan pelajar aspuri yang tak sudah-sudah memerhatikan setiap tingkahku. Aaah, sungguh terkongkong ku rasakan. Hampir sejam setengah berlalu. Kelihatan masing-masing sudah hilang fokusnya. Hanya GPK HEM sahaja yang masih bersemangat menerangkan isu peraturan di asrama tersebut. Rasanya sudah berhelai-helai buku notaku dilakarkan dengan lakaran-lakaran seni ku akibat terlalu bosan.

Aku kembali mengalihkan tumpuanku ke arah beliau kerana bimbang habis muka surat kosong dalam buku tersebut jika aku terus melayan kekreatifanku. Tanpa ku sedar, buku tersebut di tarik oleh seorang hamba Allah yang duduk disebelahku. Sempat jugalah dia mengarang "cerpen" dalam buku rojakku itu. Sehabis sahaja perjumpaan, aku terus pulang ke “dorm” dan melayan mimpi-mimpi ku. Pada keesokkan harinya baru aku berpeluang untuk membuka buku kesayangan ku tersebut. Aku tergamam seketika melihat ada tulisan pelik yg bukan milikku terkandung didalamnya. Sungguh, aku jatuh cinta dengan ayat-ayat yang terbait di situ. Apa yang di tulis?? Biarlah ianya terus tersimpan kemas dalam kamar hatiku. Hari demi hari aku lalui dengan penuh gaya ketenangan seolah-olah tidak ada apa yang berlaku sedangkan di hati ini Tuhan sajalah yang tahu betapa aku tercari-cari siapa empunya tulisan ini.

Di takdirkan, suatu hari aku ditugaskan untuk mengambil nama semua yang berjawatan di asrama untuk proses pensijilan. Aku mencuri waktu senggangku ketika guru tidak memasuki kelas untuk mendapatkan nama-nama tersebut. Kelas demi kelas aku susuri dan tibalah ke kelas pelajar tingkatan lima yang merupakan kelas terakhir. Aku memanggil semua yang berkenaan untuk tampil kehadapan dan menulis nama masing-masing. Tidak semena-mena, perhatianku ditarik oleh seorang pelajar lelaki yang sedang menulis namanya. Aku teliti setiap huruf yang dilakarnya. Sungguh, dia adalah pemilik tulisan tersebut. Dia sempat melemparkan senyumannya sebelum berlalu pergi. Senyuman yang terus memanah jantungku sehingga degupnya tidak lagi seirama.

Setelah aku mengamati siapa dirinya, baru aku sedar yang sebenarnya dia seringkali hampir dengan ku dan merupakan seseorang yang selalu menonjolkan diri dikhalayak umum. Begitu lucu sekali rasanya kerana aku tidak perasan kehadiranya selama ini sedangkan dia adalah sejawat denganku, Ketua Biro Kerohanian. Selain itu, dia pernah sama-sama berganding bahu denganku dalam pertandingan tadarus dan hafazan peringkat zon mewakili sekolah. Dia juga sering mengimami jemaah-jemaah muslim di asrama. Bahkan dia sering mencuri masa kami dengan khutbah-khutbahnya apabila ada waktu senggang terutamanya sesudah berjemaah maghrib, isya' dan subuh. Entah benteng apa yang menghalang ku untuk menyedari kehadirannya sebelum ini. Mungkin perasaan tidak suka dengan kaumnya menjadi tembok bagi benteng tersebut.

Aku membalas persahabatan yang pernah dihulurkannya melalui buku ku tempoh hari dengan sepucuk surat dan akhirnya kami menjadi “sahabat pena”. Agak geli hati bila dikenang kembali seolah-olah kami bisu kerana tidak pernah berbicara melainkan dalam lakaran pena di atas berkeping-keping kertas. Hampir 7 bulan kami berhubung dengan cara tersebut. Apa yang membuat aku kagum dan menghormatinya adalah sikapnya yang penuh berhikmah. Apa yang dicoretkannya buatku cukup bermakna sekali kerana tidak pernah lekang dengan nasihat-nasihat dan ilmu-ilmu yang berguna buatku memandangkan di usiaku yang sebegitu terlalu banyak ilmu-ilmu agama yang aku belum ketahui. Ketika aku kealpaan, warkahnya hadir membisikkan keinsafan. Saat aku merasa lemah tatkala diuji dengan dugaan, dilayangkan sedikit kekuatan untuk aku tegar meghadapinya dan adakalanya dia nyalakan harapan saat aku meragukan keampunan Allah. Sungguh aku terharu dengan layanannya terhadapku. Di setiap warkahnya pasti di akhiri dengan ungkapan yang cukup bermakna, “Jaga diri.. Jaga amal..Jaga iman…”

Dalam diam, aku mula menyimpan perasaan terhadapnya. Dialah lelaki pertama yang berjaya menggoyahkan perasaanku. Namun tidak ku luahkan memandangkan aku merasakan diriku masih tidak layak untuk menjamah cinta walaupun dia seringkali menyatakan rasa sayangnya terhadapku. Biarlah perasaan itu tertanam dan subur dalam hatiku sahaja.

Setiap pertemuan, pasti adanya perpisahan. Aku akur dengan kenyataan ini. Selepas aku menamatkan PMR di sekolah tersebut, aku telah berpindah ke sekolah berhampiran rumahku. Dia pula membawa haluannya sendiri selepas tamat tingkatan lima. Apa yang pasti, bagiku ukhwah yang terjalin antara aku dan dia tidak ada penghujungnya kerana ianya tidak akan dibatasi oleh waktu mahupun jarak. Segala ilmu yang dikongsikan akan aku amalkan sedaya upaya ku kerana aku yakin Allah pasti memberikan ganjaran buat orang yang menyampaikan ilmu selama mana ilmu itu diamalkan oleh orang yang menerimanya. Hilangnya buat masa ini tiada lagi pengganti. Dia adalah sahabat yang teristimewa bagiku, sahabat dunia akhirat. Jika diizinkan Allah, aku ingin bertemunya kembali. Namun segalanya terletak pada Allah kerana sesungguhnya Dia lebih mengetahui dan Dialah yang berkuasa merencanakan setiap pertemuan dan perpisahan. Aku akhiri coretanku kali ini dengan rangkapan lagu yang cukup bermakna buatku…

♫♪Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman..
♫♪

0 comments: