Pagi minggu ini dirasakan cukup bermakna sekali untuk ku isikan dengan melayan kerenah adik-adik yang selalu menyerikan hari ku. Tawa riang dan sendu tangis mereka sering menjadi kerinduaan ku tatkala berjauhan dari mereka. Terlalu sukar untuk diluahkan perasaan sayang yang tertanam jauh dalam dasar hati ku ini terhadap mereka.
Saat mereka sedang asyik menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru masing-masing, aku sempat membaca buku yg bertajuk “Tentang Cinta” hasil tulisan anak kelahiran Ipoh, Pahrol Mohd Juoi. Buku ini adalah pemberian salah seorang teman sekuliyah ku di universiti. Aku agak terkesima apabila dia menghulurkan buku ini kepada ku tempoh hari kerana sudah lama benar rasanya aku meninggalkan zaman pecintaan ini. Sambil tergelak kecil aku menerimanya dan baru kini aku berpeluang untuk mendalami apa sebenarnya yg tersirat dalam buku tersebut.
Bercakap soal cinta, terkenang zaman persekolahan yang dipenuhi dengan bunga-bunga cinta monyet. Terasa geli hati juga apabila ianya bermain-main di lubuk ingatan ini. Bak kata penulis, “Habis segala ciptaan Tuhan dijadikan lakaran metafora dan analogi. Embun, pelangi, salju bulan dan bintang semua dijadikan lambang bagi memuja kekasih”
Rasa cinta bertandang ke dalam jiwa tanpa diundang dan di minta. Keinginan itu tidak perlu dipelajari dan dicari. Lelaki inginkan cinta wanita dan begitulah sebaliknya. Bijak pandai pernah mengingatkan “Janganlah dibawa berbincang tiga golongan manusia. Pertama yang sedang kelaparan, kedua yang sedang yang sedang sakit dan ketiga yang sedang mabuk cinta”. Kenapa? Orang yang lapar akan hanya memikirkan perutnya. Orang yang sakit sedang derita menanggung sakitnya dan org bercinta pula hanya memikirkan yang dicintai. Anda pernah terserempak dengan sepasang kekasih di stesen komuter atau bas? Semua orang malu melihat gelagat keterlaluan mereka tetapi mereka tidak sedar akan hal itu dan terus melayan kemesraan.
Cuba bayangkan sedemikian indah dan damainya syurga, namun Nabi Adam a.s berasa kesunyian dan inginkan teman. Lalu Allah ciptakan Siti Hawa sebagai pasangan untuk dicintai. Dan kita anak cucu pewaris rasa cinta itu. Bercinta tidak salah kerana itu adalah fitrah yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap manusia. Tetapi fitrah perlukan hidayah, jika tidak fitrah akan menjadi fitnah.
Bercinta ada peraturannya. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan dalam memenuhi keinginan fitrah. Tanpa peraturan, akan terjadinya “Cinta Terlarang”. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Cinta suci mesti dipelihara dan dilindungi. Orang yang tidak memelihara dan melindungi cinta samalah dengan mempermainkannya. Cinta yang dipermainkan ialah cinta yang tidak setia, cinta bersalut nafsu, cinta yang tiada matlamat dan tujuan yang suci dan tinggi melainkan matlamat duniawi dan bermartabat rendah.
“Hidupku untuk cinta”. Masyhur sekali kata-kata yang dianggap keramat ini. Padahal hidup adalah untuk ibadah (mengabdikan diri kepada Allah). Mana mungkin cinta manusia boleh dijadikan tujuan hidup. Ya..memang cinta perlu dalam kehidupan tapi ianya bukan tujuan tapi keperluan. Tujuan lebih utama dari keperluan. Cinta itu makanan jiwa. Gunakanlah cinta manusia untuk beribadah atau dengan kata lainnya gunakan cinta manusia untuk mendapat cinta Allah. Jangan sampai keperluan dijadikan tujuan hingga tanpa sedar cinta seolah-olah dianggap tuhan. Sungguh, Tuhan kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. HukumNya dilanggar tanpa rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Semuanya seolah-olah halal kerana cinta. Firman Allah;
“Apakah kamu tidak melihat bagaimana ada manusia yang mempertuhankan hawa nafsunya dan Allah membiarkan ia sesat sesudah ia tahu. Dan Allah menutup rapat pendengaran dan hatinya dan Dia tutupi pandangan mereka. Maka siapakah yang dapat memeberikannya petunjuk selain Allah. Apakah mereka tidak mengambil pengajaran?” (Al-Jatsiah: Ayat 23)
Racun-racun berbisa yang memusnahkan pohon cinta sejati telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarang pun tumbuh dan berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan.
