BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Sunday, March 21, 2010

Mati Bertemankan Mimpi

Subuh menyingsing, fajar mula menjelma. Aku merenung ke luar jendela. Kelihatan dedaunan hijau masih kebasahan menandakan hujan baru sahaja reda. Patutlah nyenyak benar lenaku bertemankan mimpi-mimpi yang ada masanya indah dan ada masanya menyesakkan dada. Terasa panjang benar lena ini kerana sesudah isya’ aku terus terbaring diperaduan. Entah apa yang membuatkan badan ku begitu kepenatan dan mata ku amat mengantuk sekali. Bantal pula seolah-olah memangil-manggil nama ku untuk menghabiskan masa bersamanya. Mungkin kerana penangan pil Chlorpheniramine Maleate yang ku telan berikutan masalah selsema yang ku alami. Mengikut kajian ahli perubatan Barat, sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness) di mana suhu badan kita akan menurun. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah bahawa Nabi telah bersabda :

“Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk , hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk . Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri"

Firman Allah dalam Surah Al-Furqaan, Ayat 47, yang bermaksud:

“Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirehat, dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha”

Bercakap soal tidur, tidur ialah keadaan rehat badan semula jadi yang dialami bukan sahaja manusia bahkan mamalia, burung dan juga kepada kebanyakan reptilia, amfibia dan ikan. Tidur adalah kemestian bagi manusia. Memang pelik dan ganjil sekiranya ada manusia yang berkata mereka tidak pernah tidur sepanjang hidupnya. Dalam Islam, tidur adalah dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya iaitu sekiranya seseorang itu tidur dengan melakukan saranan-saranan dan mengikut sunnah Rasulullah. Selain itu, tidur adalah mati kecil kepada manusia. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).”
(Surah Al-Zumar: 42)

Berdasarkan ayat di atas, menurut Imam Al-Razi bahawa mati dan tidur itu adalah daripada jenis yang sama. Apa yang membezakan adalah mati itu terputus nyawa secara zahir dan batin daripada badan manusia manakala tidur pula terputus nyawa secara zahir badan manusia sahaja dan tidak daripada batinnya. Justeru itu, kita disarankan oleh Rasulullah S.A.W untuk membaca doa sebelum tidur dan apabila bangun dari tidur sebagaimana yang diriwayatkan oleh sahabat Huzaifah Radhiallahu ‘anhu yang bermaksud:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur Baginda membaca doa: “Ya Allah dengan namaMu aku mati dan hidup”, dan apabila Baginda terjaga membaca doa: “Syukur kepada Allah yang menghidupkan diriku selepas mematikannya dan kepadaNyalah tempat kembali”.

(Hadis riwayat Tirmizi)

Melalui tidur, Allah telah mengajar kepada kita hikmah mimpi. Dan adab tidur juga Allah telah tunjukkan kepada kita melalui Rasulullah. Betapa syumulnya Islam membimbing kita dari hal yang sekecil-kecilnya sehingga hal yang sebesar-besarnya. Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Selain itu, baginda juga telah mengariskan beberapa adab untuk tidur. Antaranya :

  • Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
  • Tunaikan solat Isya’ sebelum tidur.
  • Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.
  • Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
  • Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan. Pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.

Selain itu antara adab-adab lain ialah:

  • Mengiringkan badan kesebelah rusuk kanan, jangan tidur meniarap.
  • Memaafkan kesalahan orang lain.
  • Mengingati kesilapan. Sebaik sahaja meletakkan kepala ke bantal , cuba ingat semula perkara yang telah dilakukan sepanjang harian . Sekiranya melakukan perkara-perkara yang baik, tingkatkan keazaman untuk terus mengekalkan perbuatan yang baik. Tetapi sekiranya banyak melakukan kesilapan dan perbuatan mungkar, berazamlah untuk berubah dan beristighfar memohon keampunan daripada Allah S.W.T.
  • Berazam Untuk Bangun Awal

Allamah Syeikh Jawad Al-Maliki At-Tabrizi banyak mencapai keinginannya melalui tidurnya. Yaitu, ketika beliau mimpi bertemu dengan Ma’shumin (orang-orang suci), dan mereka mengilhaminya karunia-karunia yang agung dalam tidurnya, ia merasakan kelazatan dan kebahagiaan rohani pada saat bangun dari tidurnya akibat dari kelazatan rohani yang ia rasakan dalam mimpinya. Sehingga, setiap menjelang tidur ia penuh harapan dan keinginan untuk memperoleh mimpi seperti itu. Ada salah seorang bertanya kepadanya: Bukankah kesenangan itu hanya dalam mimpi? Ia menjawab: Aku menyukai yang demikian. Lalu ia melanjutkan jawabannya dalam bentuk syair berbahasa Persia, yang artinya:

“Aku, aku berzikir kepada-Mu dalam kesunyian
ingin melihat keindahan-Mu dalam tidurku
Sehingga ketika aku bangun dari tidurku
Engkaulah yang pertama datang ke dalam kalbuku

Wasiat Luqmanul Hakim kepada anaknya:

"Wahai anakku, kalau engkau meragui benarnya mati, maka janganlah kamu tidur. (Namun)Seperti mana engkau akan tertidur (juga akhirnya kerana terlalu mengantuk), maka demikian jugalah dengan kematian. Dan apabila engkau meragui pula benarnya kebangkitan, maka janganlah (sekali2) engkau bangun dr tidurmu (namun nescaya engkau akan terjaga juga dr tidurmu). Maka demikianlah dengan hari kebangkitan. Kamu akan dibangkitkan selepas kematian".

Ya Allah Ya Tuhanku, jika tidurku ini tidur yang penghabisan. maka ampunkanlah segala dosaku, maafkan segala kesalahanku dan redhalah pada diriku. Amin…

0 comments: