BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]

Wednesday, March 24, 2010

Meredah Kesamaran Mencari Cahaya

Dalam menyusuri lembah kehidupan ini, terlalu banyak lorong-lorong suram yang penuh dengan kesamaran telah ku lewati. Lorongnya dipenuhi dengan akar berduri. Pernah suatu ketika ia menjalar di segenap kudratku. Hingga kadang aku tidak berdaya meleraikannya lantas aku tersukur bersama akar tersebut. Tanpa disedari badanku terpalit dengan lumpur. Lumpur yang hitam lagi jijik! Namun nodanya langsung tidak kelihatan dek kerana kesamaran yang menyelubungi lorong itu. Unggas-unggas hanya mampu melihat aku rebah dengan penuh rasa simpati dan hanya mampu memberikan sedikit kata-kata semangat untuk aku kembali bangkit. Tak lupa juga sebilangan daripada unggas-unggas itu yang besorak-sorai melihat aku tersungkur. Dalam kesamaran itu, turut wujudnya binatang buas yang kadang mengheretku semahunya tanpa mempedulikan rontaanku. Aku diheretnya entah ke mana tetapi yang pasti aku dibawanya ke tempat yang semakin jauh dari pencarianku. Tempatnya bukan sahaja samar, malahan kelam dan kusam!

Di situ, aku temukan sedikit kebahagiaan bertemankan makhluk-makhluk ciptaanNya yang sudah sekian lama berteduh disitu. Sehingga mereka sudah terbiasa dengannya dan bagi mereka kegelapan itu adalah kebahagian. Namun sebenarnya, mereka tidak sedar bahawa nikmat yang dikecapi ini hanya dusta belaka dan tidakkan kekal. Sampai satu masa, mereka akan ditelan oleh kebahagiaan yang mereka sendiri ciptakan itu. Tetapi kenapa bagi ku semakin lama aku mengecapi kebahagiaan itu, semakin gelap dunia ku? Ya, ini bukan yang sebenarnya aku mahukan dan yang aku cari selama ini kerana itulah aku hanya hidup penuh kepura-puraan di sini. Justeru, aku perlahan-lahan bangkit, meninggalkan tempat yang gelap gelita itu bimbang di sedari oleh binatang buas yang kemudiaannya akan mengheretku semula. Terlalu sukar untuk aku keluar dari kegelapan ini kerana kurasakan begitu jauh dan panjang sekali susurnya. Banyak benar masa yang telah aku bazirkan di sini. Rintangannya juga terlalu banyak. Aku terpaksa berhati-hati dalam setiap langkahku agar aku tidak kembali ke lembah gelap itu.


Akhirnya aku ketemu kembali dipertengahan pencarianku iaitu tempat yang dipenuhi dengan lorong-lorong yang samar. Kesamaran itu sedikit melegakan aku setelah sekian lama bergelut dengan kegelapan. Dalam kesamaran itu juga, aku kembali bangkit dan terus mencari walau kadang aku hampir lelah dan berputus asa. Apa sebenarnya yang aku cari dalam pencarian ini? Pencarian yang aku tidak pasti di mana arahnya terletak. Aku hanya melangkahkan kaki berbekalkan semangat dan doa. Aku melangkah dan terus melangkah mengikut gerak hati yang benar-benar mahu menemukan pencarian itu.

Kali ini pelbagai jenis makhluk yang ku temui. Ada yang tampak cukup suci dan sempurna pada zahirnya tapi hakikatnya tak ubah seperti binatang buas yang telah mengheretku ke lembah kelam itu. Kali ini aku semakin berhati-hati dalam mencari teman pencarian kerana bimbang aku diheret dan kembali jauh dari pencarianku. Ketika ini, teman yang paling memahami dan akrab dengan ku adalah diriku sendiri. Dialah teman yang paling setia sepanjang pencarianku ini walau kadang pendiriannya juga tidak tetap sepertiku. Pernah dia mengajak ku untuk kembali ke lembah kelam namun aku segera mengingatinya begitulah juga sebaliknya. Inilah yang dinamakan teman yang sebenar-benarnya teman, saling ingat-mengingati saat kita terleka dan sama-sama ingin mencapai matlamat yang satu ini.

Aku agak lama di lorong-lorong kelam ini. Kini aku benar-benar rasa tidak berdaya lagi. Sampai bila aku harus begini? Sampai bila aku harus menyusuri lorong kelam ini? Ini bukanlah sebenarnya yang aku mahukan. Adakah masih belum cukup segala duri dan rintangan yang telah ku tempuhi?

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan di biarkan dengan hanya berkata : Kami telah beriman, sedangkan mereka belum lagi diuji.”

(Al-Ankabut : Ayat 2)

Adakah arah yang ku lalui ini berbeza dengan arah sebenarnya? Aku duduk bertafakur dibawah rimbunan pohon yang tidak begitu jelas bentuknya. Aku merenung kembali segala yang telah aku lalui dan usahakan. Aku rasakan masih ada sesuatu yang belum lengkap. Lantas aku tersentap dan kembali sedar bahawa sebelum aku memulakan kehidupan ini, aku telah pun dibekalkan dengan bekalan yang cukup mantap, lengkap dan sempurna. Namun aku telalu asyik dengan usaha ku sendiri tanpa bekalan ini. Sedangkan bekalan inilah yang mampu memanduku untuk menemui pencarianku.

“….dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita mengembirakan, bagi orang Islam"

(Al-Nahl: Ayat 89)

"Katakanlah (wahai Muhammad) al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan kegelapan yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)"

(Al-Fussilat: Ayat 44)

Bermula saat itu, aku merujuk segala hal yang berkaitan dengan pencarian ini dalam kitab suci yang tiada taranya. Alhamdulillah, aku semakin nampak jalan kebenarannya bukan jalan yang tiada penghujungnya. Jalan yang penuh dengan kepastian. Aku kembali meneruskan langkahku. Langkah ku kini semakin mantap dan penuh keyakinan. Walau ada duri yang cuba untuk meragutku, aku mampu mengelakkan diri darinya. Ku lihat lorong-lorong itu semakin hilang kesuramannya. Di hujung lorong tersebut terpancar sinar cahaya yang cukup terang benderang sehingga memantulkan sinarannya yang cukup menyilaukan mata ku. Aku menolehkan pandangan ku dari terus tersilau dengan cahaya yang terbias itu. Terlalu lama benar mata ini tidak diterangi dengan cahaya sehingga terasa sedikit berpinar dan urat mataku seolah-olah menegang. Namun aku terus mengatur langkah secermat yang mungkin bimbang tersungkur lagi dipertengahan jalan. Aku semakin hampir menuju ke kilauan cahaya itu. Aku pasti dan yakin, inilah yang aku cari selama ini.


Alangkah lapang dada ini. Ketenangan mula menyelinap ke segenap ruang hati dan sanubariku sedikit demi sedikit. Ku lihat segala yang aku perlukan ada di sini. Aku menghela nafas lega. Sungguh, aku tenang dan damai disini, di sisi Rabbul Jalil. Aku merenung kembali. Dalam suasana yang terang benderang itu, baru ku terlihat dan sedar bahawa diriku di penuhi lumpur-lumpur yang begitu kotor dan jijik. Kudratku di penuhi dengan garis-garis luka yang begitu hodoh sekali. Aku rebah terduduk dalam keamatan cahaya itu. Ya Allah, layakkah untuk aku berada di sini sedang diri ku begitu kotor sekali? Tidakkah nanti aku akan mencacatkan pemandangan cahaya yang indah ini?

Maka aku katakan kepada mereka: "Mohonlah ampun kpd Tuhanmu, sesungguh Dia Maha Pengampun”

(Nuh : Ayat 10)

Benar, Dia akan menerima taubat hambaNya walau sebesar gunung sekali pun dosa yang telah dilakukan. Namun cukupkah hanya sekadar merintih?

Tidaklah berarti bahwa mereka diperintahkan meminta ampun hanya dengan lisan semata, tetapi dengan lisan dan peruntukan. Bahkan hingga dikatakan, memohon ampun (istighfar) hanya dengan lisan saja tanpa disertai peruntukan ialah pekerjaan para pendusta [Al-Mufradat fi Gharibil Qur’an, dari asal kata “ghafara” hal. 362]

Bertaubat dari setiap dosa hukum ialah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dgn Allah, yg tdk ada sangkut paut dgn hak manusia maka syarat ada tiga. Pertama, hendak ia menjauhi maksiat tersebut. Kedua, ia hrs menyesali peruntukan (maksiat)nya. Ketiga, ia hrs berkeinginan untuk tdk mengulangi lagi. Jika salah satu hilang, maka taubat tdk sah." (Imam An-Nawawi)

Tanpa aku sedari mutiara jernih bederai di pipi ku yang comot ini. Aku cuba membendungnya, tapi aku gagal. Ia terus mengalir deras dan aku dapat merasakan sedikit kekotoran yang ada di pipi ini mengalir bersama arusnya. Sugguh, sebak betul rasanya pabila aku membacakan ayat-ayat suciNya. Betapa pemurah dan lemah lembutnya Dia dengan hambaNya. Walau sekotor mana pun hambaNya itu, Dia masih lagi sudi mendengar taubat hambaNya, masih lagi sudi melimpahkan segala rahmat dan kasih sayangNya yang tidak terhitung banyakNya belum lagi termasuk dengan nikmat-nikmat yang telah dikurniakan. Subhanallah, begitu besarnya keagunganMu sehingga aku cukup kagum dan terpana dengan semua itu. Takkan ku biarkan diriku terus terpana disitu. Aku lantas berusaha membersihkan diri yang penuh dengan kekotoran ini dengan memperbanyakkan istighfar dan solat taubat kepadaNya sambil di dalam hati penuh keazaman untuk segera membersihkannya dan tidak akan kembali kepada kekotoran itu lagi.Benar, amat payah untuk membersihkan sesuatu yang telah kotor oleh kotoran yang amat likat dan banyak sekali. Sesungguhnya aku bahagia berada di sini dan aku ingin terus kekal di sini hingga akhir hayatku. Pelbagai usaha yang harus aku lakukan untuk memastikan ia benar-benar kembali bersih dan jernih. Aku tahu, masih banyak rintangan di hadapan yang masih menanti. Tetapi, aku tidak lagi bimbang atau gusar untuk menghadapinya kerana aku yakin pasti ada sesuatu yang terbaik untukku sepanjang aku mengharunginya. Aku tidak akan sesekali berputus asa untuk terus membersihkannya kerana selagi sekujur tubuhku ini masih bernafas, selagi itu aku akan tetap berusaha. Semoga Allah kurniakan aku insan-insan yang mampu menemani perjalanan hidupku ini. Insan yang sebenar-benarnya bergelar teman, bukannya seperti sang unggas atau binatang buas yang telah aku temukan dalam lorong suram itu. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui. Hanya Dia yang layak menilai sebanyak manakah lagi sisa kotoran yang masih ada disisiku ini.

“….Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Al-Anbia: Ayat 87)

Ya Allah Yang Maha Pengampun, ampunilah segala dosa-dosaku. Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri. Aku mohon padaMu Ya Allah, tetapkanlah imanku. Janganlah Kau palingkan hatiku setelah Kau meneranginya dengan cahaya hidayahMu. Sesungguhnya Aku ingin sentiasa dibawah lembayung rahmat dan keampunanMu. Amin Ya Rabbal Alamin....