“Cintailah sesuatu itu sekadar sahaja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencian mu pada suatu ketika. Bencilah yang engkau benci itu sekadar sahaja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada suatu ketika. ”
“Kami bercinta kerana Allah,” begitulah yang selalu kita dengar tapi bagaimana ya? Bagaimana bercinta kerana Allah? Iringilah dengan niat untuk bernikah secara sah. Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya tinggal lagi separuh untuk disempurnakan”
Oleh itu, usahlah bercinta hanya dengan niat sekadar untuk suka-suka. Jika dirasakn masih belum mampu untuk serius, jangan bercinta dahulu. Tangguhkan, katakan pada diri, “Aku hanya tertarik atau minat”. Simpan dan pendam perasaan itu dalam jiwa sedalam-dalamnya. Jangan sesekali diluahkan untuk mengundang riaksi. Jangan bercinta kerana kasihan. Jika kita bercinta kerana kasihan, kita akan merosakkan diri kita dan orang yang kita kasihankan.
Pastikan semasa menjalinkan hubungan cinta, tiada hukum Allah yang dilanggar. Dating berjam-jam, sembahyang 5 minit pun tak larat. Kalau begitu siapa yang lebih kita cintai? Si dia atau DIA?? Hubungan cinta juga jangan sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan. Masa dibazirkan. Air mata tergenang atas sebab murahan. Entahlah…buruk sangat kekadang kita lihat orang bercinta ni. Mereka tidak sedar orang sekeliling, macam berada di dunia mereka sendiri. Tidak mustahil kalau ada yang mengeluh, “Cinta apa namanya jika tidak ada dating, perbualan telefon secara marathon, SMS romantik, sentuhan tangan dan sebagainya” Yakinlah tidak ada keindahan dengan melanggar peraturan Allah. Yakinlah Allah itu indah dan cinta pada keindahan. Tidak mungkin Dia memusnahkan keindahan cinta yang diberikan dengan peraturan-peraturan yang boleh menghakis keindahan cinta itu. Sebaliknya dengan peraturan itulah keindahan cinta akan tetap terpelihara dan lebih terserlah.
Cara hidup ‘belangkas’, berjalan bersama, makan bersama dan lain-lain lagi secara bersama antara lelaki dan perempuan yang belum bernikah sudah tidak dirasakan satu dosa kerana ianya sudah menjadi kebiasaan. Soalnya bolehkah hanya dengan suatu yang dianggap biasa maka wajar ia diaggap betul dan benar? Adakah couple-couple ini mengikut peraturan Allah? Tepuk dada tanyalah iman. Macam mana nak dikatakan couple kalau tak nampak ciri-ciri ke’couple’annya? Ya, couple telah sinonim dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat. Sayangnya, oleh kerana couple ini sudah menjadi budaya, yang tidak bercouple kadang-kadang terasa janggal. Ingin ditegaskan, sekalipun majoriti telah melakukannya, itu tidak bererti perkara itu baik. Bahkan dalam sabda Baginda Rasulullah:
“Islam itu bermula dalam keadaan asing dan akan berakhir dalam keadaan asing. Maka beruntunglah orang yang menghidupkan sunnahku ketika orang merosakkannya”
“Dan jika kamu mengikut sebahagian besar manusia (majoriti) di atas muka bumi ini nescaya kamu akan disesatkan dari jalan Allah” (Al-An’aam: Ayat 116)
Namun orang yang beriman sentiasa yakin dengan pembelaan Allah. Khususnya bagi yang meninggalkan budaya ‘couple’ ini atas niat ingin mematuhi perintah Allah. Mereka seharusnya tidak merasa bimbang kalau-kalau tidak dapat jodoh. Jika benar-benar kita mengikut peraturan Allah dan mampu mengawal diri walaupun ada keinginan yang membuak-buak, Allah pasti tidak akan mensia-siakan kepatuhan itu. Sebab itu menerusi Al-Quran Allah menegaskan:
“Perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Dan lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik” (An-Nur: Ayat 26)
Begitulah sedikit ringkasan daripada buku tersebut. Ini hanyalah separuh dari kandungannya kerana aku tidak berkesempatan untuk menghabiskan pembacaanku buat masa ini. Moga Allah memelihara diri kita dari cinta yang terlarang. Cinta yang sejati ialah cinta yang tidak bertambah kerana kebaikan dan berkurang kerana kesalahan. Sesungguhnya cinta Allah adalah cinta yang teragung antara cinta-cinta lain.
“Kita tidak boleh mencintai orang lain sebelum kita mencintai diri sendiri. Dan kita tidak boleh mencintai diri sendiri sebelum kita mencintai Allah”
0 comments:
Post a Comment