BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Saturday, April 10, 2010

Kekasih Yang Sungguh Kasihan

Dedaun hijau melambai mesra tatkala disapa angin nyaman yang berkeliaran di ruang udara. Suasana petang di Hutan Lipur Sungai Congkak itu cukup mendamaikan. Aliran sungainya mengalir merentasi liku-liku tanpa mempedulikan bebatu yang bagaikan cemburu melihat ia mengalir riang. Sedang aku asyik terbuai dengan keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Indah itu, tangan ku di sentap oleh anak kecil yang kelihatan begitu ghairah untuk mencecahkan dirinya ke dalam air yang dingin itu. “Kak Yong…Kak Yong, jomlah bawa Haikal ke sana!! Haikal nak mandi guna pelampung Ben10 ni,” jeritnya yang merupakan anak kepada sepupuku yang menjadi pemecah kesunyian tatkala aku bertamu di rumahnya.

Dalam keasyikan melayan kerenah si kecil bersama adiknya yang bagaikan itik bertemu air, pandangan ku tertarik pada sekumpulan remaja yang diamatanku dalam linkungan 19-21 tahun. Mereka kulihat sedang asyik menikmati “keindahan” dalam dunia mereka. Pada mulanya ku sangkakan mereka adalah pasangan kekasih (lelaki dan perempuan) tapi ternyata aku silap! Lensa kamera DSLR yang berada di tangan ku seolah-olah memaksa aku untuk difokuskan ke arah mereka. Waah, aku ni macam wartawan “terjah” pula rasanya. Tenyata mereka memang pasangan kekasih tetapi kasih mereka bukan calang-calang kasih. Kasih antara perempuan yang berpewatakan lelaki (pengkid) dengan kekasih wanita yang digelarnya “awek”. Begitu menjijikkan tingkah mereka. Siap berkhemah lagi dipinggiran sungai. Entah apa yang mereka rencanakan. Mungkin ingin menghabiskan malam minggu bersama sang kekasih hati bertemankan alunan deruan air sungai, di saksikan oleh rembulan terang di kala malam hari?? Hmmm…Allah lebih mengetahui…Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangan (kuasa), tetapi jika tidak berkuasa mengubahnya dengan tangan, maka ubahlah dengan lidah (nasihat) , tetapi jika tidak mampu mengubahnya, maka ubahlah (benci) dengan hati. Maka yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." ( Muttafaq Alaih).

Sebenarnya ini bukanlah situasi pertama yang ku lihat. Sudah bermacam-macam ragam pasangan lesbian telah ku saksikan lebih-lebih lagi ketika aku menetap di Pulau Pinang 2 tahun yang lalu. Mereka begitu bermaharajalela dengan drama-drama mereka yang cukup romantis sekali (Nauzubillahiminzaliq). Subhanallah, sudah pupuskah lelaki di atas muka bumi Allah ni? Atau begitu teruk mereka dipermainkan oleh lelaki sehingga mereka merasakan mereka lebih layak memegang watak lelaki dalam pentas dunia? Sesungguhnya Allah telah menetapkan untuk mereka menjadi seorang wanita di dunia ini. Tidakkah mereka rasa bersalah menentang penetapan Pencipta Yang Teragung dengan cuba mengubah kejadian asalnya? Sabda Rasulullah SAW, daripada Ibn Anas r.a berkata;

Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita.” (HR al Bukhari)

Tidakkah mereka berasa bertuah kerana lahirnya kedunia sebagai perhiasan yang indah? Tidakkah mereka tahu bahawa banyak kelebihannya menjadi wanita yang sebenar-benarnya wanita? Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

Kehendak nafsu buas yang tidak dikawal lantas mengganas sehingga menjerumuskan diri dalam hubungan sejenis yang terang-terangnya dilarang oleh Allah. Sememangnya dunia kini kembali mengimbas segala yang pernah terjadi ke atas umat-umat terdahulu. Hubungan sejenis ini telah berlaku sejak zaman Nabi Lut lagi sehingga Allah berfirman:

“..dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan Yang keji, Yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui batas".(Surah Al-‘Araf : 80 - 81)

Apa lagi yang mampu aku katakan? Kecewa, sedih, marah dan segala yang ku rasai ini tidak mampu merubah pemikiran dan tingkah laku mereka yang sudah semakin jauh tersimpang dari jalan Allah. Biarlah ianya menjadi pengajaran buat diri ku agar aku tidak terjerumus dalam apa jua bentuk kemaksiatan yang mengundang kemurkaan Allah. Nauzubillahiminzaliq…

0 comments: