Perjalanan yang memakan masa hampir 2jam menaiki bas dari Puncak Alam ke Kota Raya Kuala Lumpur cukup membuatkan aku lelah. Huh, begitu jauhnya untuk ke KL dari kampus baru ku ini. Mungkin ini yang pertama dan terakhir kalinya aku “outing” ke KL. Sekarang aku tepaksa menerima hakikat yang aku kini bukan lagi di Kolej Alamanda, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur yang hanya 10 minit untuk ke Mid Valley Megamall tetapi di Kolej Refflesia, Puncak Alam, Selangor! Peluang menjejaki Kuala Lumpur yang hampir 10 bulan aku tinggalkan tidak disia-siakan begitu sahaja. Segala pelusuk tempat yang pernah aku lewati sewaktu tinggal di sini dahulu aku singgahi . Tempat yang paling menjadi kegemaranku adalah Masjid India di mana ianya syurga bagi kaum wanita untuk membeli-belah!
Tempat terakhir yang ku singgahi adalah Mid Valley. Walaupun tidak ada yang istimewa di situ, namun kata orang sekadar ‘melepaskan rindu’. Di sana, aku melewati MPH Book Store yang begitu menjadi kegemaranku. Ianya sering menjadi tempat aku menghabiskan masa serta melepaskan kebosanan dan ke”tension”an tatkala hujung minggu mahupun selepas waktu kuliyah setahun yang lalu. Aku bukanlah golongan ulat buku kerana kalau diikutkan, aku paling malas membaca tambahan lagi buku-buku akademik ku yang tebalnya berinci-inci! Tetapi mungkin disebabkan minat untuk mengetahui lebih mendalam tentang agamaku yang tercinta menyebabkan aku suka menghabiskan masa dengan membaca dan menulis. Hadith Rasulullah s.a.w bermaksud.
“Allah mendidikku, maka Dia memberikan kepadaku sebaik-baik pendidikan.”
Apa yang membuatkan aku jatuh cinta terhadap tempat ini adalah kerana di sana terdapat pelbagai jenis buku yang sesuai dengan cita rasa ku dan apa yang lebih menarik, aku tidak perlu menghabiskan wang ratusan ringgit semata-mata untuk mentelaah ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya kerana di sini para pengunjung dibenarkan membaca buku-buku yang ada di gedung ilmu itu secara percuma dan selama mana yang mereka ingini.
Tanganku mencapai sebuah buku yang tajuknya begitu menarik minat ku. Tanpa berlengah, aku mengambil 'side parking' di suatu sudut bersama beberapa pengunjung lain yang kelihatan tekun mengamati bahan bacaan masing-masing. Aku mendalami setiap baris ayat yang terkandung dalam buku tersebut. Aku cukup tertarik dengan salah satu ayat dari penulis muda, Hilal Asyraf dalam bukunya yang berjudul ‘Kembara Hamba Mencari Cahaya’
“Apabila kita katakana yang kita hendak mendekati Allah, hakikatnya kita telah mengisytiharkan perang terhadap segala bentuk dosan dan maksiat”
Itulah hakikat sebenar disebalik kata-kata yang sering meniti di bibirku. Aku merenung kembali ke dasar hatiku. Ayat-ayat dalam penulisan beliau mendorongku untuk memuhasabahkan diri, mengimbas seketika setiap detik dan masa yang aku lalui hari demi hari. Aku ingin mendekati Allah bermakna aku harus segera meninggalkan segala yang salah disisinya. Namun rasanya, masih terlalu banyak yang belum aku tinggalkan dan masih terlalu banyak yang perlu aku kerjakan untuk lebih dekat dengan Penciptaku.
Bercakap tentang perkara ini, aku percaya ianya begitu berkait rapat dengan konsep hijrah. Penghijrahan dari sesuatu perkara yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang lebih baik. Itulah apa yang sedang ku usahakan sehingga kini. Dan ianya takkan pernah berakhir selagi aku hidup di alam fana ini. Sesungguhnya lebih banyak penghijrahan yang bakal berlaku dalam episod hidupku ini. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” – Hadis riwayat Abu Dawud
Aku percaya, ramai antara umat Islam kini yang tidak mengetahui bahawa hijrah adalah perkara yang wajib dilaksanakan ke atas diri mereka. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” – al-Nisaa’ : 97
Benar, hijrah bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan. Aku sendiri mengakui amat sukar untuk memulakan langkah penghijrahan terutamanya dari perkara yang buruk kepada perkara yang baik. Tapi percayalah, sekali kita memulakan langkah dalam landasan hijrah, kita pasti akan berpuas hati dengan hasilnya dipenghujung landasan itu. Di dasar hatiku, kembimbanganmula bermaharajalela. Aku bimbang diri ku makin jauh tersasar dari agamaku kerana imanku masih lemah untuk menghadapi segala cabaran masa kini yang begitu besar sekali.
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”
Amin....
0 comments:
Post a Comment