Kaki ku pantas melangkah keluar dari bilik sumber meninggalkan teman-temanku yang sedang asyik dengan perbicaraan kes di 'mahkamah palsu' yang merupakan salah satu 'task' kami pada minggu ini. Entah apa yang membuat jiwa ku terasa cukup tertekan, perasaan ku memberontak! Lansung tidak ku pedulikan 'lecturer' yang sedang melirik matanya ke arah kelibatku yang beredar dari bilik tersebut. Apa lagi yang tak kena ni wahai diri?! Argh! Segalanya diluar pertimbanganku, aku tak mampu berfikir dengan rasional lagi. Inilah salah satu kelemahan ku, apabila emosi dalam keadaan yang kurang stabil, untuk kesekian kalinya nafsu amarah terus menggalak walau atas kesilapan kecil sekalipun.
Aku biarkan penaku kali ini berbicara tentang sifat buruk yang ada dalam diriku ini. Menurut Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, marah merupakan kesempatan emas bagi syaitan untuk menggelincirkan manusia. Tak salah, kerana dalam berbagai kesempatan, Rasulullah saw mengingatkan para sahabatnya dengan pesanan singkat, namun sarat maknanya: “Jangan marah!”. Bahkan, menurut Abu Darda’ kondisi terdekat seorang hamba dengan murka Allah, adalah pada saat ia dilanda marah. Manakala marah menurut Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali adalah elemen yang terdapat dalam hati manusia. Ia ibarat api dalam sekam.
Apa pun definisi, marah adalah sifat yang diberi oleh Allah kepada makhluknya, Ibnu Manzur memetik ulasan seorang ulama mengenai marah.
"Marah sebahagian daripada makhluk, ia adalah sesuatu yang menyerap di dalam hati, ada yang mahmud (terpuji) ada yang madzmum (tercela). Tercela apabila bukan pada tempatnya, manakala yang terpuji apabila digunakan di sisi agama dan kebenaran."
Islam mengakui sifat semulajadi manusia seperti sifat marah ini. Oleh itu Islam tidak menyarankan menghapuskannya sama sekali, Imam al-Ghazzaliyy menyatakan membuang terus sifat marah adalah mustahil. Kitab Fathul Bariyy juga menukil kata al-Khatabiyy, nafsu marah tidak dilarang, kerana ianya perkara tabiՙi(fitrah), tidak dapat dihapuskan daripada tabiat fitrah seseorang. Sebaliknya seperti dalam aspek-aspek lain kehidupan, Islam menganjurkan supaya umatnya bersederhana, dalam konteks marah, Islam menyuruh umatnya mengawal dan menyalurkan kemarahan pada tempat dan darjah kemarahan yang bersesuaian. Firman Allah:
“... orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
(Ali ՙImran: 134)
“dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.” (Asy-Syura: 37 )
Dalam as-Sunnah juga Rasulullah menyuruh umatnya mengawal kemarahan. Daripada Abu Hurairah berkata:
“Bukanlah orang yang kuat itu orang yang dapat mengalahkan orang lain dengan kekuatannya, sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang mengawal dirinya ketika dalam kemarahan.” (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, Malik dan Ahmad)
Langkah asas yang perlu diambil adalah menghapuskan atau mengawal punca utama kepada kemarahan. Imam al-Ghazali pernah menyatakan beberapa punca utama kemarahan yang boleh disimpulkan di sini sebagai sifat takbur, sombong atau ego dalam diri manusia. Jadi inilah punca utama kemarahan yang ekstrem yang perlu dihapuskan atau dikawal. Jika sifat-sifat madzmumah ini terkumpul dalam diri seseorang, ia akan melahirkan sikap yang buruk dan sukar melepaskan diri dari kongkongan emosi marah. Imam al-Ghazali mencadangkan sikap rendah diri, bersederhana, dan qana’ah untuk mengimbangi sifat-sifat madzmumah tersebut. Juga umumnya, langkah asas mengurus kemarahan yang baik adalah menerapkan nilai-nilai positif yang dianjurkan oleh Islam kepada umatnya seperti bersangka baik, berlemah lembut dan sebagainya.
Hmm..sememangnya benar apa yang Imam Ghazali nyatakan itu. Sungguh, terlalu banyak sifat-sifat madzmumah yang bertandang di hati ini yang terkadang aku sedar mahupun tidak.
اَسْتَغْفِرُ ٱللهَ ٱلْعَظِيمَ
0 comments:
Post a Comment