BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Saturday, April 24, 2010

Huh, Macam-Macam Betul!

“My baby you…are the reason I could fly….,” telefon bimbit yang terdampar di peraduan, merdu mengalunkan lagu kegemaranku. Aku segera mencapainya dan menjawab panggilan yang datangnya dari sepupuku. Dialah satu-satunya sepupu lelaki yang paling rapat dengan ku sejak dua dekat yang lalu. Mungkin atas faktor kami seusia dan mempunyai perangai yang sama-sama pelik membuatkan kami ‘ngam’. Air dicencang takkan putus. Begitulah perumpaan yang paling tepat bagi hubungan kekeluargaan antara kami. Agak pelik jugalah kerana jarang dia menghubungiku melainkan ada hal yang penting. Belum sempat aku menjawab salamnya, pantas dia mengajukan soalan kepadaku, “Kak Yong, free tak? Jom keluar. Teman orang cari barang kat Lowyat. Orang tunggu Kak Yong kat KL Sentral ye.” Dengan spontan aku menjawab, “Ok-ok. Sejam lagi Kak Yong sampai.” Hmm..pucuk dicita, ulam mendatang. Kebetulan aku sememangnya ‘free’ yang teramat sangat tiap kali hujung minggu. Aku lantas bersiap bimbang kelewatan hingga nanti dia terpaksa menunggu lama.

Dalam perjalanan dari Bukit Jalil ke KL menaiki tren LRT yang memakan masa hampir 40 minit, aku sempat mencuri-curi pandangan ku ke arah seorang jejaka yang agak tampan jugalah. Wajahnya memang cukup melambangkan kejantanan dengan kemasan rambut dan janggutnya yang orang kata ‘macho’lah. Dia dengan penuh gayanya masuk ke gerabak LRT tersebut dan duduk bersebelahan denganku bersama seorang rakannya lantas memulakan perbualan mereka. MasyaAllah, alangkah terkejutnya aku. Hendak tergelak pun ada. Hahahaha… Dari perbualan mereka aku memperolehi satu kepastian yang agak sukar untuk aku percaya hingga membuatkan aku berasa cukup geli hati. Rupa-rupanya mereka adalah ‘lelaki lembut, auww!’ Hmm..sungguh tidak ku sangka sama sekali. Kejantanan seorang lelaki yang pada mulanya berjaya menarik perhatianku rupa-rupanya tidaklah sejantan mana. Macam-macam betul manusia ni. Tetapi, Alhamdulillah kerana dia masih mengekalkan penampilannya sebagai seorang lelaki, tidaklah sehingga ke tahap berpakaian seperti wanita!

Setelah selesai kami membeli barang-barang si engineer komputer (sepupuku) di Plaza Lowyat, kami mengambil keputusan untuk ke Bukit Bintang. Sungguh, begitu ramainya umat manusia di situ. Kebanyakan dari mereka adalah golongan remaja hingusan. Begitulah ‘tren’ pelajar-pelajar sekolah di sini, berkumpul ramai-ramai, lepak sambil menunjukkan aksi dan kehebatan masing-masing. Ada yang hanya duduk termenung jauh memikirkan masa depan agaknya. Ada juga yang beraksi ‘shuffle’, bermain ‘skateboard’ dan tak kurang juga yang bergaduh dengan ‘awek’ sehingga ada aksi tarik-menarik rambut di khalayak yang ramai tersebut! Huh, macam-macam betul.

“Kak Yong, jom kita cari surau. Dah lewat ni,” ajaknya sambil mununjukkan jam pada tangannya yang ketika itu tepat 6.00pm. Kami lantas menuju ke arah bangunan Pavilion yang tidak jauh dari situ. Melangkah sahaja ke dalam ruang legar bangunan, terasa seperti berada di luar Negara. Mana tidaknya 80% daripada pengunjungnya terdiri daripada pelancong asing. Kami terus menuruni ‘escalator’ yang bertingkat-tingkat ke bawah bangunan tersebut untuk ke surau. Pintu surau dikuak, kaki kanan ku memulakan langkah memasuki ruang solat. Ketika itu kelihatan hanya seorang sahaja yang sedang mendirikan solat. Ayu sungguh wanita tersebut dengan telekungnya. Khusyuk dia berbicara dengan Penciptanya. Selesai sahaja aku berwuduk, kedua tapak tangan ku tadahkan memanjat doa ke padaNya. Ku lihat wanita tadi sudah selesai solat dan membuka telekung yang tadinya menyelubungi segenap jasadnya. Mataku terpana seketika. Subhanallah, betulkah apa yang ku lihat atau sebenarnya kerabunan mata ku semakin meningkat?? Benar, tak salah lagi. Wanita itu hanya memakai skirt yang tidak berapa labuh (di paras peha) dan berbaju singlet. Rambutnya usah ditanya, berwarna-warni mengalahkan pelangi yang merupakan fenomena optik dan meteorologi yang menghasilkan spektrum cahaya. Langsung hilang segala yang indah di mataku seketika tadi. Entahlah, dunia sekarang memang pelik, macam-macam betul. Tapi syukur Alhamdulillah, dia masih menunaikan salah satu tanggungjawabnya walaupun masih belum sempurna, InsyAllah dari solat yang didirikan akan memberinya cahaya petunjuk untuk menjadi wanita yang sempurna sebagai muslimah sejati. Aku sendiri pun masih banyak kurangnya. Banyak lagi yang perlu aku perbaiki. Semoga Allah sentiasa memelihara diriku, keluarga ku serta seluruh muslimin dan muslimat agar tetap teguh di jalanNya. Amin….

0 comments: